Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah perbuatan maksiat menghilangkan nikmat seseorang itu? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَٰكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ
Maksudnya: “Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus”
(Surah al-Hujurat:7)
Al-Syaukani ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT menjadikan setiap perkara yang termasuk dalam jenis kefasikan dan keingkaran sebagai sesuatu yang dibenci di sisi kamu. Mereka yang digambarkan dengan sifat-sifat tersebut adalah al-Rasyidun iaitu mereka yang istiqamah dan teguh pada jalan yang benar. (Lihat Fath al-Qadir, 5/71)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa perbuatan maksiat adalah perbuatan yang menyebabkan seseorang itu terhalang daripada rezeki dan nikmat Allah SWT. Ia bukan hanya memberi kesan kepada kehidupan akhirat tetapi juga boleh mempengaruhi kehidupan duniawi seseorang individu. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Thauban R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ
Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.”
Riwayat Ibn Majah (4022), Ahmad (22745) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9752)
Dinyatakan dalam al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, (24/193): Sesungguhnya seorang lelaki boleh menjadi terhalang dari rezeki akibat dosanya. Ini boleh ditafsirkan dalam dua tafsiran:
Pertama: Yang dimaksudkan dengan rezeki di sini adalah ganjaran dan darjat di akhirat. Tidak diragukan lagi, apabila seseorang mengurangkan dosanya, darjatnya di akhirat akan meningkat. Sebaliknya, jika dosanya banyak, darjatnya di akhirat akan menurun.
Kedua: Yang dimaksudkan dengan rezeki adalah rezeki dunia seperti harta, kesihatan, dan kesejahteraan. Dengan tafsiran ini, hadith ini mungkin nampak kurang sesuai, kerana kita sering melihat orang kafir dan orang yang fasik mempunyai lebih banyak harta dan kesihatan berbanding orang yang soleh.
Namun, kemusykilan ini dileraikan dengan mengatakan: Hadith ini tidak bersifat umum, tetapi khusus bagi beberapa orang. Jika Allah SWT ingin menjaga seorang Muslim dari dosa dan memasukkannya ke syurga tanpa siksaan, Allah akan membersihkannya dari dosa-dosa di dunia dengan cara menghukumnya di dunia kerana dosa yang dilakukannya. Jika seorang Muslim melakukan dosa, dia mungkin akan mengalami kesusahan seperti kemiskinan, keresahan hati, penyakit, atau luka sebagai akibat dari dosa tersebut, dan Allah mengilhamkannya bahawa kesusahan seperti kemiskinan dan keresahan hati itu adalah akibat dari dosa tersebut, agar dia menyedari dan bertaubat dari dosa itu.
Selain itu juga, disebutkan juga dalam Jalib al-Surur li Rabbat al-Khudur (hlm.16) bahawa: Antara akibat dari perbuatan maksiat ialah ia menghapuskan nikmat yang sedia ada dan memutuskan nikmat yang akan datang.
Justeru, jelaslah kepada kita bahawa perbuatan maksiat memberikkan impak yang buruk terhadap kehidupan seseorang iaitu terhalang daripada rezeki dan nikmat Allah SWT. Ini mengajar kita agar menghindari segala perbuatan maksiat dan sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT agar kita tidak terus terjebak dalam dosa dan maksiat kepada-Nya
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahu‘lam