Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Adakah sah solat jika baru perasan aurat terdedah setelah selesai solat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Maksudnya: ”Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”
(Surah al-‘A’raf: 31)
Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut di atas ialah pakaian yang menutup aurat untuk mengerjakan solat. Tambahan lagi, memakai pakaian yang terbaik untuk menunaikan solat ialah sunnah Rasulullah SAW. Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan menutup aurat semasa mendirikan solat. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/405)
Ibn Kathir menjelaskan, di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256).
Bagi menjawab kemusykilan di atas, kami bawakan hadith riwayat Ummul Mukminin Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ الحَائِضِ إِلَّا بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Tidak diterima solat seorang wanita berhaid itu melainkan dengan memakai khimar (tudung).”
Riwayat Abu Daud (641), al-Tirmizi (377), al-Hakim (836); al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan dan al-Hakim pula menilai hadith ini sebagai sahih menurut syarat Imam Muslim.
Imam Abu Bakr al-Dimyati menjelaskan maksud hadith di atas: “Yang dimaksudkan dengan “الْحَائِضُ” adalah wanita yang sudah baligh, iaitu wanita yang sudah keluar darah haid. Bukannya wanita yang sedang mengalami haid. Sepertimana kita maklum, solat wanita yang haid itu tertolak; sama ada dia memakai khimar atau pun tidak memakainya.” (Lihat I‘anah al-Talibin fi hilli Alfaz Fath al-Mu‘in, 1/133)
Berhubung dengan soalan, menurut pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i; jika seseorang baru perasan auratnya terdedah setelah selesai solat, maka wajiblah ke atasnya untuk mengulangi solat tersebut semula. Solat tersebut tidak sah, wajib diulangi.
Imam Abu Ishaq al-Syirazi selepas membawa hadith di atas ini, beliau menegaskan di dalam kitab al-Muhazzab bahawa: “Sekiranya terdedah suatu pun bahagian daripada mana-mana anggota aurat, sedangkan seseorang itu berkemampuan untuk menutupnya; maka solatnya tidak sah.”
Imam Abu Zakariyya al-Nawawi kemudiannya mensyarahkan: “Tidak sah solatnya sama ada banyak atau sedikit aurat yang terdedah itu; sama ada lelaki atau perempuan, sama ada solat di hadapan ramai orang atau solat bersendirian, sama ada solat sunat atau solat fardhu bahkan termasuklah solat jenazah, tawaf, sujud tilawah dan sujud syukur. Dan jika seseorang itu solat dengan suatu penutup (auratnya) kemudian selepas senggang (daripada solat) dia mengetahui bahawa terdapat kesan koyak yang jelas menampakkan aurat; maka wajib ke atasnya untuk mengulangi solat itu mengikut mazhab (al-Syafi‘i) sama ada dia tahu kemudian terlupa atau dia belum tahu. Dalam hal ini terdapat khilaf yang terdahulu bagi orang yang solat dengan najis dalam keadaan tidak tahu atau terlupa. Jika terdapat kemungkinan bahawa berlakunya koyak itu selepas senggang daripada solat maka tidak perlu mengulang solat tersebut tanpa khilaf, sama isunya dengan hukum najis.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/166)
Namun, terdapat juga satu pendapat (qaul) di dalam mazhab Hanbali iaitu qaul Imam Ibn Tamim al-Harrani al-Hanbali yang mengatakan; sekiranya aurat yang terdedah itu terlalu sedikit, maka tidak mengapa dan solat tersebut masih dianggap sah. Imam ‘Ala al-Din al-Mardawi al-Hanbali berkata: “Sekiranya aurat yang tersingkap itu sedikit sahaja dan dilakukan secara sengaja, maka solat itu terbatal menurut pendapat yang sahih di dalam mazhab (Hanbali); pendapat ini dipilih oleh penulis kitab al-Furu‘, dipegang oleh al-Qadhi (Abu Ya‘la) dan dipilih olehnya di dalam kitab al-Ri‘ayatain. Ada juga pendapat lain mengatakan: Tidak batal, pendapat ini didukung oleh Ibn Tamim dalam kitab al-Mukhtasar.” (Lihat al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 3/222)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa menurut muktamad mazhab al-Syafi‘i, solat tersebut batal dan tidak sah. Namun, terdapat juga di sana ada pendapat mazhab lain seperti salah satu qaul mazhab Hanbali yang mengatakan bahawa solat tersebut masih sah jika aurat yang terdedah terlalu sedikit seperti beberapa helai rambut sahaja (bagi wanita) atau yang semisal dengannya, kami cenderung menyatakan bahawa solat masih sah.
Kami cenderung kepada pendapat yang ringan dan masih mengatakan sah sekiranya aurat yang tersingkap itu sangat sedikit sahaja dari segi ‘uruf. Ia tidak membatalkan solat jika tidak disengajakan, apatah lagi jika sukar untuk dielakkan. Terdapat riwayat daripada ‘Amr bin Salamah, katanya:
قَالَ لِي أَبُو قِلاَبَةَ: أَلاَ تَلْقَاهُ فَتَسْأَلُهُ؟ قَالَ: فَلَقِيتُهُ فَسَأَلْتُهُ فَقَالَ: كُنَّا بِمَاءٍ مَمَرَّ النَّاسِ، وَكَانَ يَمُرُّ بِنَا الرُّكْبَانُ فَنَسْأَلُهُمْ: مَا لِلنَّاسِ، مَا لِلنَّاسِ؟ مَا هَذَا الرَّجُلُ؟ فَيَقُولُونَ: يَزْعُمُ أَنَّ اللَّهَ أَرْسَلَهُ، أَوْحَى إِلَيْهِ، أَوْ: أَوْحَى اللَّهُ بِكَذَا، فَكُنْتُ أَحْفَظُ ذَلِكَ الكَلاَمَ، وَكَأَنَّمَا يُقَرُّ فِي صَدْرِي، وَكَانَتِ العَرَبُ تَلَوَّمُ بِإِسْلاَمِهِمُ الفَتْحَ، فَيَقُولُونَ: اتْرُكُوهُ وَقَوْمَهُ، فَإِنَّهُ إِنْ ظَهَرَ عَلَيْهِمْ فَهُوَ نَبِيٌّ صَادِقٌ، فَلَمَّا كَانَتْ وَقْعَةُ أَهْلِ الفَتْحِ، بَادَرَ كُلُّ قَوْمٍ بِإِسْلاَمِهِمْ، وَبَدَرَ أَبِي قَوْمِي بِإِسْلاَمِهِمْ، فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ: جِئْتُكُمْ وَاللَّهِ مِنْ عِنْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقًّا، فَقَالَ: «صَلُّوا صَلاَةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا، وَصَلُّوا صَلاَةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ أَحَدُكُمْ، وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْثَرُكُمْ قُرْآنًا». فَنَظَرُوا فَلَمْ يَكُنْ أَحَدٌ أَكْثَرَ قُرْآنًا مِنِّي، لِمَا كُنْتُ أَتَلَقَّى مِنَ الرُّكْبَانِ، فَقَدَّمُونِي بَيْنَ أَيْدِيهِمْ، وَأَنَا ابْنُ سِتٍّ أَوْ سَبْعِ سِنِينَ، وَكَانَتْ عَلَيَّ بُرْدَةٌ، كُنْتُ إِذَا سَجَدْتُ تَقَلَّصَتْ عَنِّي، فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنَ الحَيِّ: أَلاَ تُغَطُّوا عَنَّا اسْتَ قَارِئِكُمْ؟ فَاشْتَرَوْا فَقَطَعُوا لِي قَمِيصًا، فَمَا فَرِحْتُ بِشَيْءٍ فَرَحِي بِذَلِكَ القَمِيصِ
Maksudnya: “Abu Qilabah berkata kepadaku: ‘Tidakkah engkau bertemu dengannya dan bertanya kepadanya?’ Beliau berkata: ‘Aku bertemu dengannya dan bertanya kepadanya dan beliau berkata: ‘Kami berada di tempat laluan orang ramai. Apabila terdapat rombongan kabilah yang melalui (dihadapan) kami, kami akan bertanya kepada mereka: Apa yang berlaku kepada orang ramai? Siapakah lelaki ini?.’ Mereka berkata: ‘Lelaki itu mengaku bahawa Allah mengutuskannya (sebagai utusan), diturunkan kepadanya atau Allah mewahyukan kepadanya dengan sekian-sekian perkara.’ Kemudian kata-kata itu seolah-olah ia terpahat di hatiku. Manakala bangsa Arab (selain bangsa Quraisy) menangguhkan keislaman mereka sehingga pembukaan kota Makkah. Mereka berkata: ‘Biarkanlah dia dan kaumnya. Sesungguhnya jika dia menang ke atas mereka bermakna dia adalah Nabi yang benar. Ketika terjadinya peristiwa pembukaan kota Makkah, setiap bangsa segera menyatakan keislaman mereka, dan bapaku pun menyatakan keislaman kaumku.’ Ketika kembali (kepada kaumnya), beliau berkata: ‘Demi Allah! Aku datang kepada kamu daripada Nabi yang benar.’ Baginda bersabda: ‘Dirikanlah sekian-sekian solat ini pada sekian-sekian waktu dan dirikanlah sekian-sekian solat. Apabila tiba waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan seorang yang paling banyak (menghafal) al-Quran hendaklah mengimami kamu.’ Mereka pun memerhatikan (setiap orang) dan mendapati bahawa tiada yang lebih banyak (menghafal) al-Quran dibandingkan aku kerana aku selalu mendapatkannya daripada para kabilah (yang lalu-lalang). Mereka kedepankan aku untuk menjadi imam. Ketika itu usiaku sekitar enam atau tujuh tahun yang hanya memakai ‘burdah’ (sehelai kain sarung yang tidak berjahit). Apabila aku sujud, kain tersebut terangkat dan terdedah sebahagian auratku. Seorang wanita berkata dengan perasaan malu: ‘Tutuplah aurat imam kamu supaya tidak terlihat oleh kami.’ Maka mereka membelikan kain dan membuatkan baju untukku. Aku tidak pernah (rasa) gembira dengan sesuatu seperti gembiranya aku apabila mendapat baju itu.”
Riwayat al-Bukhari (4302)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا وَاحْفَظْنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Tutuplah aurat kami dan tenangkanlah kami daripa segala perkara yang kami takuti. Dan peliharalah kami.”
Wallahu a‘lam.