Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada terfikir dan tertanya-tanya. Semua yang ada selain Allah adalah makhluk. Makhluk Allah tu yang saya tahu dia tidak kekal. Bagaimana dengan syurga. Saya buat carian Bing Ai berkenaannya daripada pandangan Islam. Jawapannya amat mengejutkan dan tidak terfikir oleh saya. Ini responnya. Saya copy paste di sini:
“Menurut pandangan Islam, syurga bukanlah satu-satunya makhluk Allah yang kekal. Selain syurga, ada juga makhluk-makhluk lain yang Allah kehendaki untuk kekal, seperti neraka, arsy, kursy, ruh, dan lain-lain. Allah berfirman: كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ – (Semua yang ada akan binasa).”
Minta tolong komen. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Bagi merungkai kemusykilan yang membelenggu tuan di atas, kami bawakan tafsir bagi kalam Allah SWT yang diajukan berikut iaitu firman-Nya:
وَلَا تَدۡعُ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَۘ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَۚ كُلُّ شَیۡءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجۡهَهُۥۚ لَهُ ٱلۡحُكۡمُ وَإِلَیۡهِ تُرۡجَعُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berdoa kepada selain Allah suatu pun sembahan yang lain. Tiada Tuhan selain-Nya; setiap sesuatu pasti akan hancur kecuali Wajah-Nya. Milik-Nya jua segala hukum dan kepada-Nya jua kalian akan kembali.”
(Surah al-Qasas: 88)
Imam Abu al-Su‘ud al-Hanafi ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, firman Allah SWT: “كُلُّ شَيْءٍ هالِكٌ إلا وجْهَهُ” (Setiap sesuatu pasti akan hancur kecuali Wajah-Nya) yakni kecuali Zat-Nya, kerana sesungguhnya setiap sesuatu selain daripada Zat-Nya, apa pun jua benda tersebut, adalah boleh sahaja terdedah kepada kebarangkalian hancur binasa dan ketiadaan. (Lihat Irsyad al-‘Aql al-Salim, 7/28)
Begitu juga Imam al-Sawi al-Maliki pula menafsirkan: “Setiap sesuatu selain Allah SWT adalah boleh menerima keadaan hancur dan boleh sahaja ia berlaku ke atasnya, kerana kewujudan mereka bukan milik zat mereka sendiri.” (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Jalalain, 3/433)
Asalnya, semua makhluk adalah boleh untuk binasa. Hanya Allah SWT yang mustahil untuk hancur binasa. Antara sifat wajib bagi Allah adalah Maha Kekal (الْبَقَاءُ).
Dalam masa yang sama, Allah SWT menentukan dan mengizinkan beberapa makhluk yang asalnya boleh untuk hancur binasa, untuk kekal abadi. Makhluk-makhluk yang diizinkan untuk kekal abadi tersebut adalah:
- Syurga (الْجَنَّةُ)
- Neraka (النَّارُ)
- Arasy (الْعَرْشُ)
- Kursi (الْكُرْسِيُّ)
- Qalam (الْقَلَمُ)
- Lauh Mahfuz (اللَّوْحُ)
- Roh (الْأَرْوَاحُ)
- Tulang sulbi Manusia (عّجْبُ الذَّنَبِ)
Imam Jalaluddin al-Suyuti al-Asy‘ari menghimpunkannya di dalam dendangan beliau:
ثَمَانِيَةٌ حُكْمُ الْبَقَاءِ يَعُمُّهَا … مِنَ الْخَلْقِ وَالْبَاقُوْنَ فِيْ حَيِّزِ الْعَدَمْ
هِيَ الْعَرْشُ وَالْكُرْسِيُّ وَنَارٌ وَجَنَّةٌ … وَعَجْبٌ وَأَرْوَاحٌ كَذَا اللَّوْحُ وَالْقَلَمْ
“Lapan Perkara yang berstatus kekal dalam kalangan;
Semua makhluk, manakala yang lain terdedah kepada binasa.
Iaitu: Arasy, Kursi, Neraka dan Syurga-Nya,
Tulang Sulbi Manusia, sekalian Roh, begitu juga Lauh Mahfuz dan Alat Goresan (Qalam).”
(Lihat Taudhih al-Maqasid wa Tashih al-Qawa‘id oleh Ibn ‘Isa, 1/96)
Imam al-Barbahari al-Hanbali turut menyatakan: “Dan setiap perkara yang ditentukan oleh Allah untuk binasa, maka ia pasti akan binasa. Kecuali syurga, neraka, Arasy, Kursi, al-Lauh al-Mahfuz, Qalam, sekalian Roh. Maka semua ini tidak akan binasa sama sekali selama-lamanya.” (Lihat Syarh al-Sunnah, hlm. 71)
Imam Isma‘il al-Taimi al-Asfahani al-Hanbali pula menegaskan: “Dan setiap sesuatu yang ditetapkan untuk binasa, pasti akan binasa. Manakala, yang tidak binasa pula adalah syurga, neraka, Arasy, Kursi, Lauh, Qalam, dan para Roh; semua ini tidak akan binasa sama sekali.” (Lihat al-Hujjah fi Bayan al-Mahajjah, 2/467)
Maka nyatalah bahawa ini merupakan persepakatan dalam kalangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah sama ada daripada mazhab al-Asya‘irah, al-Maturidiyyah dan Ahli al-Hadith.
Oleh yang demikian, nyatalah bahawa Allah SWT ada menciptakan beberapa makhluk untuk wujud kekal seperti yang telah dinyatakan. Perkara ini sahih dan didukung oleh dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah.
Manakala firman Allah: “Setiap sesuatu pasti akan binasa kecuali Zat-Nya,” maka perkataan “setiap sesuatu” (كُلُّ) di sini dimaksudkan dengan makna kebanyakkan makhluk, bukan keseluruhan makhluk secara mutlak; seperti yang termaktub di dalam konsep kefahaman Bahasa Arab yang muktabar. Konsep ini dinamakan sebagai al-‘Am al-Makhsus iaitu perkara umum yang telah dikhususkan. Ini bermakna, Allah menyebut seakan-akan semua, namun yang dimaksudkan adalah kebanyakan sahaja, bukan kesemuanya. Ada beberapa perkara tertentu yang dikecualikan dan dikhususkan.
Manakala sebahagian ulama terkemudian (muta’akhkhirin) pula menganggap ia sebagai al-Istithna’ iaitu pengecualian.
Konsep inilah yang berlaku dalam isu kekekalan beberapa makhluk ini; seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Ibrahim al-Bajuri menerusi nazam beliau:
وَكُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ قَدْ خُصِّصُوا … عُمُومَهُ فَاطْلُبْ لِمَا قَدْ لَخَّصُوا
“Setiap perkara yang binasa itu, telah pun dikhususkan (beberapa yang tidak binasa),
Daripada keumumannya, maka carilah perinciannya daripada butiran yang telah dinyatakan (para ulama).”
(Lihat Tuhfah al-Murid Syarh Jauharah al-Tauhid, 1/267)
Perbahasan ini dibahaskan secara terperinci di dalam ilmu Bahasa Arab dan Usul al-Fiqh.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ الهُدَى والتُّقَى والعَفَافَ وَالغِنَى
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dari-Mu; petunjuk, ketakwaan, sifat menjaga diri daripada sebarang kehinaan, dan sifat tidak memerlukan selain-Mu.”
Wallahu a‘lam.