Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya tentang amalan membaca Surah al-Mulk, jika dibaca selepas Maghrib adakah sama fadhilatnya seperti membaca selepas Isyak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan jawapan ini dengan sabdaan Nabi SAW:

إِنَّ سُورَةً مِنَ القُرْآنِ ثَلَاثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِرَجُلٍ حَتَّى غُفِرَ لَهُ، وَهِيَ سُورَةُ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ المُلْكُ

Maksudnya: “Sesungguhnya ada satu surah dalam al-Quran yang mempunyai tiga puluh ayat, yang akan memberi syafaat kepada pembacanya sehingga dosanya akan diampunkan, iaitu Surah Tabarakallazi bi yadihi al-Mulk.”

Riwayat al-Tirmizi (2891); dan al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan (Lihat al-Jami‘, 5/164)

Imam Ibn al-Malak berkata ketika mensyarahkan hadith di atas: “Ada dua kebarangkalian; sama ada Surah al-Mulk ini bakal menjadi penolong sejak di dalam kubur, iaitu seorang Muslim membacanya dan memuliakannya, lalu apabila dia mati, surah ini akan memberi syafaat kepadanya sehingga dia terhindar daripada azab kubur. Ataupun, surah ini akan datang memberi syafaat kelak pada Hari Kiamat (di padang Mahsyar).” (Lihat Syarh Masabih al-Sunnah, 3/41)

Hadith-hadith berkenaan anjuran membaca Surah al-Mulk pada waktu malam terbahagi kepada dua seperti yang kami lampirkan berikut:

  1. Membaca Surah al-Mulk sebelum tidur

Diriwayatkan di dalam hadith berkenaan anjuran membaca Surah al-Mulk sebelum tidur. Abu al-Zubair meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa:

‎أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ كانَ لا ينامُ حتَّى يقرأَ الم ‎تَنْزِيلُ وتَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الملْكُ

Maksudnya: “Nabi SAW tidak tidur malam sehingga Baginda membaca Alif Lam Mim Tanzil (Surah al-Sajdah) dan Tabarakallazi bi yadihi al-Mulk (Surah al-Mulk).”

Riwayat al-Tirmizi (2896); dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Hidayah al-Ruwah (2/380), al-Sakhawi mengatakan: Hadith ini mursal namun mempunyai jalur lain yang menyokongnya (Lihat al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 2/458)

Menurut hadith ini, zahirnya Rasulullah SAW akan membaca Surah al-Mulk dan Surah al-Sajdah sebelum Baginda tidur. Kebiasaannya, Baginda akan tidur tidak lama selepas menunaikan solat Isyak.

  1. Membaca Surah al-Mulk pada waktu malam

Terdapat juga hadith yang menganjurkan pembacaan Surah al-Mulk pada waktu malam secara umum. Zir bin Hubaisy meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas‘ud R.A berkata:

مَنْ قَرَأَ ﴿تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ﴾ كُلَّ لَيْلَةٍ مَنَعَهُ اللهُ بِهَا مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَكُنَّا فِي عَهْدِ رَسُولِ اللهِ ﷺ نُسَمِّيهَا الْمَانِعَةَ، وَإِنَّهَا فِي كِتَابِ اللهِ سُورَةٌ مَنْ قَرَأَ بِهَا فِي كُلِّ لَيْلَةٍ فَقَدْ أَكْثَرَ وَأَطَابَ

Maksudnya:Sesiapa yang membaca Surah al-Mulk pada setiap malam, Allah akan menghalang dirinya disebabkan surah tersebut dari azab kubur. Dan kami pada zaman Rasulullah SAW menamakannya sebagai surah penghalang (dari azab kubur). Sesungguhnya ia di dalam Al-Quran merupakan satu surah yang mana sesiapa yang membacanya pada setiap malam, sesungguhnya dia telah melakukan kebaikan yang banyak serta menuturkan perkataan yang terbaik.”

Riwayat al-Nasa’i (10479); turut dinilai sahih oleh Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak (5/59)

Diriwayatkan bahawa Ibn Mas‘ud turut mengatakan:

‎مَكْتُوْبٌ فِي التَّوْرَاةِ: سُوْرَةُ المُلْكِ مَنْ قَرَأَهَا فِي كُلِّ لَيْلَةٍ، فَقَدْ أَكْثَرَ وَأَطَابَ، وَهِيَ المَانِعَةُ؛ تَمنَعُ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ

Maksudnya: “Tertulis di dalam kitab Taurat: Surah al-Mulk. Sesiapa yang membacanya pada setiap malam, sesungguhnya dia telah melakukan kebaikan yang banyak serta menuturkan perkataan yang terbaik. Ia merupakan surah penghalang, yang menghalang (pembacanya) dari azab kubur.” (Lihat Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’, 7/248).

Maka, berdasarkan athar Ibn Mas‘ud berikut; tiada sebarang masalah untuk membacanya pada mana-mana bahagian waktu malam; sama ada awal malam, pertengahan malam ataupun akhir malam. Sama ada sebelum tidur, atau tidak. Waktu selepas Maghrib pula adalah waktu awal malam.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami simpulkan bahawa seseorang boleh berpegang dengan riwayat Ibn Mas‘ud yang menganjurkan bacaan al-Mulk pada waktu malam secara umum; maka dibolehkan untuk membaca Surah al-Mulk selepas Maghrib kerana waktu Maghrib adalah waktu permulaan malam. Tiada sebarang masalah pada amalan ini. Dalam masa yang sama, ada juga riwayat yang sahih menyatakan bahawa Rasulullah SAW membacanya sebelum tidur. Yang lebih afdhal, kita membacanya sebelum tidur supaya hari kita diakhiri dengan ibadah, dan tidur kita lebih terjaga.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply