Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang itu memandikan jenazah orang bukan Islam, terutamanya yang mempunyai hubungan hubungan kerabat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Pertamanya, secara umumnya, memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut. Bahkan kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW sendiri.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, berkenaan memandikan orang kafir, kami telah sebutkan bahawa mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) berpendapat, seorang Muslim boleh memandikan, mengkafankan dan mengikuti jenazahnya. Ini juga dinukilkan oleh Ibn al-Munzir daripada ashab al-Ra’yi dan Abu Thaur. Imam Malik dan Imam Ahmad pula berpendapat bahawa seorang Muslim tidak dibolehkan untuk memandikan mahupun mengkafankan jenazah orang kafir, akan tetapi Imam Malik berkata bahawa dia boleh menutup jasadnya (menguburkannya). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/153).

Bahkan dalam al-Umm, Imam al-Syafi‘i juga ada menyatakan bahawa tidak menjadi masalah bagi seorang Muslim untuk memandikan kerabatnya yang musyrik, mengikuti jenazahnya, dan menguburkannya. Akan tetapi dia tidak boleh melakukan solat jenazah ke atasnya. Hal ini berdasarkan riwayat di mana Nabi Muhammad SAW telah memerintahkan Ali R.A untuk memandikan Abu Talib. (Lihat al-Umm, 1/303).

Tambahan pula, riwayat ini memberikan contoh sebenar toleransi dan kemanusiaan dalam Islam. Walaupun Abu Talib masih belum memeluk Islam ketika wafat, Rasulullah SAW masih memerintahkan Ali R.A untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapanya. Ini menunjukkan bahawa Islam mengajar kita untuk terus memperlakukan orang lain dengan baik walaupun berbeza fahaman dan pegangan.

Dalam kitab al-Majmu‘, Imam al-Nawawi mengatakan bahawa adapun solat ke atas jenazah orang kafir dan mendoakan keampunan buatnya, ia adalah haram berdasarkan nas al-Quran dan ijma‘ ulama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/144).

Larangan dan haram mensolatkan jenazah orang kafir jelas kerana Allah SWT melarang kita untuk mendoakan mereka setelah kematian sebagaimana firman-Nya:

مَا كَانَ لِلنَّبِىِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن يَسْتَغْفِرُوا۟ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوٓا۟ أُو۟لِى قُرْبَىٰ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَٰبُ ٱلْجَحِيمِ

Maksudnya:Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

(Surah al-Taubah: 113)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya menyebutkan, tidak boleh bagi para nabi dan orang-orang beriman untuk turut serta dalam urusan memohon kepada Allah SWT dengan keampunan bagi orang-orang musyrik (yang menyekutukan Allah). Maksud tidak boleh di sini adalah larangan daripada Allah SWT. Hal ini kerana konsep kenabian dan keimanan tidak menerima pengampunan orang yang mati dalam keadaan syirik, maka tidak perlu memohon keampunan untuk mereka. Dan sebab larangan ini sebagaimana firman Allah SWT iaitu “sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka” dan firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa orang yang syirik dan mengampuni dosa selain daripadanya.” (Lihat Tafsir al-Munir, 11/60)

Ayat ini jelas menunjukkan larangan kepada orang Islam untuk mendoakan keampunan termasuk mensolatkan orang  yang mati dalam keadaan kafir kerana mereka ini jelas akan ditempatkan di neraka di akhirat kelak. Hal ini kerana dalam solat jenazah sebanyak 4 takbir itu mengandungi doa keampunan kepada jenazah yang disolatkan itu.

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika saudara atau kerabat yang bukan Islam meninggal dunia, kita boleh menguruskan jenazahnya, bermula dari memandikan, mengkafankan dan mengiringinya ke perkuburan, bahkan mengebumikannya. Apa yang tidak boleh dan haram melakukannya hanyalah melakukan solat jenazah ke atas jenazah orang kafir/ bukan Islam dan mendoakan keampunan buatnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply