Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Bolehkah kitab Fadhail Amal dan Muntakhab Hadith dibaca sebegitu tanpa tauliah? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,i
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Allah SWT berfirman:
رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِیهِمۡ رَسُولࣰا مِّنۡهُمۡ یَتۡلُوا۟ عَلَیۡهِمۡ ءَایَـٰتِكَ وَیُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَیُزَكِّیهِمۡۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِیزُ ٱلۡحَكِیمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Bangkitkanlah dalam kalangan mereka seorang Rasul yang akan membacakan ayat-ayat-Mu kepada mereka, mengajarkan kepada mereka isi al-Kitab dan al-Hikmah dan menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkau Maha Unggul lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Baqarah: 129)
Imam Ibn Juzai al-Andalusi menafsirkan perkataan al-hikmah di dalam ayat di atas sebagai Sunnah Rasulullah SAW.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/98)
Berhubung dengan soalan yang diajukan kepada kami di atas, kami rungkaikan ia berdasarkan kalam suci Junjungan Agung, diriwayatkan oleh Jubair bin Mut‘im R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نَضَّرَ اللهُ امْرءًا سَمِعَ مَقَالَتِي فَبَلَّغَهَا، فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ غَيْرِ فَقِيهٍ، وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ
Maksudnya: “Semoga Allah menyinarkan wajah seseorang yang mendengar sabdaanku (hadith) kemudian dia menyampaikannya. Barangkali penyampai hadith itu tidak memahami, barangkali yang memahami itu akan menyampaikan kepada orang yang lebih banyak memahami hadith tersebut berbanding dirinya.”
Riwayat Ibn Majah (230)
Penyebar hadith-hadith Rasulullah SAW dijanjikan dengan keindahan peribadi dan cahaya berseri-seri pada diri mereka berkat Sunnah Baginda Nabi SAW. Imam Burhanuddin al-Halabi menjelaskan perkataan naddhara “نَضَّرَ” maksudnya adalah mencantikkan dan memperindahkan dirinya, ia berasal daripada perkataan al-nadharah “النَّضَارَةُ”. (Lihat al-Hawasyi ‘ala Sunan Ibn Majah, 1/159)
Kecantikan dan keindahan ini bukanlah pada wajah semata, namun pada keharuman nama, ketinggian dan kemuliaan pangkat di dunia dan di akhirat. Imam Ibn al-Mulaqqin berkata: Al-Hasan bin Muhammad bin Musa al-Azdi al-Muaddib menyebutkan: “Yang dimaksudkan bukanlah keindahan dan kecantikan wajah, namun maknanya adalah Allah bakal mempercantikkan peribadinya, iaitu: pangkat dan kedudukannya.” (Lihat al-Mu‘in fi Tafahhum al-Arba‘in, hlm. 70)
Berdasarkan hadith di atas juga, Rasulullah SAW memberitahu kita bahawa ada dalam kalangan penyampai hadith, sama ada pembaca atau penghafaz hadith; yang tidak memahami atau kurang memahami makna di sebalik hadith tersebut. Berdasarkan maklumat ini, tidak disyaratkan untuk menjadi alim atau berilmu terhadap isi kandungan atau hukum-hakam hadith bagi melaksanakan penyebaran hadith; sama ada secara hafazan atau pembacaan.
Imam Ibn al-Malak al-Rumi berkata mensyarahkan hadith di atas: “Orang yang menyebarkan hadith itu tidak semestinya seorang yang faqih (memahami makna hadith), maka hendaklah dia memelihara (dengan menghafaz) kalam Rasulullah SAW dan menyampaikannya kepada orang yang faqih supaya dia boleh memahami erti sebenar yang dikehendaki daripada hadith tersebut.” (Lihat Syarh Masabih al-Sunnah, 1/211)
Berdasarkan keterangan di atas, kami berpendapat bahawa pembacaan kitab-kitab hadith bersama terjemahannya boleh dibaca oleh orang-orang yang mampu membaca tulisan bahasa Arab dengan baik meskipun tidak mempunyai tauliah mengajar. Untuk membaca sahaja, tidak semestinya perlu menjadi berilmu atau memahami maksud hadith. Namun, hanya orang yang mempunyai Tauliah Mengajar dan Berceramah Agama di sesuatu negeri/wilayah sahaja yang dibolehkan untuk mengulas dan mensyarahkan hadith tersebut di dalam majlis ilmu/kuliah agama.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إني أسألُكَ عِلْماً نافِعاً، وعَمَلاً مُتَقَبَّلاً، وَرِزْقاً طَيِّباً
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu; ilmu yang bermanfaat, amalan yang diterima dan rezeki yang diberkati.”
Wallahu a‘lam.