Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah status daging yang melalui penyembelihan halal tetapi melalui proses “wet-aged”? Adakah ia halal dan boleh dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
(Surah al-Baqarah: 168)
Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya. Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)
Definisi Penuaan Daging Secara Lembap (Wet-Aged Beef)
Daging lembu yang menjalani proses “penuaan lembap (wet-aged)” adalah daging yang biasanya telah tua dalam beg kedap udara untuk mengekalkan kelembapannya. Sejak tahun 1970-an, dengan perkembangan mesin pembungkusan vakum dan teknologi berkaitan, kaedah ini telah menjadi kaedah utama untuk menuakan daging lembu di Amerika Syarikat dan UK. Ia popular di kalangan pengeluar, pemborong, dan peruncit kerana ia mengambil masa yang lebih singkat, biasanya hanya beberapa hari, dan tidak ada kehilangan kelembapan. Oleh itu, setiap kepingan daging yang dijual mengikut berat akan mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding dengan daging yang melalui proses penuaan secara kering (dry-aged), di mana kehilangan kelembapan adalah diinginkan untuk rasa tetapi dengan berat akhir yang lebih rendah. Daging lembu biasanya disimpan untuk tempoh antara 4 hingga 10 hari dalam proses “wet aging.” Pembungkusan yang diubahsuai (Modified-atmosphere packaging, MAP) biasanya digunakan untuk pembungkusan vakum daging; biasanya antara 60 hingga 80 peratus oksigen untuk mengekalkan warna yang menarik, dengan daging merah seperti daging lembu memerlukan tahap oksigen yang lebih tinggi berbanding dengan daging yang kurang berwarna cerah seperti daging babi. Daging lembu yang dibungkus vakum disimpan pada suhu antara 32°F hingga 45°F (0°C hingga 7.2°C).[1]
Memakan Daging yang Melalui Proses Penuaan Lembap (Wet-Aged Beef)
Pada asasnya, haiwan darat yang halal dagingnya hendaklah disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak bagi membolehkan untuk memakannya. Justeru, difahami bahawa haram hukumnya memakan daging binatang tanpa disembelih terlebih dahulu kerana pada ketika ia tidak disembelih dianggap sebagai bangkai. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya).”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Al-Qurtubi menyatakan bahawa kesemua perkara yang disebut di dalam ayat di atas adalah haram untuk dimakan kecuali apa yang disembelih oleh kamu sendiri. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 6/50).
Oleh itu, haiwan yang halal dagingnya yang sudah disembelih sebagaimana dikehendaki oleh syarak, maka dagingnya dan juga segala bahagiannya selain najis, adalah halal dimakan. Ini sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/153).
Begitu juga Abu al-Husain Yahya bin Abu al-Khair ada menyatakan bahawa tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80).
Kesimpulannya
Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa daging halal yang melalui proses penuaan lembap atau “wet-aged” adalah diharuskan untuk memakannya selagi mana ia tidak mengandungi bahan-bahan bernajis semasa proses tersebut dilakukan dan tidak memudaratkan pemakannya.
Ini kerana kehalalannya itu adalah kekal dan tidak hilang dengan sebab proses tersebut. Kaedah fiqh ada menyatakan:
الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).
Selain itu juga, daging yang asalnya halal dimakan (yang melalui proses penyembelihan menurut syarak) adalah tergolong dalam makanan yang baik-baik (tayyibat). Apatah lagi, proses “wet-aged” itu tujuannya adalah untuk mengekalkan kelembapannya di samping menyedapkan lagi rasanya. Maka, ia bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ النَّافِعَةِ الإِبَاحَةُ وَفِي الْأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ
Maksudnya: “Hukum asal sesuatu yang bermanfaat adalah harus/dibolehkan, manakala (hukum asal) sesuatu yang membahayakan pula adalah haram.” (Lihat Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, hlm. 360).
Bahkan daging yang tersimpan lama dan sudah busuk pun tetap dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis, tidak kira daging apapun. Meskipun warna dan bau daging tersebut sudah berubah, daging tersebut tetap dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis menurut pendapat yang kuat dalam mazhab al-Syafi‘i sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/556).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Beef_aging. Diakses pada 18 Ogos 2024. Lihat juga https://penternak.my/4140/. Diakses pada 18 Ogos 2024.