Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah penemuan emas di gunung yang terletak di Saudi Arabia merupakan salah satu tanda kiamat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Allah SWT berfirman:
فَهَلۡ یَنظُرُونَ إِلَّا ٱلسَّاعَةَ أَن تَأۡتِیَهُم بَغۡتَةࣰۖ فَقَدۡ جَاۤءَ أَشۡرَاطُهَاۚ فَأَنَّىٰ لَهُمۡ إِذَا جَاۤءَتۡهُمۡ ذِكۡرَىٰهُمۡ
Maksudnya: “Maka adakah mereka tidak melihat bahawa Hari Kiamat itu pasti akan datang kepada mereka dalam keadaan mengejut! Telah datang petanda-petanda Kiamat itu. Lantas, bagaimanakah keadaan mereka apabila diperingatkan berkenaannya?”
(Surah Muhammad: 18)
Syeikh Abu al-Su‘ud berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Petanda-petanda kiamat telah pun datang, namun ramai manusia tidak mengambil kisah berkenaannya, dan tidak mengambil cakna atau pengajaran daripadanya tentang betapa dekatnya Hari Kiamat itu akan tiba! Lantas, semua itu menyebabkan Hari Kiamat akan tiba kelak dalam keadaan mengejut dan secara tiba-tiba. Perkataan al-asyrat (الأشْراطُ) adalah perkataan plural bagi syart (شَرَطٍ) yang bermaksud tanda.” (Lihat Irsyad al-‘Aql al-Salim, 8/97)
Berhubung soalan di atas, setakat yang diriwayatkan di dalam hadith, antara petanda Kiamat adalah adalah Sungai Euphrates akan mengering dan akan menampakkan harta karun berupa emas yang sangat banyak ibarat timbunan gunung-ganang.
Petanda ini adalah salah satu tanda-tanda kecil Hari Kiamat yang diriwayatkan di dalam hadith-hadith yang sahih. Ubai bin Ka‘ab R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يُوشِكُ الفُراتُ أَنْ يَحْسِرَ عن جَبَلٍ مِن ذَهَبٍ، فَإِذا سَمِعَ به النّاسُ سارُوا إلَيْهِ، فيَقولُ مَن عِنْدَهُ: لَئِنْ تَرَكْنا النّاسَ يَأْخُذُونَ منه لَيُذْهَبَنَّ به كُلِّهِ، قالَ: فَيَقْتَتِلُونَ عليه، فيُقْتَلُ مِن كُلِّ مِائَةٍ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ
Maksudnya: “Hampir sahaja Sungai Euphrates itu mengering dan akan menzahirkan segunung harta berupa emas. Apabila manusia mendengar berkenaannya, mereka akan beramai-ramai datang mengerumuninya. Lantas, orang yang berada di situ akan berkata: “Jika kami biarkan orang lain mengambilnya, maka tentu semua ini akan habis dibolot oleh mereka.” Nabi bersabda: “Lantas mereka saling berperang untuk mendapatkannya, dan terbunuhlah sebanyak sembilan puluh sembilan orang dari setiap seratus orang.”
Riwayat Muslim (2895)
Rasulullah SAW juga melarang sesiapa dalam kalangan umatnya untuk mengambil suatu apa pun daripada harta tersebut kerana ia harta yang tidak dimiliki oleh sesiapa, dan ia hanya boleh didapati jika terlibat dalam peperangan dan fitnah. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يُوشِكُ الفُراتُ أنْ يَحْسِرَ عن كَنْزٍ مِن ذَهَبٍ، فمَن حَضَرَهُ فلا يَأْخُذْ منه شيئًا
Maksudnya: “Hampir sahaja Sungai Euphrates itu mengering dan terzahir daripadanya harta yang sangat banyak berupa emas. Sesiapa yang menyaksikannya, maka janganlah dia mengambil suatu apa pun daripadanya!”
Riwayat al-Bukhari (7119); Muslim (2894)
Syeikh Syaraf al-Haq al-‘Azim Abadi mensyarahkan hadith di atas dengan menyebutkan: “Ini mengisyaratkan bahawa seakan-akan gunungan emas tersebut boleh diambil, maka ia boleh jadi adalah berupa wang-wang syiling emas, atau juga jongkong emas, boleh juga dalam bentuk serbuk atau kepingan kecil. Yang zahir adalah, larangan mengambilnya adalah kerana ia bakal melibatkan peperangan dan pembunuhan semata-mata untuk mendapatkannya. Demikianlah ringkasan daripada syarahan al-Hafiz (Ibn Hajar al-‘Asqalani) dalam kitab Fath al-Bari.” (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, 11/294)
Imam Ibn Raslan al-Syafi‘i pula menyatakan: “Larangan hukum asalnya adalah pengharaman, hal ini kerana harta tersebut bukan milik sesiapa, ia juga bukanlah mengambil hukum ma‘din (hasil gali bumi) dan bukan juga hukum rikaz (harta tersorok yang ditemui). Maka, ia sewajarnya menjadi hak baitulmal negara Islam. Ia juga tidak boleh didapati melainkan dengan pembunuhan jiwa yang terlarang, maka dilarang juga sebarang usaha untuk mendapatkannya, seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurtubi.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 17/143)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa tiada sebarang dalil yang mengatakan bahawa penemuan emas di gunung yang terletak di Arab Saudi merupakan salah satu tanda kiamat. Sebaliknya, yang sahih diriwayatkan di dalam hadith adalah Sungai Euphrates bakal mengering dan akan menimbulkan timbunan emas yang banyak umpama gunung.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْألُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta daripada-Mu: ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”
Riwayat al-Nasa’ie (9930) dan Ibn Majah (925)
Wallahu a‘lam.