Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika seseorang itu sudah pun melangsungkan akad nikahnya secara atas talian (online), adakah dibolehkan bagi mereka untuk mengulangi sekali lagi akad nikah tersebut secara fizikal beberapa bulan kemudian? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”
(Surah al-Rum: 21)
Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah (yakni bukti dan tanda-tanda) yang menunjukkan kepada al-Ba‘th (yakni kebangkitan), di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)
Seterusnya, dalam menjawab soalan ini, pertamanya, kami katakan bahawa akad nikah secara atas talian (online) melalui video secara langsung seperti Skype, Zoom dan seumpamanya adalah sah sekiranya mencukupi syarat dan rukun nikah, iaitu:
Rukun Nikah:
- Suami
- Isteri
- Wali
- Dua orang saksi
- Lafaz ijab dan qabul (sighah)
Dari segi hukum Islam, dalam akad nikah, tidak semestinya jurunikah berada secara berhadapan secara fizikal. Namun yang paling penting, dia perlu berhadapan dan bercakap kerana salah satu daripada rukun nikah itu adalah wujudnya sighah. Sighah bermaksud lafaz atau perbuatan yang disampaikan oleh orang yang sedang melakukan akad (perjanjian) serta menunjukkan keredhaannya. Para fuqaha’ berpendapat yang terkandung di dalam sighah mestilah ijab (lafaz penawaran) dan qabul (lafaz penerimaan). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/200).
Bahkan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference) juga telah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut:
- Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zan.
- Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
- Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
- Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
- Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
- Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.
Penjelasan lanjut berkenaan hal ini bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2367: Pernikahan Secara Online.[1]
Keduanya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa jika akad pertama sudah lengkap dengan rukun-rukunnya, maka mengulanginya sekali lagi tidak membatalkan akad pertama. Ia hanya berfungsi sebagai pengesahan tambahan di hadapan keluarga atau untuk mendokumentasikan akad yang pertama. Hukum-hukum pernikahan adalah sah sejak dari akad pertama lagi. Oleh itu, tidak boleh menetapkan syarat-syarat baru atau mas kahwin yang berbeza daripada yang telah dipersetujui dalam akad pertama. Namun, jika akad pertama tidak lengkap rukun-rukun dan syarat-syaratnya, maka ia dianggap tidak sah, dan perlu dilakukan akad baru dengan mas kahwin baru. Dalam akad baru ini, dibolehkan menetapkan syarat-syarat baru.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/2367-2/. Diakses pada 18 Ogos 2024.