Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, benarkah ada hadith yang menyatakan apabila seorang menziarahi kubur ibu bapanya dia diampunkan dosa bagai bayi yang baru lahir? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

 الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau membawakan satu riwayat daripada jalur Ma‘mar, daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالْمَوْتِ، وَجَعَلَ الدُّنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ، وَجَعَلَ الْآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang kekal.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)

Kami dahulukan makalah tulisan ini dengan sabdaan junjungan agung, Rasulullah SAW menerusi hadith yang diriwayatkan oleh Buraidah bin al-Husaib al-Aslami RA bahawa Baginda bersabda:

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا

Maksudnya: “Aku pernah melarang kalian daripada menziarahi perkuburan, namun kini, ziarahilah ia (tanah perkuburan).”

Riwayat Muslim (1977)

Imam ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi mensyarahkan hadith di atas dengan menyebutkan: “Arahan ini ditujukan kepada lelaki secara khususnya, dan ia dimakruhkan buat wanita dengan makruh tahrim sekiranya mereka melakukan perbuatan tangisan, ratapan dan kesedihan yang melampau di kawasan perkuburan. Jika tidak, maka makruhnya adalah pada tahap tanzih semata. Dan kemakruhan bagi wanita ini dikecualikan bagi kubur para Nabi, maka disunatkan bagi mereka untuk menziarahinya, begitu juga kubur para auliya’ Allah.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/289)

Jelaslah kepada kita akan anjuran menziarahi kubur di sisi syariat Islam bertujuan untuk mengingati kematian dan mengenang negeri akhirat yang kekal abadi.

Kembali kepada soalan di atas, setakat pencarian kami, terdapat dua hadith yang berkaitan dengan persoalan yang diajukan. Pertama, hadith yang dikatakan diriwayatkan menerusi hadith Abu Bakar al-Siddiq R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ زَارَ قَبْرَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدِهِمَا يَوْمَ الجُمُعَةِ فَقَرَأَ عِنْدَهُ يس غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah satu daripadanya pada hari Jumaat, kemudian dia membaca Surah Yasin di sisi kuburnya; nescaya akan diampunkan dosa-dosanya.”

Riwayat Ibn ‘Adi dalam al-Kamil (5/180)

Kemudian Imam Ibn ‘Adi sendiri menilai hadith ini sebagai hadith yang batil. Beliau berkata:

هَذَا الْحَدِيثُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ بَاطِلٌ، وَعَمْرُو بْنُ زِيَادٍ مُتَّهَمٌ بِالْوَضْعِ

Maksudnya: “Hadith ini menerusi sanad ini, statusnya adalah batil. (Di dalam sanadnya ada perawi bernama) ‘Amr bin Ziyad yang ditohmah sebagai pendusta hadith.” (Lihat al-Kamil fi Dhu‘afa’ al-Rijal, 5/180)

Hadith ini turut dinilai maudhu‘ oleh Imam Abu al-Faraj Ibn al-Jauzi al-Hanbali. (Lihat al-Maudhu‘at, 3/239)

Penilaian ini disokong oleh Imam Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari, beliau berkata: Dengan ini, Ibn al-Jauzi menganggap hadith tersebut sebagai hadith  maudhu‘ (palsu). Namun, pengarang menolak pandangan ini dengan alasan bahawa hadith tersebut mempunyai syahid (sokongan), iaitu hadith yang berikutnya. Akan tetapi, ini tidak tepat kerana menurut para ulama — termasuk pengarang sendiri — syahid tidak memberikan kesan (yakni tidak boleh menguatkan) pada hadith maudhu‘ (palsu), bahkan hadith-hadith dha‘if dan yang semisalnya. (Lihat al-Mudawi li ‘Ilal al-Jami‘ al-Saghir wa Syarhai al-Munawi, 6/291)

Kedua, hadith yang dikatakan diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ زَار قَبْرَ أَبَوَيهِ أَوْ أَحَدِهِمَا في كُلِّ جُمُعَةِ مَرَّةً، غَفَرَ الله لَهُ وكُتِبَ بَرًّا

Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah satu daripada mereka setiap hari Jumaat satu kali, maka Allah akan mengampunkan dosanya dan menulis kebaikan buat dirinya.”

Berdasarkan rekod ulama, hadith ini diriwayatkan oleh:

  • Abu al-Qasim al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Saghir (955)
  • Abu al-Qasim al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (6114)
  • al-Hakim al-Tirmizi dalam Ma‘rifah Ahadith al-Rasul (hlm. 24)
  • Abu Bakr Ibn Abi al-Dunya dalam al-Qubur (berdasarkan nukilan Imam al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’, 1873)

Imam Nuruddin al-Haithami menilai hadith ini sebagai dha‘if dengan mengatakan:

رَوَاهُ الطَّبَرَانِي فِي الأَوْسَطِ وَالصَّغِيرِ، وَفِيهِ (عَبْدُ الكَرِيم أَبُو أُمَيَّة) وَهُوَ ضَعِيفٌ

Maksudnya: “Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat dan al-Mu‘jam al-Saghir, dan dalam sanadnya terdapat  ‘Abd al-Karim Abu Umayyah, dan dia dinilai sebagai dha‘if.” (Lihat Majma‘ al-Zawa’id wa Manba‘ al-Fawa’id, 3/59)

Hadith ini turut dinilai dha‘if oleh Imam Zainuddin al-‘Iraqi, beliau ketika menilai status hadith ini menyatakan: “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabarani, Ibn Abi al-Dunya menerusi riwayat Muhammad bin al-Nu‘man secara marfu‘ namun sebenarnya ia mu‘dhal (معضل). Manakala, Muhammad bin al-Nu‘man pula adalah majhul (tidak dikenali latar belakangnya). Dan gurunya, Yahya bin al-‘Ala’ adalah matruk (iaitu yang ditinggalkan hadithnya).” (Lihat Takhrij Ahadith al-Ihya’ atau al-Mughni ‘an Haml al-Asfar, hlm. 1873)

Manakala dalam kalangan ilmuan kontemporari pula, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani juga menilai hadith ini sebagai maudhu‘. (Lihat Dha‘if al-Jami‘, no. 5606, hlm. 808)

Kesimpulannya

Konklusinya, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa hadith-hadith berkenaan perkara ini adalah berstatus dha‘if yang bersangatan kerana kewujudan perawi-perawi yang dikritik hebat di dalam sanad-sanadnya serta keadaan sanadnya yang terputus; membuatkan ia tidak memenuhi kriteria hadith sahih atau hasan untuk diterima.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَواتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامي يَوْمَ ألْقاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik detik umurku adalah pengakhirannya, dan sebaik-baik amalanku adalah amalan yang terakhir. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku adalah hari aku bertemu dengan-Mu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply