Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami, Piagam Madinah serta kesimpulannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ‎

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Lihat al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Ayat ini ditujukan buat seluruh manusia secara mutlak. Melalui ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawasaNya telah menciptakan kita berbagai bangsa dan puak untuk kita saling mengenali bukan saling membanggakan nasab. Namun, yang membezakan antara kita semua adalah ketakwaan kepada Allah SWT (Lihat Tafsir al-Munir 26/259)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan ulasan yang dibuat oleh Prof Dr Ali Muhyiddin al-Qaradhaghi:

Telah terbentuk sebuah negara Islam yang pertama iaitu di Madinah al-Munawwarah; maka, telah dibina kaedah untuk mempersaudarakan umat Islam antara kaum Muhajirin dan Ansar – mereka adalah ummat yang satu, mereka umpama jasad yang satu, tangan-tangan mereka bersatu melawan sesiapa sahaja yang menentang mereka. Maka, diasaskan juga kaedah keadilan, kenegaraan, jaminan hak-hak di sisi undang-undang, tanggungjawab dan kewajiban bagi bukan Muslim yang terdiri daripada orang-orang Yahudi, ahli kitab, golongan Musyrikin yang masih belum Islam, melalui penulisan Rasulullah SAW dalam plagam perjanjian yang klausanya berkenaan hak-hak Yahudi, Musyrikin dan seumpama dengannya, yang mengandungi sekitar 47 artikel, antaranya:

  1. Bahawa perlindungan Allah SWT itu adalah satu dan sama, ia memayungi nasib orang yang lemah dalam kalangan mereka, dan bahawa orang-orang mukmin hendaklah saling menjadi pelindung antara satu sama lain, dalam menentang pihak lain.
  2. Bahawa Yahudi yang patuh kepada kita hendaklah diberikan pertolongan dan kesamarataan; mereka tidak boleh dizalimi dan tidak boleh diberi bantuan kepada pihak yang menentang mereka.
  3. Keamanan untuk orang-orang Islam adalah sama. Jika dalam keadaan peperangan di jalan Allah SWT, tidak ada sebahagian Muslim yang boleh merasa aman bersama musuh, melainkan keamanan itu melibatkan seluruh Muslim dengan kadar yang adil dan saksama.
  4. Dalam setiap peperangan yang mereka sertai bersama kita, kumpulan-kumpulan ini akan dilepaskan ke medan perang mengikut pergiliran.
  5. Sebarang perselisihan yang berlaku, perlulah dirujuk kepada Allah SWT dan Muhammad SAW.
  6. Golongan Yahudi akan menanggung perbelanjaan perang bersama orang Islam sepanjang tempoh peperangan bersama.
  7. Yahudi akan menanggung perbelanjaan mereka sendiri, Muslim juga menanggung perbelanjaan mereka sendiri; dan jika berlaku perang terhadap ahli perjanjian ini, mereka akan saling memberi pertolongan, memberikan rundingan dan nasihat, berperilaku baik, dan setia mematuhi perjanjian, tidak sesekali melanggarnya.
  8. Seseorang tidak dikira bersalah atas kesalahan yang dilakukan oleh sekutunya dalam perjanjian ini, dan pertolongan akan sentiasa diberikan terhadap orang yang dizalimi.
  9. Tidak ada pelarian yang boleh diserahkan kepada pihak musuh, melainkan setelah mendapat izin daripada tuannya.
  10. Sekiranya berlaku sebarang pembunuhan atau perbalahan yang boleh membawa kehancuran, maka perlulah dirujuk kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sesungguhnya Allah SWT mengiktiraf ketakwaan sesiapa yang paling patuh kepada perjanjian ini.
  11. Semua pihak dalam perjanjian ini akan saling tolong-menolong mempertahankan Yathrib daripada diserang (oleh musuh-musuh).
  12. Jika mereka (Yahudi) diajak untuk berdamai dan menjadi ahli perjanjian damai, maka mereka harus menawarkan pendamaian dan menjadi ahli perjanjian damai tersebut, dan jika mereka (Muslim) diajak untuk perkara yang sama, maka mereka juga perlu menyertainya, melainkan terhadap pihak yang mencetuskan peperangan agama.
  13. Setiap pihak perlu bertanggungjawab pada bahagian mereka (mempertahankan negara daripada diserang musuh yang masuk melalui kawasan yang dijaga oleh mereka).
  14. Yahudi Bani Aus dan suku kaum mereka adalah sama dengan semua ahli dalam perjanjian ini dari sudut hak-hak, dan perlu bertindak patuh mengikut perjanjian ini. Sesungguhnya perbuatan patuh setia terhadap perjanjian ini tanpa melanggarnya, kebaikan itu akan kembali kepada diri sendiri. Sesungguhnya Allah SWT bersama sesiapa yang paling mematuhi dan mengakui kebenaran perjanjian ini.
  15. Bahawa Piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan orang-orang yang bersalah melanggar perjanjian. Sesiapa sahaja yang keluar menjalankan misi dan yang duduk menetap dalam Kota Madinah, maka mereka memperoleh jaminan keselamatan kecuali bagi orang-orang yang zalim dan melanggar perjanjian. Sesungguhnya Allah SWT adalah pelindung bagi sesiapa yang bertakwa dan patuh kepada perjanjian ini. [Rujukan teks Piagam dalam: Ustaz Muhammad Hamidullah (Majmu’ah al Wathaiq as Siyasiah, cetakan Darul Irsyad, Beirut, 1389 H, hlm. 41-47) dan Ustaz Duktur Akram Omari, (Sirah an Nabawiyah as Sohihah) cetakan Markaz Buhuth Sunnah wa Sirah, Qatar, 1411H, hlm. 282-285, yang mengeluarkan artikel Piagam dari sumber yang mu’tamad, dan dinamakan dalam kitab-kitab sunah, sirah, dan sejarah dengan nama “As Sahifah”.]

