Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kami tinggal di negara Barat, di mana terdapat restoran yang menyajikan pelbagai jenis pizza, termasuk pizza dengan hirisan daging babi. Sudah tentu, kami hanya memesan pizza keju atau sayur-sayuran sahaja. Namun, masalahnya adalah pekerja tidak mencuci tangan mereka setiap kali mereka menyentuh daging babi. Contohnya, apabila seseorang yang bukan Muslim memesan pizza dengan daging babi dan sayur-sayuran, pekerja tersebut menyentuh daging babi, kemudian menyentuh bekas sayur-sayuran, dan memasukkan tangannya ke dalamnya. Mungkin juga mereka menyentuh benda-benda lain yang basah di dalam dapur, yang berkemungkinan dapat dipindahkan najis babi ke dalamnya. Oleh kerana sayur-sayuran secara semula jadi lembap, adakah semua potongan sayur-sayuran dan hirisan keju yang mungkin disentuh oleh tangan pekerja menjadi najis, atau tidak? Adakah dengan kemungkinan ini, pizza yang hanya mengandungi keju atau keju dan sayur-sayuran menjadi haram untuk dimakan? Akhirnya, kami selalu meminta pekerja untuk mencuci tangan mereka dan mencuci pisau, atau menukarnya sebelum memotong pizza. Adakah arahan ini mencukupi untuk memastikan pizza tersebut adalah halal, dan untuk mengelakkan najis babi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, sebagaimana yang kita sudah sedia maklum, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302).

Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, jika pekerja memegang daging babi, kemudian meletakkan tangannya di dalam sayur-sayuran yang lembap, ia akan menajiskannya. Begitu juga jika dia memotong pizza yang mengandungi daging babi dengan pisau, kemudian menggunakan pisau tersebut tanpa membasuhnya untuk memotong makanan lain, ia juga akan menajiskan makanan tersebut. Sebagaimana diketahui bahawa tidak boleh memakan makanan yang telah terkena najis — mutanajjis.

Asasnya dalam hal ini adalah hadith daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, katanya: Aku bertanya:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut.

Riwayat al-Bukhari (5478) dan Muslim (1930)

Para ulama menyebutkan, hadith ini dapat difahami bahawa bekas-bekas itu telah digunakan untuk memasak dan meminum bahan-bahan bernajis sebagaimana hal tersebut telah dinyatakan secara jelas dalam riwayat Abu Tha‘labah yang lain, katanya:

إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ، وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمْ الْخِنْزِيرَ، وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمْ الْخَمْرَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا، فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Maksudnya:Sesungguhnya kami telah berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan bekas-bekas minuman mereka. (Justeru, bolehkah kami menggunakan bekas-bekas itu)? Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika engkau dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah menggunakannya. Jika engkau tidak dapat selainnya, maka cucilah ia dengan air, kemudian makan dan minumlah (dengan menggunakannya).’

Riwayat Abu Daud (3839)

Al-Khattabi menyebutkan, hukum asal dalam perkara ini adalah jika diketahui bahawa orang bukan Islam itu memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan gelas-gelas mereka, maka tidak boleh menggunakan perkakas-perkakas itu melainkan setelah dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/257).

Namun, dalam al-Fiqh al-Manhaji ada menyebutkan bahawa perintah membasuh perkakas itu adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya. Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/37).

Selain daripada itu, ulama dari al-Lajnah Da’imah pernah ditanya berkenaan beberapa restoran memanggang daging lembu di atas pemanggang yang sama yang digunakan untuk memanggang daging babi, adakah dibenarkan memakan daging tersebut? Begitu juga pisau yang digunakan untuk memotongnya?

Mereka menjawab: “Tidak dibenarkan memakan daging lembu yang dipanggang di atas pemanggang yang sama digunakan untuk memanggang daging babi, dan begitu juga dengan pisau yang sama — digunakan untuk kedua-dua daging itu.” (Lihat Fatawa al-Lajnah Da’imah, 22/285).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa jika diyakini pekerja tersebut mencuci tangan sebelum menyentuh sayur-sayuran dan adunan, dan mencuci pisau sebelum memotong pizza, maka dibenarkan memakan makanan yang halal — yang tidak mengandungi daging babi dan bahan-bahan bernajis. Akan tetapi jika terdapat keraguan dalam hal ini, maka ia tidak dibolehkan, kerana asalnya najis tetap ada di tangan dan pisau yang digunakan untuk menyentuh daging babi, dan najis tersebut tidak akan hilang melainkan dengan kepastian bahawa keduanya telah dibasuh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply