Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah kita puasa ganti Ramadhan hanya dibuat pada hari Sabtu dan Ahad sahaja? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
أَیَّامࣰا مَّعۡدُودَ ٰتࣲۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِیضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرࣲ فَعِدَّةࣱ مِّنۡ أَیَّامٍ أُخَرَۚ وَعَلَى ٱلَّذِینَ یُطِیقُونَهُۥ فِدۡیَةࣱ طَعَامُ مِسۡكِینࣲۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَیۡرࣰا فَهُوَ خَیۡرࣱ لَّهُۥۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
Maksudnya: “Hari-hari yang sedikit sahaja. Sesiapa yang ditimpa sakit atau bermusafir, maka bolehlah dia menggantikan (puasa) pada hari yang lain. Bagi sesiapa yang langsung tidak mampu berpuasa, maka hendaklah dia membayar fidyah berupa memberi makan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang memperbanyakkan dalam melakukan amal kebaikan maka yang demikian itu cukup baik buat dirinya. Dan berpuasa itu lebih buat kalian jika kalian mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi berkata seraya menafsirkan ayat suci di atas menegaskan kewajipan qadha’ puasa wajib bagi sesiapa yang meninggalkannya: “Firman Allah (yang bermaksud): ‘Maka bolehlah dia menggantikan (puasa) pada hari yang lain,’ terdapat perkataan yang dihazafkan (dihilangkan) di dalamnya iaitu sesiapa dalam kalangan kalian yang sakit atau dalam keadaan bermusafir kemudian dia berbuka, maka wajiblah dia menggantikan puasa tersebut (mengqadha’).” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/281)
Berhubung soalan di atas, tiada sebarang larangan untuk berpuasa qadha’ dan sunat pada mana-mana hari, kecuali seperti berikut:
Dilarang berpuasa hari Jumaat sahaja tanpa sebarang sebab, berdasarkan hadith ِAbu Hurairah R.A yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
وَلا تَخُصُّوا يَومَ الجُمُعَةِ بصِيامٍ مِن بَيْنِ الأيّامِ، إِلّا أَنْ يَكونَ في صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ
Maksudnya: “Janganlah kalian mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa khusus, melainkan puasa yang telah terbiasa diamalkan oleh kalian.”
Riwayat Muslim (1144)
Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan sebabnya: “[Imam al-Nawawi berkata: Dan dimakruhkan untuk berpuasa pada hari Jumaat sahaja] iaitu dengan ibadat puasa berdalilkan hadith al-Sahihain yang melarang amalan tersebut, melainkan jika seseorang turut berpuasa sehari sebelumnya (Khamis) atau sehari selepasnya (Sabtu). Sebab bagi larangan ini adalah puasa akan menghasilkan kelemahan bagi seseorang untuk melaksanakan banyak tugasan ibadat yang tinggi keutamaannya pada hari Jumaat, dan taraf hari Jumaat adalah ibadat hari perayaan mingguan bagi umat Islam.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/458)
Dilarang berpuasa hari Sabtu sahaja tanpa sebarang sebab. Al-Samma’ binti Busr al-Mazini R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَصُومُوا يَوْمَ السَّبْتِ إلَّا فِيمَا اُفْتُرِضَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Janganlah kalian berpuasa pada hari Sabtu sahaja melainkan puasa yang diwajibkan ke atas kalian.”
Riwayat Abu Daud (2421) dan al-Tirmizi (744)
Imam Ibn Hajar al-Haitami mensyarahkan sebab larangan di atas: “Sebab larangan mengkhususkan puasa pada hari Sabtu adalah kerana puasa adalah perbuatan menahan. Larangan menahan pada hari Sabtu ini adalah agar tidak menyamai adat orang Yahudi yang menahan serta menunda sebarang kerja dan urusan pada hari Sabtu sebagai tanda mengagungkannya; takut-takut nanti tersama atau menyerupai dengan cara pengagungan orang Yahudi terhadap hari tersebut sekalipun mereka tidak puasa.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/458).
Dikecualikan juga bagi puasa qadha’, kita dibenarkan untuk melaksanakan puasa qadha’ pada hari Sabtu kerana Nabi SAW bersabda: “إلَّا فِيمَا اُفْتُرِضَ عَلَيْكُمْ” (kecuali puasa yang wajib ke atas kalian). Baginda memberi pengecualian bagi puasa wajib, ia tidak termasuk dalam larangan. Maka, puasa qadha’ adalah puasa yang wajib yang tidak dilarang — berbeza halnya dengan puasa sunat.
Begitu juga, dibenarkan untuk berpuasa hari Sabtu dan Ahad bersama. Ummul Mukminin Ummu Salamah R.Anha meriwayatkan bahawa:
أَنَّهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَانَ أَكْثَرَ مَا يَصُومُ مِنْ الْأَيَّامِ يَوْمَ السَّبْتِ وَالْأَحَدِ وَكَانَ يَقُولُ إنَّهُمَا يَوْمَا عِيدٍ لِلْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW kerap berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad dan Baginda bersabda: ‘Dua hari itu adalah hari raya orang-orang musyrik (maka aku suka untuk menyelisihi mereka).’”
Riwayat al-Nasa’i (2776)
Rasulullah SAW hendak menyelisihi orang-orang Yahudi dan Nasrani yang berpesta makan dan minum pada Sabtu dan Ahad, lantas Baginda berpuasa. Imam Ibn al-Mulaqqin al-Syafi‘i mensyarahkan hadith di atas seraya berkata: “Umum mengetahui bahawa hari perayaan adalah hari untuk makan dan minum serta meninggalkan sebarang pekerjaan dan perusahaan berkaitan kehidupan.” (Lihat al-I‘lam bi Fawa’id ‘Umdah al-Ahkam, 5/369).
Kesimpulannya
Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa dibolehkan untuk melaksanakan puasa ganti (qadha’) Ramadhan yang hanya dibuat pada hari Sabtu dan Ahad sahaja berdasarkan amalan Rasulullah SAW yang berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad. Manakala, larangan berpuasa pada Sabtu sahaja atau Ahad sahaja, adalah untuk puasa yang tidak didorong sebarang sebab — yakni merujuk kepada puasa sunat semata-mata. Jika hendak melaksanakan puasa wajib seperti puasa Ramadhan atau puasa qadha’, maka tiada masalah.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْألُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta daripada-Mu: ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”
Riwayat al-Nasa’ie (9930) dan Ibn Majah (925)
Wallahu a‘lam.