Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum bayar zakat kepada rakyat Palestin melalui akaun amanah kemanusiaan rakyat Palestin. Mohon penjelasan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Zakat merupakan kewajiban ke atas umat Islam. Zakat membawa keberkatan harta untuk membersihkan harta daripada kotoran noda maksiat. Allah SWT berfirman:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰلِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ
Maksudnya: “Ambillah wahai Muhammad, daripada harta mereka yang mengaku berdosa lalu bertaubat itu, sebagai sedekah untuk membersihkan dosa mereka serta menyucikan jiwa mereka dan doakanlah kebaikan untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu menenangkan hati mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Imam Abu Muhammad al-Baghawi berkata: “Allah SWT mengarahkan Nabi dan pemimpin umat Islam supaya mengambil bayaran zakat masyarakat umat Islam untuk membersihkan diri mereka daripada dosa, dan menyucikan mereka daripada sifat-sifat nifaq, agar diri mereka menggapai martabat keikhlasan yang tertinggi, serta menggandakan keberkatan harta mereka.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, 2/384)
Selain itu, kita juga amat dianjurkan untuk saling membantu dan menolong saudara kita yang kurang bernasib baik di seluruh pelusuk dunia akibat ditindas dan dizalimi oleh rejim pengganas dan tirani yang durjana seperti keadaan saudara seagama kita di Palestin.
Wajib Bayar Zakat Kepada Pemimpin
Menurut konteks di Malaysia, umumnya zakat mestilah dibayar kepada pemimpin (ulil amri) iaitu pihak berkuasa yang berautoriti di negeri kita bekerja dan mencari rezeki. Jika di Malaysia, zakat haruslah dibayar kepada pusat pungutan zakat yang diuruskan oleh pihak berkuasa negeri.
Di sini kami tegaskan suatu noktah pendirian bahawa kita mestilah membayar zakat ke Pusat Pungutan Zakat yang diselia oleh Majlis-majlis Agama Islam Negeri. Ia merupakan entiti autoriti keagamaan dan pimpinan yang sah.
Bayaran zakat kepada pemimpin adalah lebih afdal berbanding membayar zakat secara sendiri, bahkan menjadi wajib apabila pemerintah telah mengarahkan sedemikian ke atas sekalian rakyat.
Imam al-Ramli memfatwakan: (Imam al-Nawawi mengatakan: Pendapat yang azhar di dalam mazhab, membayar zakat menerusi pemerintah lebih afdal) berbanding membayar zakat sendiri secara langsung atau menerusi wakil yang dilantik sendiri; kerana pemimpin lebih tahu dan lebih mampu untuk mencapai seluruh golongan asnaf yang berhak dan berkelayakan, dan pengagihannya lebih meyakinkan.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/136)
Apabila pemimpin mengarahkan agar zakat dibayar kepada pihak berwajib, maka kita wajib menuruti arahan ulil amri sepertimana yang diarahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah SAW dan para pemimpin dalam kalangan kalian.”
(Surah al-Nisa’: 59)
ِArahan mentaati pemimpin juga amat ditegaskan dan dititikberatkan oleh Rasulullah SAW. Saidina Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا، وَإِنْ وُلِّيَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ
Maksudnya: “Dengar dan taatilah pemimpin kalian. Meskipun jika hamba berbangsa Habsyah (berkulit hitam) menjadi pemimpin kalian!”
Riwayat al-Bukhari (7142)
Pemerintah pula wajib memimpin dan mengarahkan rakyat kepada perkara kemaslahatan dan kebaikan rakyat itu sendiri. Imam Jalaluddin al-Suyuti mengatakan bahawa Imam al-Syafi‘i menegaskan kaedah utama berkenaan ini ketika beliau mengungkapkan:
تَصَرُّفُ الْإِمَام عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Tindakan (perlaksanaan) pemerintah ke atas rakyat adalah mesti berkait (terikat) dengan maslahah.” (Lihat al-Manthur fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, 1/309)
Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani berkata tentang hikmah arahan pembayaran zakat kepada pemimpin: “Syeikh kami (Ibn Hajar al-Haitami) berkata: “Zakat itu dibayar kepada pemimpin, kerana pemimpinlah yang berhak mengagihkan zakat dan mengagihkan zakat tersebut ke kawasan lain yang dia rasakan perlu.” (LIhat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/223)
Membayar zakat secara sendiri, meskipun sah, namun pelakunya bakal menanggung dosa kerana tidak mentaati arahan ulil amri yang turut wajib.
Tidak Boleh Agih Zakat Sendiri
Berdasarkan Undang-undang Pentadbiran Islam di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan persekutuan, serta enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri. Terdapat juga negeri-negeri yang menubuhkan anak syarikat dalam urusan kutipan zakat ini seperti Wilayah Persekutuan, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 21, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menyatakan:
“boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan. Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi –
(b) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana pihak lain yang diberikuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 juga telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pusat zakat adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut dikira melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti adalah berdosa. Hal ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah pada perkara kebaikan.
