Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum berbisik antara dua orang dihadapan kawannya yang lain? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menjaga diri daripada perkara yang boleh menyakiti dan menyinggungkan perasaan seseorang adalah dituntut secara syarak. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Maksudnya: “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.”
Riwayat Al-Bukhari (6484)
Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 1/62)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara adab yang ditekankan oleh Islam ketika berada dalam majlis adalah tidak berbisik-bisik antara dua orang tanpa melibatkan orang ketiga; ini adalah untuk menjaga kesejahteraan hati dan menghindari daripada berlakunya perselisihan antara sesama muslim. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Saud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إذا كُنْتُمْ ثَلاثَةً، فلا يَتَناجى رَجُلانِ دُونَ الآخَرِ حتّى تَخْتَلِطُوا بالنّاسِ، أجْلَ أنْ يُحْزِنَهُ
Maksudnya: “Sekiranya kamu bertiga, maka janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa melibatkan seorang lagi sehinggalah kamu bercampur dengan orang ramai kerana hal itu boleh menjadikannya sedih.”
Riwayat al-Bukhari (6290) dan Muslim (2184)
Larangan yang disebut dalam hadith-hadith di atas secara zahirnya menunjukkan pengharaman, maka haram bagi dua orang untuk berbisik-bisik tanpa melibatkan orang ketiga, atau sekumpulan orang tanpa melibatkan salah seorang daripada mereka.
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: hadith ini terdapat larangan bagi dua orang yang berbisik-bisik di hadapan orang ketiga, begitu juga tiga orang atau lebih di hadapan seorang. Larangan ini menunjukkan kepada pengharaman. Maka, haram bagi sekumpulan orang untuk berbisik-bisik tanpa melibatkan salah seorang daripada mereka kecuali dengan izinnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/167)
Justeru, perbuatan berbisik-bisik antara dua orang di hadapan orang ketiga adalah perkara yang diharamkan oleh syarak. Ini kerana dengan perbuatan tersebut, ia boleh menyebabkan dia merasa tidak selesa, tersisih, atau curiga terhadap apa yang dibicarakan tersebut. Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim hendaklah sentiasa menjaga tingkah laku daripada perkara-perkara yang boleh menyakiti orang lain.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam