Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah saya simpan koleksi lego haiwan dalam rumah? Dikira macam patung menyerupai haiwan atau tidak?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami memulakan makalah ini dengan firman Allah SWT dalam Muhkam al-Tanzil. Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱلَّذِینَ یُؤۡذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمۡ عَذَابࣰا مُّهِینࣰا
Maksudnya: “Sesungguhnya, orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah yang bakal dilaknat di dunia dan di akhirat, dan disediakan buat mereka azab yang menghinakan mereka.”
(Surah al-Ahzab: 57)
Imam Ibn Jarir al-Tabari menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Dikatakan juga bahawa maksud “orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya” adalah orang-orang yang mengukir patung dan lukisan makhluk bernyawa kerana mereka berusaha meniru ciptaan Allah.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 19/178)
Lego ialah sejenis alat permainan bongkah plastik kecil yang terkenal di dunia khususnya bagi golongan kanak-kanak atau remaja tidak kira lelaki ataupun perempuan. Bongkah-bongkah ini serta kepingan lain boleh disusun menjadi apa-apa model. Kereta, kereta api, bangunan, kota, patung, kapal, kapal terbang, kapal angkasa serta robot, semuanya boleh dibuat.
Bagi menjawab persoalan di atas, kami tegaskan bahawa menyimpan koleksi lego haiwan di dalam rumah adalah sama sahaja hukumnya dengan meletakkan patung makhluk bernyawa sebagai perhiasan di dalam rumah. Hukumnya adalah haram dan berdosa, ia termasuk dalam kemungkaran yang harus dihindari.
Lebih-lebih lagi apabila patung itu dijadikan perhiasan dan ada unsur bermegah dengannya, lebih dahsyat lagi pengharamannya. Imam Abu Ishaq al-Syirazi berkata: “Jika seseorang berada di tempat yang terdapat gambar/ukiran haiwan; jika gambar tersebut berada di atas permaidani yang dipijak atau di atas bantal yang menjadi tempat melabuhkan punggung/dipijak, maka dia boleh duduk (kekal di tempat itu). Namun, jika gambar/ukiran tersebut berada di dinding atau tirai yang digantung, maka dia tidak boleh duduk (kekal berada di tempat itu).” (Lihat al-Tanbih fi al-Fiqh al-Syafi‘i, hlm. 169)
Imam Kamaluddin al-Damiri memfatwakan: [Imam al-Nawawi berkata: Antara kemungkaran adalah gambar-gambar (termasuklah ukiran patung) haiwan di atap, dinding, bantal, langsir, pakaian yang dipakai (dan di mana-mana tempat pun)] sama ada haiwan atau hidupan itu kecil atau besar, sama ada ukiran gambar/patung manusia atau selainnya.
Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ تَمَاثِيلُ أَوْ تَصَاوِيرُ
Maksudnya: “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada patung dan gambar (lukisan/ukiran) makhluk bernyawa di dalamnya.”
Riwayat Muslim (2112)
Namun dibolehkan jika patung atau gambar tersebut dipotong bahagian kepalanya; atau apa-apa bahan bergambar itu dijadikan bahan lecehan seperti alas pijakan dan duduk.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 7/380-381)
Abu Talhah RA juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”
Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)
Hadith ini merupakan dalil bagi larangan mengambil patung makhluk bernyawa sebagai perhiasan. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Yang dimaksudkan adalah ukiran patung-patung makhluk bernyawa.” (Lihat Minhah al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 7/240)
Imam Kamaluddin al-Damiri juga mengatakan: “Ulama bersepakat bahawa malaikat yang tidak masuk ialah malaikat yang membawa berkat; adapun malaikat Hafazah (penjaga insan) dan malaikat pencabut nyawa, maka kedua-dua malaikat ini masih boleh masuk.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 7/381)
Imam Sulaiman al-Bujairimi mengatakan: “Malaikat Rahmat tidak akan masuk rumah orang yang ada:
- loceng,
- angsa,
- air kencing yang tersimpan,
- atau rumah yang ada ukiran gambar/patung.”
(Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib atau Tuhfah al-Habib, 3/9)
Namun, berdasarkan keterangan di atas, jika patung itu telah dipotong kepalanya (مَقْطُوعُ الرَّأْسِ) dan dijadikan bahan yang dihina dan dilecehkan seperti mainan kanak-kanak kecil; maka barulah tidak dilarang.
Keringanan Untuk Patung Mainan Kanak-Kanak
Sebahagian ulama memberi keringanan (rukhsah) bagi patung untuk dijadikan mainan kanak-kanak perempuan, berdasarkan hadith Ummul Mukminin Aisyah R.Anha bahawa beliau meriwayatkan:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي
Maksudnya: “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.”
Riwayat al-Bukhari (6130)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mensyarahkan hadith di atas seraya berkata: “Para ulama berdalilkan dengan hadith ini akan bolehnya patung boneka berupa perempuan dan bolehnya mainan untuk anak perempuan. Hadith ini adalah pengecualian daripada keumuman hadith yang melarang daripada mencipta sesuatu yang menandingi dengan ciptaan Allah. Kebolehan/keharusan ini ditegaskan oleh al-Qadhi ‘Iyadh dan beliau berkata bahawa inilah pendapat majoriti ulama.” (Lihat Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 10/527)
Namun, sebahagian ulama berpendapat bahawa keizinan ini telah dimansuhkan. Imam al-Nawawi mengatakan: “Sebahagian ulama mendakwa hadith di atas telah dimansuhkan, dan ia dimansuhkan dengan larangan-larangan mengambil patung secara umum untuk apa jua keadaan atau kegunaan sekalipun.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/82)
Kesimpulannya
Khulasatulkalam, kami tegaskan bahawa menyimpan koleksi Lego di dalam rumah adalah sama sahaja hukumnya seperti menyimpan patung di dalam rumah. Diharamkan untuk menyimpan sebarang jenis patung makhluk bernyawa di dalam rumah apabila perbuatan tersebut dilakukan atas dasar bermegah dengannya, memuliakan ukiran tersebut. Perbuatan ini bakal menyebabkan Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah tersebut. Koleksi Lego hanya dibenarkan bagi tujuan permainan kanak-kanak sahaja kerana wujud unsur Ihanah (perendahan martabat/perlecehan) pada patung-patung tersebut.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
رَبّ أَعُوذُ بِكَ مِنَ الكَسَل وَسُوءِ الكِبَرِ، أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ في النَّارِ وَعَذَابٍ في القَبْرِ
Maksudnya: “Tuhanku! Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat malas dan sifat nyanyuk. Aku berlindung kepada-Mu daripada azab neraka dan azab dalam kubur.”
Wallahu a‘lam.