Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Isteri mampu untuk menunaikan haji tetapi suami tidak mampu. Isteri tidak redha untuk menanggung belanja suami menunaikan haji. Suami tidak dapat menerima keengganan isteri untuk menanggung kos haji suami. Bolehkah isteri pergi haji tanpa izin suami. Apakah hukum isteri yang mampu menunaikan haji tetapi tidak menunaikan haji kerana tidak diizinkan suami. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya seorang wanita turut diwajibkan untuk menunaikan fardhu haji sekiranya dia berkemampuan. Hal ini berdasarkan umumnya firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Imam Ibn Kathir  berkata: “Adapun الاسْتِطَاعَةُ (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/364)

Ibn Qudamah dalam al-Mughni berkata: “Suami tidak dibolehkan melarang isterinya menunaikan haji Islam. Dan ini adalah pendapat al-Nakha’i, Ishaq, Abu Thaur dan ashab Abu Hanifah. Dan begitu juga pendapat yang terkuat daripada al-Syafi’i. Kerana ia adalah wajib, maka disebabkan itu tidak boleh melarangnya. Ini juga sepertimana puasa Ramadhan dan solat lima waktu. Dan dianjurkan untuk meminta izin akan hal itu. Ditegaskan hal ini oleh Ahmad. Jika diizinkan, maka dia berangkat. Dan jika tidak, maka dia berangkat tanpa izinnya. Adapun bagi haji sunat, maka suami dibolehkan untuk menegahnya. (Lihat al-Mughni, 5/35)

Lafaz ‘الاسْتِطَاعَةُ’ yakni berkemampuan, yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani semata-mata. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat Al-Muhalla, 7/54; Subul al-Salam, 2/180)

Hal ini juga seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam fatwanya yang menyebut: Sah hukumnya bagi seorang isteri melaksanakan haji wajib tanpa izin suaminya. Adapun haji tatawwu’ (sunat), maka hendaklah dengan izin suaminya kerana ia berkaitan dengan penghilangan haknya. (Lihat Fatawa Mu’asirah, hlm. 42)

Takrif dan Maksud Istita’ah

Diriwayatkan hadith daripada Umar R.A, bahawa seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW seraya berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.”

Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)

Dapat difahami melalui hadith di atas, bahawa kadar kemampuan yang mewajibkan seseorang tersebut untuk mengerjakan haji adalah apabila dia mempunyai bekalan makanan dan juga kenderaan untuk pergi dan pulang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/457)

Maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:

  • Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
  • Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
  • Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
  • Sihat tubuh badan.
  • Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96; al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)

Manakala berkemampuan dengan pertolongan orang lain bermaksud seseorang itu telah cukup semua syarat untuk mengerjakan ibadah haji tetapi dia uzur kerana sakit dan tiada harapan sembuh atau terlalu tua dan orang yang telah meninggal dunia dan mampu mengerjakan haji semasa hayatnya. Maka mereka boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menunaikan fardhu haji bagi pihak dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/124)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan, haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima dan menjadi puncak dalam ibadat. Peri pentingnya umat Islam melaksanakan ibadat haji untuk menyaksikan manfaat-manfaat sama ada manfaat duniawiyah mahupun diniyah atau ukhrawiyyah.

Berbalik kepada isu saudari, kami katakan sekiranya haji yang ingin dilaksanakan itu haji wajib, maka boleh untuk saudari pergi haji tanpa izin suami. Adapun, haji sunat yakni seseorang yang buat haji untuk kali kedua dan seterusnya, maka tidak boleh untuknya mengerjakan haji jika si suami tidak izinkan.

Berkenaan menanggung suami untuk pergi haji, pada asalnya, tidak perlu untuk  si isteri menanggung suami, tetapi kalau si isteri ada  rezeki lebih dan sudi untuk membantu suaminya untuk mencapai istita’ah yakni berkemampuan yang termasuk dalam salah satu syarat haji, maka boleh untuknya membantu suaminya. Bahkan, adalah lebih baik untuknya bermusafir bersama suami (mahram) untuk keselamatan dirinya sepanjang musafir.

Namun, sekiranya si isteri tidak mahu untuk menanggung suaminya, maka tidak menjadi masalah kerana ia bukan tanggungjawab si isteri untuk menanggung suaminya. Sebaiknya perkara ini dibincang bersama secara baik agar tidak berlaku pertelingkahan dan seumpamanya.

Oleh itu, jelaslah di sini bahawa ibadah haji ini merupakan pensyariatan yang diturunkan berdasarkan kepada kemampuan manusia. Namun, pelaksanaannya menuntut kepada iltizam yang tinggi dan merupakan rukun yang terakhir yang melengkapkan kesempurnaan Islam seseorang.

Akan tetapi, pelaksanaan mestilah mengikut syarat-syarat dan istita’ah sebagaimana yang dinaskan oleh Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.

Leave a Reply