Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada ada terlihat seekor ikan yang menyimpan telur-telurnya di dalam mulut sehinggalah ia menetas. Ikan itu dipanggil sebagai Yellowhead jawfish. Lalu timbul persoalan, adakah ikan itu boleh dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas berkenaan ikan ini terlebih dahulu. Ikan Rahang Kepala Kuning (Yellowhead jawfish) atau nama saintifiknya Opistognathus aurifrons adalah spesies ikan rahang (jawfish) yang berasal dari terumbu karang di Laut Caribbean. Ia ditemui pada kedalaman antara 3 hingga 40 meter (9.8 hingga 131.2 kaki). Bahagian kepala dan bahagian atas badan ikan ini berwarna kuning cerah yang perlahan-lahan memudar kepada warna biru mutiara. Ikan ini boleh mencapai panjang sehingga 10 sentimeter (3.9 inci). Ikan Rahang Kepala Kuning biasa ditemui di Florida. Ikan ini hidup dalam kawasan berbatu dan berpasir dalam kumpulan yang terdiri daripada sehingga 70 individu.
Gambar di atas: Ikan Rahang Kepala Kuning (Yellowhead jawfish) (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Yellowhead_jawfish#/media/File:Opistognathus_aurifrons.jpg)
Ikan Rahang Kepala Kuning biasanya ditemui di kawasan cetek di mana terdapat bahan untuk pembinaan sarang. Ia kekal berhampiran dengan wilayah kecilnya dan lazimnya hanya kepala dan bahagian atas badannya yang kelihatan keluar dari sarangnya, walaupun kadang-kadang ia boleh ditemui terapung berhampiran. Ia mampu menyusun bahan menggunakan mulutnya, membawa pasir, kulit kerang, atau batu kecil dari satu tempat ke tempat lain.
Ikan ini adalah pembawa telur dalam mulut (mouthbrooder), di mana ikan jantan akan membawa telur dalam mulutnya sehingga telur tersebut menetas.
Gambar di atas: Telur-telur yang disimpan dalam ikan jantan. (Sumber gambar: https://www.facebook.com/photo/?fbid=2650661941902528&set=pcb.2650662001902522)
Ikan Rahang Kepala Kuning mempunyai dua jenis tindak balas terhadap penceroboh, iaitu melarikan diri atau bertempur. Jenis tindak balas bergantung kepada jenis ikan yang mendekat. Semasa melarikan diri, ikan ini akan berenang menjauh dari penceroboh dan masuk ke dalam sarangnya, menutup pintu masuk dengan batu besar. Semasa bertempur, ikan ini akan meludah pasir atau batu ke arah penceroboh.[1]
Memakan Ikan Rahang Kepala Kuning (Yellowhead jawfish)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, ikan sebagaimana bentuk kebiasaannya adalah haiwan yang halal dimakan secara sepakat para ulama. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ
Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”
Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.
Ini merupakan pendapat mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali, serta bahkan mazhab Hanafi. Ini kerana ulama mazhab Hanafi berpendapat, jenis hidupan air yang halal dimakan hanyalah ikan sahaja, termasuklah al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut),[2] manakala haiwan/hidupan air selain ikan adalah tidak halal untuk dimakan di sisi mereka. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548; Mukhtasar al-Quduri, hlm. 207; al-Mabsut, 11/248).
Di antara sebab haiwan/hidupan air selain ikan tidak halal dimakan di sisi Hanafiyyah kerana ia dianggap sebagai khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Hidupan air selain ikan adalah termasuk dalam benda khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh ‘Abd al-Ghani al-Maidani dalam al-Lubab fi Syarh al-Kitab (3/231) ketika mensyarahkan kenyataan al-Quduri dan begitu juga turut disebutkan oleh al-Marghinani dalam al-Hidayah fi Syarh Bidayah al-Mubtadi (4/353).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa Ikan Rahang Kepala Kuning (Yellowhead jawfish) adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya seperti mengandungi racun dan seumpamanya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan lautan bahkan tergolong dalam jenis ikan. Maka, ia dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Yellowhead_jawfish. Diakses pada 17 Ogos 2024.
[2] ‘Alauddin al-Haskafi mendefinisikan al-Jarith sebagai sejenis ikan berwarna hitam — iaitu merujuk kepada ikan keli. Manakala al-Maramahi sebagai sejenis ikan dalam bentuk ular — iaitu merujuk kepada belut. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 542).