Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hikmah di sebalik orang yang memandikan mayat perlu mandi, kemudian berwuduk, serta orang yang mengikuti jenazah perlu memperbaharui wuduk? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu kepada hamba-hamba-Nya melainkan ada kebaikan dan manfaat untuk mereka, sebagaimana firman-Nya:
مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Hajj: 78)
Begitu juga firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (Syariat-Nya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Nisa’: 26)
Maka Allah SWT mensyariatkan kepada hamba-hamba-Nya dengan ilmu dan hikmah. Hikmah ini mungkin dapat diketahui oleh manusia atau mungkin juga tersembunyi bagi mereka. Namun, wajib bagi seorang Muslim untuk menerima perintah Allah ‘Azza wa Jalla dan perintah Rasul-Nya SAW dalam apa jua keadaan, sama ada dia mengetahui hikmahnya ataupun tidak. Allah SWT berfirman:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
(Surah al-Ahzab: 36)
Namun, perlu diingat bahawa tidak salah bagi seorang Muslim untuk berusaha mencari hikmah di sebalik hukum-hukum syariat, tetapi adalah kesalahan besar jika dia menolak hukum-hukum tersebut apabila tidak mengetahui hikmahnya.
Berbalik kepada soalan diajukan, kami katakan bahawa berkenaan mandi selepas memandikan mayat, ia adalah disunatkan dan bukannya wajib. Hal ini berdasarkan sebuah hadith, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ غَسَّلَ مَيِّتًا فَلْيَغْتَسِلْ
Maksudnya: “Siapa yang memandikan mayat, maka hendaklah dia mandi selepas itu.”
Riwayat Abu Dawud (3161), al-Tirmizi (993), Ibn Majah (1463) dan Ahmad (7770).
Perintah ini pada asalnya menunjukkan wajib kerana Rasulullah SAW bersabda dengan kalimah ‘فَلْيَغْتَسِلْ’ di mana terdapatnya Lam Amr yang memberi makna wajib, tetapi bilamana terdapat arahan yang lain, atau perbuatan yang lain, yang tidak mandi, ini menunjukkan perintah mandi adalah sunat semata-mata.
Hal ini berdasarkan sebuah riwayat yang menyatakan bahawa Ibn Umar R.Anhuma berkata:
كُنّا نُغَسِّلُ المَيِّتَ، فمِنّا مَن يَغتَسِلُ، ومِنّا مَن لا يَغتَسِلُ
Maksudnya: “Kami memandikan mayat, maka di antara kami ada yang mandi dan ada juga yang tidak mandi.”
Riwayat al-Daraqutni (2/72); al-Baihaqi (1521); al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (5/423); Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Daud (5/74) menyatakan sanadnya adalah sahih.
Adapun berkenaan hikmahnya pula, sebahagian ulama menyatakan, anjuran mandi setelah memandikan jenazah adalah bagi menghilangkan kelemahan tubuh orang memandikan disebabkan bersentuhan dengan tubuh yang tanpa ruh.
Ini adalah sebagaimana disebutkan dalam Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (1/253) daripada kitab-kitab ulama al-Syafi‘iyyah bahawa pada asalnya perintah untuk memandikan mayat adalah untuk menghilangkan kelemahan badan orang yang memandikan mayat disebabkan bersentuhan dengan tubuh yang tidak bernyawa (tanpa ruh). Adapun berkenaan mengenai berwuduk setelah membawa jenazah, ia juga disunatkan dan tidak wajib. Al-Tahawi menyebutkan, dikatakan hikmahnya adalah kerana orang yang bersentuhan dengan mayat akan merasa lemah, dan wuduk serta mandi akan menyegarkannya kembali. (Lihat Hasyiah al-Tahawi ‘ala Maraqi al-Falah Syarh Nur al-Idhah, hlm. 580).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”