Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah kita mendirikan solat sunat tahiyyatul masjid di dalam surau yang dijadikan untuk solat Jumaat? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami mulakan makalah ini dengan sabda junjungan, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga menunaikan solat dua rakaat”.
Riwayat al-Bukhari (1167)
Hadith di atas merupakan dalil bagi anjuran melaksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid yang bermaksud sembahyang sunat bagi menghormati masjid ketika mula-mula memasukinya. Masjid yang dimaksudkan adalah masjid yang khusus, iaitu tempat solat yang memenuhi kriteria dan ciri-ciri masjid di sisi syarak.
Imam Tajuddin al-Fakihani al-Maliki berkata ketika mensyarahkan hadith di atas: “Antara faedah daripada hadith di atas adalah, yang pertama: Yang dikehendaki daripada perkataan masjid di sini adalah secara khas, bukannya am. Masjid yang am (umum) adalah seperti mana yang dinyatakan oleh sabdaan Nabi SAW: “Dijadikan bagiku semua tempat di atas muka bumi ini sebagai tempat solat (masjid) dan alat bersuci.” (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 2/408)
Imam al-San‘ani dalam penjelasannya terhadap hadith di atas, beliau menyebut bahawa hadith ini merupakan satu larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram min Adillah Al-Ahkam, 2/62)
Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama sepakat bahawa solat sunat tahiyyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/52)
Hukum Solat Tahiyat al-Masjid
Sesungguhnya solat sunat Tahiyyatul Masjid adalah sunat mustahab (dianjurkan) dengan ijma‘ kaum Muslimin kecuali apa yang dinukilkan daripada Daud dan ashabnya berkenaan kewajibannya. Ijma‘ ulama juga menyatakan bahawa makruh orang yang masuk masjid duduk terus tanpa melaksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid tanpa uzur sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.
Imam Ibn Hazm al-Andalusi pula berpendapat bahawa perintah dalam hadith tersebut menunjukkan kepada hukum wajib.
Imam al-Nawawi menyebutkan, di dalamnya terkandung pengertian disunatkan melaksanakannya, yang ia bersifat sunat menurut kesepakatan kaum Muslimin. Dalamnya juga terkandung pengertian disunatkan memberi penghormatan (Tahiyyat) kepada masjid setiap kali memasukinya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/233)
Takrif Masjid, Masjid Jami‘ dan Musalla
Masjid: Masjid ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah SWT, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima waktu dan tidaklah termasuk musalla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. (Lihat I’lam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid oleh al-Imam al-Zarkasyi).
Masjid al-Jami‘: Di dalam kitab-kitab fiqh, istilah masjid al-Jami‘ diberikan maknanya seperti masjid hanya yang membezakannya ialah di masjid al-Jami‘ didirikan Solat Jumaat manakala di masjid tidak didirikan Solat Jumaat.
Musalla: Musalla dari segi bahasa bermaksud tempat sembahyang dan berdoa. Namun, dari segi istilahnya, ia merujuk kepada tanah lapang yang luas dan padanya manusia berkumpul untuk menunaikan solat bagi tujuan-tujuan seperti solat istisqa’ (solat minta hujan), solat jenazah dan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha. Ini dapat difahami melalui hadith Nabi SAW:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ إِلَى المصلّى يَسْتَسْقِى وَأَنَّهُ لَمَّا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ اسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ وَحَوَّلَ رِدَاءَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW keluar ke musalla untuk solat istisqa’. Apabila ingin berdoa, Baginda akan menghadap kiblat dan membalik-balikkan selendangnya”.
Riwayat al-Bukhari (6343) dan Muslim (894)
Begitu juga dengan hadith ketika mana Nabi SAW mendapat perkhabaran telah matinya al-Najasyi, Raja Habsyah dan Nabi SAW keluar ke tanah lapang (musalla) untuk solat ke atas jenazah al-Najasyi. Abu Hurairah R.A berkata:
أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِي فِيْ اليَوْمِ الَّذِيْ مَاتَ فِيْهِ خَرَجَ إِلَى المصلّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya, lalu Baginda keluar ke musalla dan menyusun saf bersama mereka (sahabat) dan Baginda bertakbir empat kali (solat jenazah)”.
Riwayat al-Bukhari (1245)
Begitu juga dalam sebuah hadith yang lain:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى المصلّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةَ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُوْمُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوْسٌ عَلَى صُفُوْفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوْصِيْهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيْدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW keluar ke musalla pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang dimulakan Baginda ialah solat (sunat Hari Raya), kemudian Baginda selesai. Lalu Baginda bangun mengadap orang ramai dalam keadaan mereka duduk dalam saf masing-masing. Maka Baginda pun (berkhutbah) memberi peringatan, memberi nasihat dan memerintahkan mereka. Sekiranya Baginda ingin mengutus utusan, maka Baginda akan mengutuskannya, atau Baginda ingin menyuruh sesuatu, maka Baginda akan menyuruhnya dan kemudian Baginda bersurai ”.
Riwayat al-Bukhari (956)
Difahami di sini bahawa Rasulullah SAW tidak menunaikan semua jenis solat di masjid, bahkan pada tujuan-tujuan tertentu, Rasulullah SAW akan keluar untuk solat di musalla. Musalla pula bukanlah tempat rasmi yang digunakan oleh Rasulullah SAW setiap hari untuk menunaikan solat namun pada keadaan-keadaan tertentu seperti yang telah disebutkan di atas, Nabi SAW pergi ke musalla untuk menunaikannya.
Musalla: Masjid atau Bukan?
Muktamad mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa musalla iaitu tempat yang digunakan untuk solat-solat tertentu sahaja tidak dihukumkan sebagai masjid.
Imam al-Nawawi berkata:
الْمُصَلَّى الْمُتَّخَذُ لِلْعِيدِ وَغَيْرِهِ الَّذِي لَيْسَ بِمَسْجِدٍ لَا يَحْرُمُ الْمُكْثُ فِيهِ عَلَى الْجُنُبِ وَالْحَائِضِ عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ
Maksudnya: “Musalla yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini juga telah diputuskan oleh jumhur ulama.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/180).
Menurut mazhab al-Syafi‘i, musalla tidak dikira sebagai masjid. Imam al-Ghazali apabila ditanyakan tentang musalla yang dilakukan solat hari raya di luar bandar, beliau menjawab:
لا يَثْبُتُ لَهُ حُكْمُ الْمَسْجِدِ فِي الاِعْتِكَافِ وَمُكْث الْجُنُبِ وَغَيْرِهِ مِنَ الأَحْكَامِ، لأَنَّ الْمَسْجِدَ هُوَ الَّذِيْ أُعِدَّ لِرَوَاتِبِ الصَّلاَةِ، وَعُيِّنَ لَهَا حَتَّى لاَ يُنْتَفَعَ بِهِ فِيْ غَيْرِهَا. وَمَوْضِعُ صَلاَةِ الْعَيْدِ مُعَدٌّ لِلاِجْتِمَاعَاتِ وَلِنُـزُوْلِ الْقَوَافِلِ، وَلِرُكُوْبِ الدَّوَابِّ، وَلَعْبِ الصِّبْيَانِ. وَلَمْ تَجْرِ عَادَةُ السَّلَفِ بِمَنْعِ شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ فِيْهِ، وَلَوْ اعْتَقَدُوْه مَسْجِدًا لَصَانُوْهُ عَنْ هَذِهِ الأَسْبَابِ وَلقصد لإِقَامَةِ سَائِرِ الصَّلَوَاتِ. وَصَلاَةُ الْعَيْدِ تَطَوُّعٌ، وَهُوَ لاَ يَكْثُرُ تَكَرُّرُهُ بَلْ يُبْنَى لِقَصْدِ الاِجْتِمَاعِ وَالصَّلاَةُ تَقَعُ فِيْهِ بِالتَّبَعِ