Sepertimana ditegaskan di dalam Piagam tentang kebebasan beragama, dengan jelas sekali ia menyebut bahawa bagi orang-orang Islam agama mereka, dan bagi orang-orang Yahudi agama mereka. Sehinggakan ketika sebahagian Ansar cuba memaksa anak-anak keluarga mereka yang menjadi Yahudi supaya kembali kepada Islam, Allah SWT menurunkan ayat:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ

Maksudnya: “... Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)…”

(Surah al-Baqarah: 256)

Salah satu inti dalam Piagam juga menyebut bahawa, “Bagi Yahudi agama mereka, bagi orang Islam agama mereka, keluarga dan diri mereka, kecuali sesiapa yang menzalimi diri sendiri dan berbuat dosa, maka tiada yang boleh dipersalahkan kecuali diri sendiri, 462 seperti yang disebut dalam Piagam, menegaskan apa yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “…Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya…”

(Surah al-An’am: 164)

Malangnya, golongan Yahudi tidak menjaga dan menghormati Piagam ini dan isi kandungannya. Mereka melanggar janji-janji mereka dengan Rasulullah SAW, maka mereka ditimpa akibat daripada perbuatan mereka yang zalim dan melanggar janji.

Kesimpulan Piagam:

Kami simpulkan daripada klausa-klausa perlembagaan ini banyak hukum dan prinsip-prinsip umum, antaranya:

1) Pengiktirafan hak-hak ahli kitab terhadap asas kewarganegaraan di Yathrib atau Madinah al-Munawwarah, yang menjadikan mereka dan orang Islam satu ummah dari sudut kenegaraan, politik, pertolongan serta pertahanan negara yang menghimpunkan semua pihak.

2) Mengiktiraf kewujudan berbilang-bilang agama secara lengkap bagi Yahudi, Nasrani dan Musyrikin.

3) Wajib beriltizam di dalam memberi bantuan di antara satu sama lain antara dua umat yang berbeza daripada segi akidah iaitu umat Islam dan umat Yahudi – atas asas kenegaraan dan perkongsian hak-hak dan tanggungjawab terhadap negara. Tuntutan kewajiban ini adalah kewajiban terhadap negara, bukannya terhadap agama kerana setiap agama itu berbeza-beza. Di sini telah jelas fahaman muwathanah dengan terperinci, tentang hak-hak dan tanggungjawabnya. Oleh itu, kita diharuskan bergaul dan menjalankan kehidupan dengan bukan Muslim atas asas muwathanah, walau dengan pengamalan agama yang berbeza.

4) Kesamarataan dari sudut hak dan kewajiban, hak bergerak bebas dan keamanan kecuali bagi golongan kafir harbi dan Musyrikin.

5) Kebebasan beragama untuk semua orang.

6) Pemeliharaan hak-hak dan undang-undang tidak membenarkan sesiapa pun mencemarinya.

7) Tanggungjawab peribadi akan tetapi, bagi tanggungjawab berjemaah, untuk memelihara isi kandungan Piagam, dan menghalang sesiapa yang berniat mencemarinya, dan tidak mengizinkan ia berada di tangan musuh (Quraisy) – oleh itu, tanggungjawab berjemaah juga turut dijaga.

8) Menetapkan sempadan negara melalui persempadanan yang ditetapkan dalam Piagam (Yathrib).

9) Bahawa hak-hak seseorang itu adalah hadiah daripada Allah SWT, tiada siapa pun boleh mencemarinya; maka, inilah keistimewaan hak-hak menurut Islam. Oleh itu, tidak ada dalam kalangan umat Islam yang boleh mencemari hak-hak orang lain, sekalipun terhadap orang yang belum terikat dengannya.

10) Hak-hak menurut Islam – ia datang seiring dengan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Sepertimana hak-hak ini adalah suci yang wajib dipertahankan, penegasan dalam Piagam juga mewajibkan tolong-menolong dalam menentang kezaliman, puak-puak pelampau dan jahat, serta tolong-menolong memelihara nasib orang-orang yang lemah dan tertindas. (Lihat Kerahmatan Islam dan Fenomena Terrorisme, hlm. 440-444)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Leave a Reply