Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanyakan soalan, benarkah dosa yang tersembunyi boleh menyebabkan pahala kebaikan menjadi sia-sia? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

(Surah al-Taubah: 105)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Mujahid berkata: “Ayat ini membawa peringatan dari Allah kepada mereka yang menentang perintah-Nya. Perbuatan mereka akan ditampilkan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Hal ini merupakan sesuatu yang pasti berlaku pada Hari Kiamat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/577)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Setiap manusia akan mendapat balasan atas perbuatannya. Jika perbuatan itu baik, balasannya juga baik. Jika perbuatan itu buruk, balasannya juga buruk. Amalan perbuatan itu dilihat dan disaksikan Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/53)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa ganjaran amalan yang dilakukan oleh seseorang boleh menjadi sia-sia apabila dia melanggar larangan Allah SWT. Ini bermakna, seseorang yang melakukan kebaikan secara zahir tetapi melakukan dosa secara tersembunyi, maka Allah SWT akan menjadikan ganjaran amalannya sia-sia walaupun sebesar gunung. Diriwayatkan daripada Thauban Maula Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda:

لَأَعلَمَنَّ أقْوامًا مِن أُمَّتي يَأتونَ يَوْمَ القِيامةِ بحَسَناتٍ أمْثالِ جِبالِ تِهامةَ بِيضًا، فيَجعَلُها اللهُ عَزَّ وجَلَّ هَباءً مَنْثورًا». قالَ ثَوْبانُ: يا رَسولَ اللهِ، صِفْهم لنا، جَلِّهم لنا ألّا نكونَ مِنهم ونحن لا نَعلَمُ، قالَ: «أَما إنَّهم إخْوانُكم، ومِن جِلْدتِكم، ويَأخُذونَ مِن اللَّيْلِ كما تَأخُذونَ، ولكنَّهم أقْوامٌ إذا خَلَوا بمَحارِمِ اللهِ انْتَهَكوها

Maksudnya: “Aku benar-benar mengetahui akan ada golongan dari umatku yang akan datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sebesar gunung-gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah ‘Azza wa Jalla akan menjadikannya seperti debu yang berterbangan.” Thauban bertanya: “Wahai Rasulullah, jelaskan kepada kami siapakah mereka itu, terangkan kepada kami agar kami tidak menjadi sebahagian daripada mereka tanpa kami sedari.” Rasulullah menjawab: “Ketahuilah, mereka adalah saudara-saudara kalian, dari kalangan kalian, dan mereka beribadah di malam hari sebagaimana kalian beribadah, tetapi mereka adalah golongan yang apabila bersendirian dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, mereka melanggarnya.”

Riwayat Ibn Majah (3442)

Dinyatakan dalam Syarh Sunan Ibn Majah, oleh Muhammad al-Amin al-Harari (26/103) berkaitan hadith ini bahawa: Aku benar-benar mengetahui beberapa kaum dari umatku yang akan datang pada hari kiamat ke Mahsyar dalam keadaan memiliki banyak pahala, seperti seumpama gunung Tihamah, iaitu dalam jumlah yang sangat besar, pahala-pahala itu dalam keadaan berwarna putih, bercahaya, dan bersinar. Namun, Allah SWT menjadikan pahala-pahala itu seperti debu yang bertebaran, iaitu debu yang berserakan yang tidak meninggalkan sebarang kesan. Mereka (dahulu) mengambil bahagian dalam amal-amal soleh pada malam hari, seperti kamu semua (mengambil bahagian dalam amal tersebut), namun mereka ini adalah kaum yang apabila mereka bersendirian dan terpisah daripada manusia lain, mereka menganggap ringan akan larangan-larangan Allah SWT dan melanggarnya dengan melakukan perkara-perkara yang diharamkan, seolah-olah Allah tidak melihat mereka.

Justeru, jelaslah kepada kita bahawa golongan yang dinyatakan dalam hadith di atas adalah mereka yang kelihatan seperti orang yang baik dalam amalannya di hadapan orang ramai, tetapi apabila bersendirian, mereka melanggar larangan Allah. Ini menunjukkan bahawa dosa yang dilakukan secara tersembunyi boleh merosakkan amalan baik seseorang. Oleh itu, kita perlu sentiasa menjaga diri daripada melakukan maksiat, sama ada secara terbuka atau tersembunyi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

Leave a Reply