Maksudnya: “Tidak ada baginya (musalla) hukum masjid dari segi iktikaf, hukum orang berjunub duduk dalam masjid dan hukum-hakam yang lain. Ini kerana masjid ialah tempat yang disediakan untuk solat lima waktu. Masjid telah ditentukan khusus untuknya (solat lima waktu) sehinggakan masjid tidak boleh dimanfaat tanpanya. Tempat untuk solat hari raya pula disediakan untuk perjumpaan-perjumpaan, tempat berhentinya rombongan-rombongan, tempat untuk menaiki binatang ternakan dan tempat mainan kanak-kanak. Ulama terdahulu tidak pernah menghalang perkara-perkara tersebut pada tempat itu (musalla). Jika mereka menganggap ia sebagai masjid, sudah pasti mereka akan menjaganya daripada perkara-perkara tersebut. Begitu juga — mereka akan menjaganya — atas sebab mendirikan solat-solat lain. Solat hari raya adalah sunat, ia tidak berulang banyak kali. Ia dilakukan di musalla untuk tujuan perhimpunan. Solat hari raya di situ (musalla) kerana mengikut perbuatan Nabi.” (Lihat I‘lam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, hlm. 386)
Setelah melihat kepada pendalilan di atas, mazhab al-Syafi‘i menghukumkan musalla tidak mengambil hukum masjid kerana musalla pada zaman Nabi dan sahabat adalah seperti:
- Tempat yang dijadikan tempat solat sempena acara tertentu seperti padang, stadium, dewan dan lain-lain tidak dianggap masjid. Ini kerana ia dijadikan tempat solat sementara dan bukannya tempat solat yang tetap.
- Terkadang tempat seperti padang atau stadium hanya dilakukan solat di situ sekali dua sahaja sempena program tertentu. Itulah keadaan dan penggunaan musalla di zaman Nabi SAW. Wallahu a‘lam.
Surau
Perkataan surau secara pastinya bukan berasal daripada perkataan Arab. Di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, surau bermakna: “bangunan yang lebih kecil daripada masjid, tempat orang-orang beribadat seperti bersembahyang dan belajar agama. Nama lain bagi surau ialah langgar dan madrasah.”
Sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu, apabila dikatakan surau, dapat difahami bahawa ia sebuah tempat untuk menunaikan solat dan boleh jadi surau itu adalah sebuah bilik kecil di pejabat ataupun pusat membeli belah ataupun masjid yang tidak didirikan solat Jumaat padanya.
Jika terdapat kawasan perumahan dan di situ terdapat surau, difahami bahawa surau itu padanya dikerjakan solat lima waktu namun tidak didirikan solat Jumaat bahkan dalam sesetengah surau terdapat Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau yang tersendiri untuk mentadbir urus surau tersebut.
Terdapat juga sesetengah surau yang telah dinaik tarafkan sebagai masjid dan terdapat juga yang diberikan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan selalunya istilah yang digunakan adalah surau diri Jumaat. Maka dari sudut realiti di Malaysia ini, surau telah pun menjalankan peranan dan fungsi masjid.
Surau Jumaat
Di Malaysia khususnya, terdapat satu istilah yang digunakan kepada surau yang diberikan padanya kebenaran oleh pihak berkuasa untuk mendirikan solat Jumaat. Istilah bagi surau tersebut adalah “Surau Diri Jumaat” bagi melambangkan bahawa surau tersebut ada menunaikan solat Jumaat.
