Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum seorang pelajar tahfiz yang telah menghafaz al-Quran, kemudian selepas habis belajar dia selalu meninggalkan bacaan al-Quran? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُون

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.

(Surah al-Hijr: 9)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, al-Zikr adalah al-Quran. Beliau menyebutkan lagi, Allah SWT sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami‘ al-Bayan, 17/68).

Menghafaz al-Quran merupakan suatu amalan yang begitu agung nilai dan ganjarannya, ia merupakan keistimewaan umat Rasulullah SAW berbanding umat-umat Nabi yang lain. Allah SWT berfirman di dalam al-Furqan:

بَلۡ هُوَ ءَایَـٰتُۢ بَیِّنَـٰتࣱ فِی صُدُورِ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَۚ وَمَا یَجۡحَدُ بِـَٔایَـٰتِنَاۤ إِلَّا ٱلظَّـٰلِمُونَ

Maksudnya: “Bahkan ia (al-Quran) merupakan tanda-tanda keagungan dan bukti nyata (yang terpahat kukuh) di dalam dada-dada orang yang diberikan ilmu. Dan tiadalah yang mempertikaikan tanda-tanda keagungan Kami melainkan orang-orang yang zalim.”

(Surah al-‘Ankabut: 49)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT mengisyaratkan bahawa al-Quran itu dihafaz di dalam dada-dada umat Islam sejak zaman dahulu hingga kini. Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat di atas: “Ia (al-Quran) juga berada di dalam hati orang-orang yang diberikan ilmu, iaitu para sahabat Nabi Muhammad SAW serta orang-orang yang beriman dengan agama Baginda. Mereka menghafaznya dan membacanya.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/354)

Berhubung dengan isu melupakan hafazan al-Quran, kami bawakan sebuah hadith daripada Anas bin Malik RA bahawa beliau meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

عَرِضَتْ عَلَيَّ ذُنُوبُ أُمَّتِي فَلَمْ أّرَ ذَنْبًا أَعْظَمَ مِنْ سُورَةٍ مِّنَ الْقُرْآنِ أُوتِيهَا رَجُلٌ ثُمَّ نَسِيَهَا

Maksudnya: “Dibentangkan di hadapanku sekalian dosa umatku, lantas tidaklah aku melihat dosa yang lebih besar berbanding sebuah surah daripada al-Quran yang dihafal seseorang kemudian dia telah melupakannya.”

Riwayat Abu Daud (461); al-Tirmizi (2916); dinilai sebagai dha‘if gharib oleh Imam al-Tirmizi

Pernyataan di atas ini disokong oleh perkataan salah seorang ulama dalam kalangan tabi‘in iaitu Imam al-Dhahhak bin Muzahim. Ibn Abi Rawwad meriwayatkan bahawa al-Dhahhhak berkata:

مَا مِنْ أَحَدٍ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ ثُمَّ نَسِيَهُ إِلَّا بِذَنْبٍ أَحْدَثَهُ ثُمَّ قَرَأَ الضَّحَّاكُ:وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ، ثُمَّ قَالَ الضَّحَّاكُ: «وَأَيُّ مُصِيبَةٍ أَعْظَمُ مِنْ نِسْيَانِ الْقُرْآنِ»

Maksudnya: “Tidaklah seseorang itu mempelajari al-Quran kemudian melupakannya melainkan kerana dosa yang dia lakukan. Kemudian dia (al-Dhahhak) membaca firman Allah (yang bermaksud): ‘Dan tidaklah sebarang musibah menimpa kalian melainkan kerana perbuatan dosa kalian sendiri.’ Kemudian al-Dhahhak berkata: ‘Dosa apakah yang lebih besar berbanding melupakan al-Quran!’”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (31990)

Maka, kami tegaskan bahawa sekiranya seorang penghafaz al-Quran melupakan hafazan al-Quran walaupun satu huruf akibat sikapnya yang malas dan memandang remeh usaha membaca dan memperingati hafazan, maka dia berdosa besar.

Imam Syamsuddin al-Ramli berfatwa berkenaan orang yang melupakan hafazan al-Quran: “Sesiapa yang melupakannya [dan dia merupakan seorang yang sudah baligh] akibat sikap memandang remeh dan bermalasan dalam mengulangi hafazan dan membaca al-Quran, maka dia berdosa besar. Dia wajib menghafaznya semula semampu yang mungkin, kerana kita wajib untuk segera keluar daripada maksiat.” (Lihat Fatawa al-Ramli, 4/376)

Imam Ibn Hajar al-Haitami turut berkata: “Imam al-Bulqini dan Imam al-Zarkasyi dan lain-lain imam mengatakan: Yang menjadikan lupa hafazan al-Quran itu dosa besar adalah apabila seorang penghafaznya melupakannya kerana kemalasan dan sikap pandang ringan mengulang/membaca al-Quran.” (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 1/201)

Lupa yang dimaksudkan adalah lupa terus atau lupa langsung, yang tidak boleh ingat langsung atau tidak mengingati suatu patah perkataan pun; meski dibantu dengan beberapa perkataan untuk diingatkan. Imam Ibn Hajar al-Haitami memfatwakan: “Yang dimaksudkan dengan lupa yang diharamkan adalah lupa yang langsung tidak boleh dibantu dengan sebarang bantuan dan ia berasa keberatan dan kepayahan yang amat untuk mengingatinya semula, kerana telah terlupa secara total atau keseluruhan. Adapun lupa beberapa perkataan, kemudian teringat semula selepas diperdengarkan atau difikirkan sejenak, maka ini adalah kecuaian sedikit sahaja, bukan lupa yang diancam di sisi syarak. Ia tidaklah haram.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/36)

Sekiranya seseorang tidak menggapai tahap seteruk itu, maka demikian itu merupakan lupa yang normal dan masih pada tahap yang ringan dan tidak berdosa. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lagi: “Jika belum sampai kepada tahap seteruk yang disebut di atas, dan dia masih boleh mengingat lagi dengan beberapa teguran atau pembetulan, maka dia tidaklah berdosa. Semua penghafaz al-Quran mengalami perkara ini. Ia dimaafkan.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/36)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply