Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah syarat-syarat sah bacaan al-Fatihah di dalam solat? Jazakumullahu khairan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Persoalan di atas berpucuk pangkal daripada arahan Baginda Nabi SAW untuk membaca Surah al-Fatihah (Umm al-Kitab) di dalam solat. ‘Ubadah bin al-Samit RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا صَلاةَ لِمَن لَمْ يَقْرَأْ بفاتِحَةِ الكِتابِ

Maksudnya: “Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca Surah al-Fatihah (di dalam solatnya).”

Riwayat al-Bukhari (756); Muslim (394)

Imam Ibn Battal al-Maliki ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan: “Hujah pendapat yang mewajibkan bacaan Surah al-Fatihah di dalam solat (iaitu mazhab al-Syafi‘i dan sekalian ashab beliau), termasuklah bagi makmum di belakang imam, adalah hadith di atas: “لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب” (Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab), hadith ini menafikan kesahihan solat bagi orang yang tidak membacanya. Hadith ini mesti difahami secara asal zahirnya, melainkan apabila ada sebarang dalalah lain yang mengkhususkannya (mengkhususkan makna perkataan la solata).” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 2/370)

Berhubung soalan yang diajukan kepada kami di atas, kami lampirkan kewajipan-kewajipan yang perlu dipenuhi ketika membaca Surah al-Fatihah di dalam solat supaya suatu solat tersebut dianggap sah, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Muhammad bin Sa‘id Ba ‘Isyn dalam kitab Busyra al-Karim.

Imam Muhammad bin Sa‘id Ba ‘Isyn al-Syafi‘i berkata menjelaskan bab sifat solat: Kewajiban ketika membaca surah al-Fatihah itu ada sepuluh perkara:

  1. Membaca keseluruhan ayatnya (قراءة جميع آياتها)
  2. Membaca seluruh ayatnya dalam keadaan berdiri (وقوعها كلها في القيام أن وجب)
  3. Membaca sendiri, tidak mewakilkannya kepada sesiapa (عدم الصارف)
  4. Bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri (يسمع جميع حروفها)
  5. Wajib dibaca di dalam Bahasa Arab (كونها بالعربية)
  6. Mematuhi semua tasydidat/bacaan sabdu di dalamnya (ومراعاة التشديدات منها)
  7. Menyebut semua hurufnya tanpa tertinggal (رعاية حروفها)
  8. Tiada sebarang lahn (kesalahan) yang mengubah makna (عدم اللحن المخل بالمعنى)
  9. Muwalat (berturut-turut) ketika membaca, tidak berhenti (الموالاة)
  10. Membaca menurut tertib susunan ayatnya (ترتيب الفاتحة).”

(Lihat Busyra al-Karim Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 203-204)

Demikianlah syarat-syarat sah bacaan al-Fatihah di dalam solat seperti yang dinyatakan oleh para ulama mazhab al-Syafi‘i. Sekiranya seseorang tidak memenuhi syarat-syarat dan kewajipan di atas ketika membaca surah al-Fatihah, maka bacaan surah al-Fatihah tersebut adalah dianggap tidak sah.

Bacaan surah al-Fatihah yang tidak sah akan menyebabkan keseluruhan solat tersebut menjadi tidak sah, dan wajib diulangi dengan memenuhi syarat-syarat serta melaksanakan kewajipan di atas.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي لَكَ شَكَّارًا، لَكَ ذَكَّارًا، لَكَ رَهَّابًا، لَكَ مِطْوَاعًا، لَكَ مُخْبِتًا، إِلَيْكَ أَوَّاهًا مُنِيبًا

Maksudnya: “Tuhanku, jadikan aku sentiasa bersyukur kepada-Mu, sentiasa mengingati-Mu, sentiasa mencintai-Mu, sentiasa taat kepada-Mu, sentiasa patuh kepada-Mu, sentiasa mengadu dan kembali kepada-Mu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply