Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah semua isteri Rasulullah SAW — Ummahat al-Mukminin — dijamin syurga? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Abu Muhammad bin Hazm, para sahabat kesemuanya termasuk dalam kalangan ahli syurga secara putus. Firman Allah SWT:

لَا يَسْتَوِي مِنكُم مَّنْ أَنفَقَ مِن قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ ۚ أُولَٰئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِّنَ الَّذِينَ أَنفَقُوا مِن بَعْدُ وَقَاتَلُوا ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ

Maksudnya: Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya.

(Surah al-Hadid: 10)

Begitu juga firman-Nya:

إِنَّ الَّذِينَ سَبَقَتْ لَهُم مِّنَّا الْحُسْنَىٰ أُولَٰئِكَ عَنْهَا مُبْعَدُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu.”

(Surah al-Anbiya’: 101)

Justeru, telah sabit bahawasanya mereka kesemuanya termasuk dalam kalangan ahli syurga dan tidak ada seorang pun daripada mereka yang akan masuk neraka kerana ayat-ayat yang disebutkan di atas ditujukan kepada mereka. (Lihat Fadha’il Khal al-Mu’minin Mu‘awiyah bin Abi Sufyan oleh Amir bin Ahmad al-Qarawi, hlm. 31).

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Taqiyuddin menyebutkan, sebagaimana yang kita telah katakan berkenaan kesaksian dengan syurga dan neraka; kita bersaksi bahawasanya orang-orang Mukmin di dalam syurga, manakala orang-orang kafir pula di dalam neraka. Begitu juga kita bersaksi bahawasanya syurga dan neraka itu adalah untuk sesiapa yang telah dinyatakan oleh al-Kitab dan al-Sunnah. Begitu juga kita tidak akan bersaksi tentang hal tersebut (yakni syurga dan neraka) bagi orang tertentu melainkan terdapatnya nas yang menyebutkannya. (Lihat al-Mustadrak ‘ala Majmu‘ Fatawa, 1/134).

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa semua isteri Baginda SAW (Ummahat al-Mukminin) adalah dijamin syurga.

Syeikh Ali al-Sabuni ada membahaskan berkenaannya dalam kitab tafsirnya dengan menyebutkan, para ulama telah bersepakat akan sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga, yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith yang sahih. Maka sudah pasti mereka akan masuk syurga kerana perkhabaran daripada Rasulullah SAW adalah benar dan berdasarkan wahyu daripada Allah SWT. Sebahagian ulama turut memasukkan isteri-isteri Baginda SAW (Ummahat al-Mukminin) bersama sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga, bahawasanya mereka (isteri-isteri Baginda) juga pasti akan memasuki syurga. Mereka berhujah berdasarkan firman Allah SWT:

 فَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

(Surah al-Hajj: 50)

Ini berdasarkan kerana ayat-ayat ini diturunkan untuk isteri-isteri Nabi SAW secara umumnya dan berkenaan Aisyah secara khususnya. Rezeki atau limpah kurnia yang mulia yang disebutkan dalam ayat ini merujuk kepada syurga berdasarkan  firman Allah SWT di tempat lain:

وَمَن يَقْنُتْ مِنكُنَّ لِلَّهِ وَرَسُولِهِ وَتَعْمَلْ صَالِحًا نُّؤْتِهَا أَجْرَهَا مَرَّتَيْنِ وَأَعْتَدْنَا لَهَا رِزْقًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.

(Surah al-Ahzab: 31)

Kemudian, al-Sabuni menyatakan, ini adalah suatu istidlal yang baik.

Seterusnya, beliau menukilkan pula kenyataan Imam Fakhruddin al-Razi yang menyatakan, Allah SWT telah menjelaskan bahawa wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan tiada seorang pun yang lebih baik dan lebih suci daripada Rasulullah SAW, maka isteri-isteri Baginda tentunya adalah wanita-wanita yang baik. Kemudian Allah SWT menjelaskan menerusi ayatnya, “لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ” (Mereka akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia), dan adanya kebarangkalian bahawa ia adalah berita/perkhabaran yang pasti. Sehubungan dengan itu, diketahui bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW akan bersamanya di dalam syurga. Ini juga menunjukkan bahawa Aisyah R.Anha juga akan masuk ke dalam syurga, berbeza dengan pendapat golongan Syiah Rafidhah yang mengkafirkan Aisyah disebabkan oleh peristiwa Perang Jamal dan mereka menolak nas al-Quran yang jelas ini. (Lihat Rawa’i‘ al-Bayan Tafsir Ayat al-Ahkam, 2/115-116).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW (Ummahat al-Mukminin) adalah dijamin syurga. Ini kerana mereka merupakan para isteri kepada lelaki yang paling baik dan suci (yakni Rasulullah SAW), maka sudah tentulah mereka paling berhak dan selayaknya untuk turut dianggap sebagai golongan wanita yang paling baik — yang akan memasuki syurga Insya-Allah. Bahkan mereka juga tergolong dalam kalangan sahabat, yang merupakan generasi yang terbaik. Sudah tentulah pendapat ini berbeza dengan pendapat mazhab Syiah Rafidhah yang telah mengkafirkan Ummul Mukminin Aisyah R.Anha atas konflik perang jamal.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

 

Leave a Reply