Begitu juga, dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (JFMKBHEUIM) Kali Ke-87 yang bersidang pada 23–25 Jun 2009 telah membincangkan Kajian Semula Hukum Agihan Semula Zakat Secara Persendirian. Muzakarah ini juga telah memutuskan bahawa, keputusan yang telah dipersetujui pada Muzakarah kali ke -76 bertarikh 21-23 Nov 2006 adalah selaras dengan pandangan syarak dan tidak perlu dibuat sebarang pindaan. Keputusan ini juga selaras dengan pandangan mazhab Syafi’i yang menyatakan afdal membayar kepada pemerintah yang adil.
Namun begitu, terdapat kebenaran diberikan kepada pemilik harta untuk mengagihkan zakat sendiri langsung kepada asnaf khususnya bagi zakat perniagaan, pendapatan dan harta. Dalam hal ini, pembayar zakat hendaklah memohon terlebih dahulu kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) skim khas berupa wakalah agihan untuk membayar sendiri ke asnaf. Konsep al-Wakalah ini merupakan dasar pengembalian semula wang zakat kepada pembayar zakat dan melantik mereka sebagai wakil mengagihkan zakat bagi pihak MAIN kepada asnaf yang layak berdasarkan syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh MAIN. Pecahan pengembalian semula wang zakat ini adalah berbeza dan tertakluk kepada negeri.Oleh itu, pihak pembayar zakat hendaklah merujuk hal ini kepada pusat pungutan zakat di negeri masing-masing.[1]
Salah Satu Qaul Mazhab: Boleh Beri Zakat Kepada Luar Negara
Ada juga pendapat yang lebih ringan di dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i. Imam ‘Abdullah bin Muhammad ba Qasyir berkata: “Sebahagian ulama mazhab al-Syafi‘i menfatwakan boleh memindahkan zakat ke negeri/negara lain, namun ia bersifat makruh secara asalnya (jika dilakukan dalam keadaan mengabaikan asnaf di negeri sendiri). Ini merupakan pendapat Imam al-Ruyani, dan dinukilkan pendapat oleh Imam al-Khattabi daripada ramai ulama.” (Lihat Qala’id al-Khara’id wa Fara’id al-Fawa’id, hal. 241-242)
Imam Ahmad bin Musa ibn ‘Ajil berkata: “Antara pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i yang tidak diikuti dalam lapangan fatwa kepada masyarakat adalah; isu larangan memindahkan zakat ke tempat lain, majoriti fuqaha’ kini menfatwakan sebaliknya dan mereka membolehkannya.” (Lihat Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, hal. 182)
Kita boleh mengamalkan pendapat ringan ini atas kapasiti peribadi, Imam ‘Abd al-Hamid al-Syirwani berkata: “Syeikh kami (Ibn Hajar al-Haitami) dan Imam al-Ramli berkata: “Dibolehkan bagi seseorang untuk beramal dengan pendapat yang membolehkan perpindahan kutipan harta zakat atas kapasiti peribadinya, demikian juga boleh untuk mengamalkan pendapat-pendapat lain (yang bukan muktamad) semisal ini dalam segenap isu hukum-hakam, jika ia merupakan pendapat ulama mazhab yang dipercayai ilmu mereka seperti al-Azra‘i, al-Subki, al-Isnawi dan lain-lain.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala al-Tuhfah, 7/172)
Skim Wakalah Zakat
Bagi menjayakan hasrat melaksanakan zakat di negeri sendiri dan turut membantu negara luar/tempat lain, kami mencadangkan agar membayar zakat di amil negeri masing-masing dalam masa yang sama juga menjalankan akad Wakalah Zakat.
Pihak Pusat Pungutan Zakat di bawah seliaan ulil amri di negeri-negeri juga ada melaksanakan skim Wakalah Zakat. Wakalah ini adalah dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam negeri kepada entiti yang membayar zakat di Pusat Pungutan Zakat negeri untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.
Bagi Pusat Pungutan Zakat MAIWP misalnya, sekiranya seorang individu membayar semua jenis Zakat Harta kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, maka dia akan mendapat pulangan bayaran zakat:
- Had minimum 5% sekiranya membuat bayaran zakat RM20,000
- Had maksimum 50% sekiranya membuat bayaran zakat RM1,000,000 ke atas.
Apabila pembayar zakat mendapat semula pulangan bayaran zakat tersebut berdasarkan bahagian yang telah ditetapkan oleh Pusat Pungutan Zakat negeri masing-masing, dia boleh menyalurkan bantuan zakat tersebut ke mana-mana tempat yang dirasakan layak dan berhak di dalam atau luar negara seperti negara-negara umat Islam lain yang berkonflik.
Dengan itu, kita boleh menggabungkan antara dua kebaikan; membayar zakat di tempat sendiri dan menyalurkan bantuan zakat kepada saudara-saudara yang kurang bernasib baik di luar negara.
Kesimpulannya, kita wajib membayar zakat kepada Pusat Kutipan Zakat yang diselia di bawah pemimpin dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri masing-masing. Kita boleh melakukan akad Wakalah dalam Zakat di sana. Dengan akad Wakalah Zakat, beberapa peratus daripada bayaran zakat kita akan dipulangkan kembali. Jumlah pulangan itu boleh disalurkan kepada mana-mana platform sumbangan untuk membantu saudara-saudara kita yang tertindas di Palestin.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”
Wallahu a‘lam.
Nota hujung:
[1] Lihat pautan berikut: (https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/26/18-taudih-al-hukmi-hukum-mengagihkan-zakat-secara-persendirian/) Diakses pada 29/7.