Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar, Rasulullah SAW masuk melalui Kuda dan keluar melalui Kada’ ketika memasuki kota Makkah. Benarkah demikian itu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ
Maksudnya: “Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”
(Surah al-Fath: 27)
Al-Syaukani berkata: Ini adalah penangguhan waktu kejadian tersebut dengan kehendak Allah, untuk mengajar hamba-hamba-Nya apa yang wajib mereka katakan. Tsa’lab berkata: Allah berfirman dengan pengecualian ‘insyaAllah’ dalam perkara yang telah Dia ketahui supaya hamba-hamba-Nya mengecualikannya dalam perkara yang mereka tidak ketahui. (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith-hadith berikut:
- Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَامَ الفَتْحِ مِنْ كَدَاءٍ، وَخَرَجَ مِنْ كُدًا مِنْ أَعْلَى مَكَّةَ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW masuk pada hari pembukaan (kota Makkah), dari arah Kada’ dan keluar dari arah Kuda di bahagian atas kota Makkah.”
Riwayat al-Bukhari (1578)
- Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَامَ الفَتْحِ مِنْ كَدَاءٍ أَعْلَى مَكَّةَ» قَالَ هِشَامٌ: وَكَانَ عُرْوَةُ: «يَدْخُلُ عَلَى كِلْتَيْهِمَا مِنْ كَدَاءٍ، وَكُدًا، وَأَكْثَرُ مَا يَدْخُلُ مِنْ كَدَاءٍ، وَكَانَتْ أَقْرَبَهُمَا إِلَى مَنْزِلِهِ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW masuk pada hari pembukaan (kota Makkah), dari arah Kada’ pada bahagian atas Makkah. Hisyam berkata. ‘Urwah biasanya masuk dari arah keduanya (iaitu) dari Kada’ dan Kuda. Namun dia lebih banyak masuk dari arah Kada’, di mana itu merupakan laluan yang paling dekat dari rumahnya.”
Riwayat al-Bukhari (1579)
- Daripada ‘Urwah, katanya:
دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الفَتْحِ مِنْ كَدَاءٍ مِنْ أَعْلَى مَكَّةَ» وَكَانَ عُرْوَةُ: «أَكْثَرَ مَا يَدْخُلُ مِنْ كَدَاءٍ، وَكَانَ أَقْرَبَهُمَا إِلَى مَنْزِلِهِ
Maksudnya: “Pada hari pembukaan kota Makkah, Nabi SAW masuk dari arah Kada’ di sebelah atas Makkah.” ‘Urwah lebih sering masuk dari arah Kada’, yang merupakan laluan paling dekat di antara keduanya dari rumahnya.”
Riwayat al-Bukhari (1580)
- Hisyam menyampaikan daripada bapanya, katanya:
دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الفَتْحِ مِنْ كَدَاءٍ، وَكَانَ عُرْوَةُ: «يَدْخُلُ مِنْهُمَا كِلَيْهِمَا، وَكَانَ أَكْثَرَ مَا يَدْخُلُ مِنْ كَدَاءٍ أَقْرَبِهِمَا إِلَى مَنْزِلِهِ، قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ: كَدَاءٌ، وَكُدًا مَوْضِعَانِ
Maksudnya: “Pada hari pembukaan kota Makkah, Nabi SAW masuk dari arah Kada’, sementara ‘Urwah biasa masuk dari kedua-duanya. Namun dia lebih sering masuk dari arah Kada’ di mana itu merupakan laluan paling dekat antara keduanya ke rumahnya. Abu ‘Abdillah (Imam Bukhari) berkata: Kada’ dan Kuda adalah dua tempat berbeza.”
Riwayat al-Bukhari (1581)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Ini adalah jalan pergunungan yang dilalui untuk turun ke Ma’la, iaitu perkuburan Makkah yang biasa dinamakan al-Hajun. Jalan ini tergolong sukar dan laluan menaik, lalu diratakan oleh Muawiyah. Kemudian, Abdul Malik dan al-Mahdi turut meratakannya, seperti yang disebutkan oleh al-Arzuqi. Selepas itu, salah satu bahagiannya telah diratakan pada tahun 811 H. Perataan secara keseluruhan pula berlaku pada zaman Sultan Mesir, sekitar tahun 820 H. Semua jalan di pergunungan atau jalan yang mendaki dan menaik dinamakan al-Thaniyyah.
Para ulama berkata, “Ulama berbeza pendapat tentang hikmah mengapa Nabi SAW keluar dari Makkah melalui jalan yang berbeza dengan jalan pada saat beliau masuk. Sebahagian mengatakan, agar orang-orang di kedua jalan tersebut dapat mengambil berkat daripadanya. Lalu disebutkan beberapa pendapat yang menerangkan bahawa Nabi SAW melalui jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari solat hari raya. Sebahagian lagi mengatakan, bahawa hikmahnya adalah untuk penyesuaian, iaitu masuk dari arah atas untuk menghormati tempat yang didatangi. Sebaliknya, ketika keluar dari arah yang berlawanan dan ini sebagai isyarat perpisahan. Sedangkan pendapat lain mengatakan, bahawa hal itu disebabkan Nabi Ibrahim AS ketika masuk Makkah masuk dari arah tersebut.” Ulama lain berkata, “Disebabkan Baginda SAW keluar dari Makkah dengan sembunyi-sembunyi semasa hijrah, maka Baginda bermaksud memasukinya dengan terang-terangan dan dari arah yang tinggi.” (Lihat Fath al-Bari, 9/17)
https://aathaar.net/public/storage//avatars/cOsdExl%D9%81%D8%AA%D8%AD%20%D9%85%D9%83%D8%A9.gif
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”