Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kadang-kadang saya tengok menjadi kebiasaan sesetengah daripada kita untuk menelefon dan bercakap-cakap dengan telefon ketika sedang berada di dalam tandas ketika qadha’ hajat. Sebenarnya, apakah hukumnya perbuatan tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya:Dan orang yang terdahulu — yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 100)

Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa perbuatan menelefon dan bercakap-cakap ketika berada di dalam tandas ketika qadha’ hajat (buang air) tanpa sebarang keperluan adalah makruh. Maka, adalah lebih baik untuk tidak melakukannya. Ketika membuang air air, kita diperintahkan berdiam diri, tanpa bercakap sama ada secara bersemuka atau melalui telefon.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar R.Anhuma:

أَنَّ رَجُلاً مَرَّ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبُولُ فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْه

Maksudnya:Seorang lelaki lalu ketika Rasulullah SAW buang air kecil. Dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawabnya.”

Riwayat Muslim (370)

Begitu juga hadith daripada Abu Sa‘id R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَخْرُجْ الرَّجُلاَنِ يَضْرِبَانِ الْغَائِطَ كَاشِفَيْنِ عَنْ عَوْرَتِهِمَا يَتَحَدَّثَانِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَمْقُتُ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya:Janganlah keluar dua orang menuju ke tempat buang air dalam keadaan aurat terbuka sambil bercakap-cakap ketika buang air, kerana Allah SWT murka terhadap perbuatan tersebut.”

Riwayat Abu Dawud (15)

Selain daripada itu, Sa‘id Ba‘isyin menyebutkan, tidak boleh bercakap-cakap ketika sedang membuang air (qadha’ hajat) sekalipun percakapannya itu bukanlah berbentuk zikir kerana terdapat larangan mengenainya. Begitulah juga halnya, tidak dibolehkan untuk bercakap-cakap ketika tidak membuang air selagi mana masih berada di dalam tandas sekalipun tujuan masuknya ke dalam tandas bukan untuk membuang air. (Lihat Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 121)

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan, makruh bercakap-cakap melainkan adanya keperluan semasa keluarnya air kencing atau najis (yakni ketika qadha’ hajat) sekalipun percakapan itu bukan berbentuk zikir atau menjawab salam kerana terdapatnya larangan daripada bercakap-cakap ketika buang air. Jika seseorang itu bersin, maka dia hendaklah mengucapkan tahmid (yakni ‘alhamdulillah’) dalam hatinya sahaja sebagaimana orang yang sedang berjimak. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu bercakap-cakap tetapi tidak didengari oleh dirinya, hukumnya tidak makruh. Begitu juga sekiranya seseorang itu takut berlakunya apa-apa perkara yang tidak diingini jika tidak bercakap, hukumnya juga tidak makruh. Manakala jika bukan semasa keluarnya sesuatu (yakni sama ada air kencing atau najis) maka dihukumkan makruh pada perkataan berupa zikir dan al-Quran sahaja. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/170)

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa makruh bercakap-cakap ketika qadha’ hajat (buang air) menurut kesepakatan para ulama. Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis percakapan ada sama dari segi kemakruhan. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian (yakni dibolehkan bercakap-cakap ketika qadha’ hajat) pada situasi-situasi yang ada keperluan seperti ternampak orang buta jatuh ke dalam perigi, nampak ular dan seumpamanya. Maka ketika itu, tidak lagi makruh untuk bercakap-cakap dalam situasi-situasi tersebut, bahkan diwajibkan pada kebanyakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/88)

Bahkan al-Khatib al-Syirbini turut menyebutkan bahawa “tidak bercakap-cakap semasa buang air kecil atau buang air besar,” maksudnya adalah dia diam semasa qadha’ hajatnya (buang air). Dalam erti kata lain, dia tidak bercakap sama ada dengan zikir atau dengan yang lain. Hal ini adalah makruh baginya kecuali dalam keadaan darurat, seperti memberi amaran kepada orang buta. Dalam keadaan itu, tidaklah makruh, malah mungkin menjadi wajib.

Kemudian, al-Bujairimi menjelaskan lagi kenyataan al-Khatib al-Syirbini itu dengan menyebutkan, kenyataan beliau, “semasa qadha’ hajat” bukanlah suatu yang mengikatnya (atau syarat). Ini kerana pendapat yang muktamad, hukum karuh itu adalah secara mutlak sebaik sahaja masuk (ke dalam tandas), walaupun bukan untuk membuang air (qadha’ hajat) seperti masuk untuk meletakkan teko atau (menghidupkan) lampu, atau jika lorongnya panjang.

Manakala kenyataan beliau, “makruh baginya hal itu” adalah merujuk kepada percakapan. Dan kenyataan beliau, “malah mungkin menjadi wajib” apabila ditakuti berlaku sesuatu yang membahayakan kepada seseorang yang dihormati, seperti orang buta yang hampir jatuh ke dalam telaga.

Kadang-kadang ia disunatkan jika maslahatnya lebih utama daripada diam, seperti jika dirinya terdetik untuk bersedekah dan takut syaitan menghalangnya daripada melakukannya, maka disunatkan untuk bercakap dengan mengarahkan agar sedekah itu diberikan. Dan kadang-kadang dibolehkan jika ada keperluan yang maslahatnya tidak lebih utama daripada diam, dan tidak haram dalam apa jua keadaan, walaupun dengan membaca al-Quran, berbeza dengan pendapat al-Azra‘i yang mengharamkannya.

Manakala kenyataan beliau, “kecuali dalam keadaan darurat,” adakah termasuk dalam percakapan apa yang dilakukan oleh orang yang menunaikan hajat, seperti berdehem apabila pintu tandas diketuk oleh orang lain untuk mengetahui sama ada tandas itu ada orang ataupun tidak? Ini masih perlu diteliti. Namun, pendapat yang lebih dekat (kepada kebenaran) adalah perbuatan sebegini tidak dikira sebagai percakapan, dan jika dikira sekalipun, ia adalah kerana suatu keperluan iaitu untuk mengelakkan orang lain daripada masuk kerana menyangka tandas itu kosong. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/193).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa menelefon atau bercakap-cakap menerusi telefon ketika berada di dalam tandas semasa qadha’ hajat adalah makruh tanpa sebarang keperluan. Sebaik-baiknya ia dijauhi kerana perbuatan tersebut menyalahi adab-adab ketika buang air, di samping terdapat nas yang melarangnya. Apatah lagi bercakap-cakap dalam tandas yang merupakan tempat yang dianggap kotor dan sunyi daripada zikrullah. Justeru, kita sepatutnya diam dan hanya bercakap sekiranya ada keperluan, serta bersegera untuk keluar darinya setelah selesai urusan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.”

Leave a Reply