Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bagaimanakah cara menghapuskan kertas jawapan/soalan/lembaran kerja murid bagi subjek Pendidikan Islam? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Bagi menjawab persoalan berikut, kami tegaskan peri pentingnya menghormati dan mengagungkan syiar Allah SWT pada setiap masa di mana jua. Demikian itu merupakan tanda ketakwaan hati yang sesungguhnya. Allah berfirman:
ذَ ٰلِكَۖ وَمَن یُعَظِّمۡ شَعَـٰۤىِٕرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقۡوَى ٱلۡقُلُوبِ
Maksudnya: “Demikian itulah; dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, sesungguhnya itu daripada hati yang penuh sifat takwa.”
(Surah al-Haj: 32)
Imam Ibn Juzai al-Andalusi menafsirkan ayat di atas seraya mengatakan: “Al-Zamakhsyari berkata: anggaran makna ayat ini adalah; perbuatan mengagungkan syiar Allah adalah perbuatan orang-orang yang mempunyai hati yang dipenuhi sifat takwa.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/39)
Berhubung dengan soalan di atas, cara untuk menghapuskan atau melupuskan kertas jawapan/soalan/lembaran kerja bagi subjek Pendidikan Islam yang mengandungi tulisan ayat-ayat al-Quran, hadith-hadith Nabi, tulisan nama Allah dan Rasul telah dinyatakan oleh para fuqaha seperti berikut:
- Membakar dengan prosedur yang terkawal
Menurut mazhab al-Syafi‘i, Maliki dan Hanbali, dibolehkan untuk membakar kertas-kertas atau apa-apa benda yang mempunyai tulisan nama-nama Allah dan ayat al-Quran apabila ia sudah reput dan tidak digunakan lagi.
Dalam kalangan fuqaha al-Syafi‘iyyah, Imam al-Ramli memfatwakan: “Dimakruhkan membakar kayu-kayu yang diukir padanya apa-apa tulisan berunsur (nama-nama Allah dan ayat suci al-Quran). Ya, yang zahirnya adalah jika pembakaran itu dimaksudkan untuk memeliharanya daripada disia-siakan, maka tidak dimakruhkan. Yang dilarang sekiranya membakarnya (al-Quran dan benda-benda bertulis ayat suci) dengan tujuan suka-suka/secara sia-sia.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/127)
Di sisi mazhab Maliki, Imam al-Dardir berkata: “(Tidak dibolehkan untuk menghina mushaf) walaupun dengan benda yang suci seperti ludah atau kahak ke arahnya, dan yang dimaksudkan dengan mushaf adalah setiap perkara yang ada tertera tulisan al-Quran padanya walaupun satu kalimat, begitu juga nama-nama Allah, nama-nama para Nabi, begitu juga hadith sepertimana yang zahir. Perbuatan membakar pula sekiranya dilakukan untuk tujuan menghina, maka hukumnya sama haram. Jika dibakar untuk memeliharanya daripada dihina, maka tiada masalah. Bahkan boleh jadi wajib. Begitu juga kitab-kitab fiqh.” (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala Mukhtasar Khalil, 4/301)
Manakala, menurut mazhab Hanbali pula, Imam Mustafa al-Ruhaibani al-Hanbali memfatwakan: “[Imam Mar‘i al-Karmi berkata: Dan jikalau sebuah mushaf al-Quran itu reput atau merosak maka hendaklah ia ditanam]. Imam Ahmad juga pernah menyebutkan bahawa Abu al-Jauza’ mempunyai sebuah mushaf yang reput, kemudian dia menggali lubang di dalam masjid dan menanam mushaf tersebut. [Dan sekiranya ia dicemari najis atau ditulis] sama ada al-Quran, hadith atau mana-mana penulisan yang mempunyai tulisan tersebut [dengan bahan bernajis maka wajiblah membasuh dan membakarnya] [kerana para Sahabat] R.Anhum [membakar mushaf al-Quran ketika mereka mengumpulkannya] Imam Ibn al-Jauzi berkata: Mereka melakukan sedemikian [untuk mengagungkannya dan memeliharanya]. [Dan Tawus memandang bahawa perbuatan membakarnya (al-Quran, hadith, dll) adalah tidak mengapa jika tujuannya untuk memelihara] semua bahan tersebut daripada sebarang unsur penghinaan. [Beliau juga berkata: Sesungguhnya air dan api, kedua-duanya adalah ciptaan Allah, maksudnya adalah] (untuk menyatakan boleh untuk kita) membasuh mushaf dengan air, dan membakarnya dengan api [sekiranya kedua-dua bahan tersebut] iaitu air dan api [kedua-duanya suci] adapun sekiranya ia bernajis, maka tidak boleh digunakan untuk membasuh atau membakar al-Quran, demi memeliharanya daripada sebarang anasir najis.” (Lihat Matalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha, 1/159)
- Menanamnya atau menenggelamkannya pada air/memadam tulisan nama Allah dan Rasul
Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi. Di sisi ulama al-Hanafiyyah, makruh membakar tulisan berisi nama-nama Allah begitu juga ayat-ayat al-Quran.
Imam Ibn Nujaim al-Hanafi memfatwakan: “Tidak sewajarnya (makruh) membakar (mana-mana buku suci) kerana takut-takut terdapat sebahagian daripada nama-nama Allah SWT di dalamnya.” (Lihat al-Nahr al-Fa’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 3/210)
Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi memfatwakan: “Termaktub di dalam kitab al-Zakhirah (oleh Imam al-Marghinani) bahawa: Sebuah mushaf itu apabila ia telah merosak dan tidak boleh dibaca, maka ia tidak boleh dibakar dengan api. Inilah yang diisyaratkan oleh Imam Muhammad (bin al-Hasan) dan inilah yang kami amalkan. Namun, tidak dimakruhkan untuk menanamnya. Dan hendaklah ia dibalut dengan kain yang suci, ketika menanamnya, seeloknya dilencongkan liang lahadnya, kerana jika tidak dilencongkan, maka tanah akan dikambuskan ke atasnya (dan ini bakal melazimkan penghinaan).” (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/422)
Jika mahu membakar pun, pastikan tulisan suci tersebut telah dipadam dan dipastikan tiada. Dan boleh juga untuk dibuang ke lautan. Imam ‘Alauddin al-Haskafi al-Hanafi berkata: “Kitab-kitab yang tidak dimanfaatkan lagi, maka hendaklah dipadam nama Allah dan malaikat-Nya serta Rasul-rasul-Nya (dari buku itu) kemudian barulah dibakar bakinya tersebut; dan tidak mengapa juga untuk dicampakkan ke dalam air yang mengalir begitu sahaja, atau ditanam. Ditanam itulah yang terbaik, begitu juga nama-nama Nabi.” (Lihat Durr al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar wa Jami‘ al-Bihar, hlm. 668).
Kesimpulannya
Berhubung soalan di atas, kami cenderung menyatakan bahawa kertas-kertas yang mengandungi tulisan ayat-ayat suci al-Quran, tulisan hadith dan kalimat Allah dan Rasulullah SAW hendaklah dilupuskan dengan proses pelupusan menerusi proses pencarikan dan pembakaran yang terkawal. Kemudian, sisa/debu tersebut sama ada ditanam di kawasan yang tidak dipijak atau dikaramkan di dalam laut. Penghormatan terhadap syiar Allah SWT wajib dikekalkan meskipun ketika proses penghapusan dan perlupusan.
Alhamdulillah, mutakhir ini sudah ada NGO dan badan yang diiktiraf oleh kerajaan yang mengusahakan pelupusan al-Quran dengan penuh adab dan mengikut kehendak Syarak. Justeru rujuklah kepada mereka agar al-Quran sentiasa terpelihara.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”
Wallahu a‘lam.