Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah dibolehkan seorang muslim bergembira terhadap ujian yang menimpa seorang muslim khususnya yang zalim?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أكمَلُ المُؤمِنِينَ إيمانًا أحسَنُهم خُلُقًا

Maksudnya: “Orang mukmin yang paling sempurna keimananya adalah yang paling baik akhlaknya.”

Riwayat Abu Dawud(4682) dan Tirmizi(1162)

Hadith ini menunjukkan bahawa: Semakin baik akhlak seseorang hamba, semakin sempurna imannya. (Lihat Tatriz Riyadh al-Salihin, hlm.411)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa pada asalnya seorang muslim itu tidak boleh bergembira terhadap sesuatu kesusahan atau musibah yang menimpa saudara muslim yang lain. Ini kerana kita diperintahkan oleh syarak untuk berbuat baik kepada sesiapapun khususnya sesama muslim bahkan syarak mengajar kita untuk berdoa dan meringankan beban mereka yang ditimpa ujian. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآْخِرَةِ. . وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan kesusahan mukmin daripada kesusahan dunia, Allah SWT akan melepaskannya daripada kesusahan pada Hari Akhirat. Sesiapa yang memudahkan orang yang susah, Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib seseorang muslim, Allah SWT akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah SWT akan sentiasa menolong hamba-Nya selagimana dia menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Dawud (1455), al-Tirmizi (2954), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427).

Hadith ini menunjukkan keutamaan seseorang yang menghilangkan kesusahan dan musibah dari seorang saudara Muslim, yang menyebabkan kesedihan, kegelisahan, dan kesempitan. Menghilangkan kesusahan itu mungkin dengan memberinya harta jika kesusahannya disebabkan oleh keperluan seperti hutang yang perlu dibayar atau perbelanjaan yang sukar dipenuhi, atau dengan menggunakan pengaruh untuk memohon bantuan dari orang lain. Selain itu, menghilangkan kesusahan itu mungkin dengan berusaha untuk menghapuskan kezaliman yang menimpanya, dengan cara mengangkat atau meringankan kezaliman tersebut. Ini adalah satu perkara yang luas, dan garis panduannya adalah menghilangkan atau meringankan segala kesusahan yang menimpa seseorang hamba. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/127)

Oleh yang demikian, Islam mengajarkan kita untuk sentiasa berbuat baik dan menunjukkan kasih sayang kepada sesama manusia, terutama sesama Muslim. Bergembira dengan kesusahan muslim yang  lain adalah perbuatan yang tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim bahkan ia merupakan cerminan akhlak mereka yang munafik. Yang demikian sebagaimana yang digambarkan oleh firman Allah SWT:

إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا

Maksudnya: “Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.”

(Surah ali Imran:120)

Al-Baghawi menyatakan bahawa:  Jika kamu, wahai orang-orang yang beriman, mencapai kemenangan ke atas musuh kamu, memperoleh harta rampasan daripada mereka, ramai orang yang masuk ke dalam agama kamu, serta kehidupan kamu menjadi makmur, maka perkara tersebut akan menyedihkan mereka. Tetapi jika kamu ditimpa keburukan, seperti kegagalan dalam misi rahsia, musuh yang mencederakan kamu, perpecahan di kalangan kamu, kemarau, atau bencana yang menimpa kamu, mereka akan bergembira dengannya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 2/96)

Adapun kegembiraan seorang Muslim terhadap musibah yang menimpa saudara Muslim yang zalim, yang menjadi sebab terhindarnya dari kezaliman atau terhentinya kemungkaran, maka tidaklah ia dianggap sebagai satu kesalahan. Kegembiraan ini mungkin timbul kerana dia merasa terbebas dari kezaliman dan merupakan ungkapan rasa syukur kepada Allah SWT atas perlindungan-Nya yang mencegah dari berlanjutannya kemungkaran  tersebut.

Syeikah al-Sya’rawi dalam isu ini menyatakan bahawa: Apa yang menyimpang dari kehendak Allah pasti akan merosakkan masyarakat, seperti yang kita lihat, masyarakat menderita akibat kekufuran orang kafir dan kemaksiatan orang yang berdosa… Sekiranya manusia mematuhi hukum Allah, maka tidak akan berlaku kerosakan di alam ini dan kehidupan mereka tidak akan terganggu. Oleh itu, kita merasa gembira apabila Allah membalas orang-orang kafir dan orang-orang yang berdosa, dan kita berkata: Alhamdulillah yang telah melepaskan negara dan hamba-Nya dari mereka. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 19/11825)

Justeru, seorang muslim tidak seharusnya merasa gembira atas musibah yang menimpa saudara muslim yang lain, kecuali jika jelas bahawa individu tersebut telah melakukan kemungkaran besar dan melanggar batas-batas syarak seperti kezaliman, penyebaran fitnah, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, seorang muslim hendaklah sentiasa menunjukkan akhlak yang baik selaras dengan perintah syarak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

Leave a Reply