Jika kita melihat kepada perbahasan sebelum ini, kita telah melihat bahawa masjid telah diberikan definisinya yang tersendiri mengikut hukum syara‘ dan kita juga telah mengetahui bahawa istilah surau tidak pernah wujud di dalam bahasa Arab dan menyebabkan para ulama’ dan fuqaha’ tidak pernah membincangkannya. Namun, apabila kita melihat kepada fungsi sesetengah surau yang ada di Malaysia, kita dapati bahawa ia menepati ciri-ciri sebuah masjid.
Sesetengah surau di Malaysia padanya dilaungkan azan, ditunaikan solat lima waktu berjemaah di dalamnya, bahkan surau-surau ini ada carta organisasinya yang tersendiri dari sudut pentadbiran dan juga bangunan yang sesuai. Surau-surau ini juga telah didaftarkan dengan jabatan-jabatan agama negeri masing-masing untuk mendapatkan pengesahan seterusnya mula beroperasi. Surau-surau seperti ini wujud di kawasan perumahan awam yang mana apabila pihak pemaju ingin memajukan sesuatu kawasan yang majoritinya beragama Islam, maka sebidang tanah telah diperuntukkan untuk dibinakan surau atau masjid yang mana tanah itu akan diambil alih pengurusannya oleh majlis atau jabatan agama yang terbabit. Atas dasar ini, kami melihat, meskipun asal pada namanya adalah surau namun ia telah menepati ciri-ciri masjid yang telah ditetapkan.
Sesetengah pendapat tidak membenarkan solat sunat tahiyyatul masjid di surau diri Jumaat atas alasan ianya bukan masjid dan kami melihat bahawa pendapat ini tidak begitu kuat asas dalilnya.
Secara ‘urufnya, kita melihat apa yang dilakukan di masjid terdapat juga ciri-cirinya pada surau. Hanya surau itu tidak ditunaikan solat Jumaat padanya dan dari segi saiznya pula, ia agak kecil dari masjid. Dalam satu kaedah fiqh:
الْعِبْرَةُ بِالْقَصْدِ لا بِالْأَلْفَاظِ
Maksudnya: “Yang diambil kira ialah maksud bukannya perkataan (istilah).”
Boleh kita katakan surau juga ialah tempat solat lima waktu secara berjemaah, maka ia sama statusnya dengan masjid walaupun ia tidak dinamakan sebagai masjid.
Memahami erti masjid dalam bahasa Arab dan juga istilah fiqh, maka kami dapati kedua-duanya selari dan surau diri Jumaat juga menepati ciri-ciri tersebut. Pada zaman Nabi SAW, terdapat banyak masjid di sekitar Madinah namun jika ingin menunaikan Solat Jumaat, ia hanya dilakukan di Masjid al-Nabawi.
Tarjih
Oleh itu, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid di surau yang mendirikan solat Jumaat. Ini bagi menerangkan bahawa pada zaman Nabi SAW, meskipun tidak didirikan solat Jumaat pada masjid tersebut, ia tetap dinamakan dengan masjid. Adapun masyarakat Melayu Islam beranggapan bahawa masjid padanya didirikan solat Jumaat manakala surau pula tidak didirikan solat Jumaat padanya.
Ini juga dalam rangka untuk menyediakan lebih banyak ruang bagi masyarakat awam untuk melakukan ibadah dan bukan hanya masjid al-Jami‘ sahaja, tetapi ia juga merangkumi surau diri Jumaat yang diertikan sebagai masjid berdasarkan pengertian ulama silam seperti surau-surau yang terdapat di kawasan perumahan dan ini termasuklah dalam bab al-Targhib bagi menggalakkan umat Islam untuk melakukan amal kebaikan.
Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-96 yang telah bersidang pada 24 Februari 2016 juga telah bersetuju untuk membenarkan ditunaikan solat sunat tahiyyatul masjid di Surau Diri Jumaat berdasarkan hujah-hujah yang telah dikemukakan sebelum ini.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَ حَبَّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah kami cintakan keimanan dan hiasilah hati kami dengannya, jadikanlah kami ini benci akan kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan. Jadikanlah kami orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Wallahu a‘lam.