Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, di Masjidil Haram kita dibolehkan solat sepanjang waktu (tiada waktu haram). Adakah ia termasuk solat di hotel-hotel dalam tanah haram juga? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Persoalan di atas diajukan berpucuk-pangkal daripada hadith Nabi SAW berikut, Jubair bin Mut‘im RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ مَنْ وَليَ مِنْكُمْ مِنْ أُمُورِ النَّاسِ شيَئاً فَلاَ يَمْنَعَنَّ أَحَداً طَافَ بِهذَا الْبَيْتِ أَوْ صَلَّى أَيَّةَ سَاعَةٍ شَاءَ مِنْ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ

Maksudnya: “Wahai Bani ‘Abd Manaf, sesiapa yang menggalas tanggungjawab memimpin masyarakat kelak, janganlah dia menghalang sesiapa pun untuk bertawaf mengelilingi Ka‘bah ini, atau bersolat pada bila-bila masa pun yang dia hendaki pada waktu malam dan jua siang.”

Riwayat Abu Daud (1894); al-Tirmizi (868); al-Nasa’i (585); dinilai sahih oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (780)

Imam Badruddin al-‘Aini al-Hanafi menyimpulkan pendirian para ulama selepas menjelaskan mazhab para Salaf berkenaan hadith di atas: “Mazhab ‘Ata’ bin Abu Rabah, Tawus bin Kaisan, al-Qasim, ‘Urwah bin al-Zubair, al-Syafi‘i, Ahmad bin Hanbal dan Ishaq bin Rahawaih; berpendapat dengan hujah hadith Jubair bin Mut‘im RA dan Ibn ‘Abbas RAnhuma, bahawa dibolehkan untuk solat selepas tawaf bila-bila masa sahaja sama ada pada waktu malam mahupun siang; tiada sebarang waktu larangan.” (Lihat Nukhab al-Afkar fi Tanqih Mabani al-Akhbar fi Syarh Ma‘ani al-Athar,  9/399).

Berhubung dengan status hotel-hotel di Makkah, adakah dibolehkan untuk bersolat setiap waktu di hotel-hotel di dalam Tanah Haram tersebut? Kami bawakan sabdaan Junjungan Agung yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin al-Zubair R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةٍ فِي مَسْجِدِي بِمِائَةِ صَلَاةٍ

Maksudnya: “Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih afdhal berbanding seribu kali ganda solat di tempat yang lain selain daripada Masjidil Haram. Manakala, solat di Masjidil Haram pula lebih utama sebanyak seratus kali ganda berbanding solat di masjidku ini.”

Riwayat Ahmad (16117); Ibn Majah (1406); al-Haithami berkata: Perawi sanad ini perawi Sahih al-Bukhari. (Majma‘ al-Zawa’id, 4/9)

Salah seorang tokoh ulama tabi’in bernama Imam ‘Ata’ bin Abu Rabah apabila mendengar hadith ini daripada Ibn al-Zubair R.Anhuma, beliau bertanya:

يَا أَبَا مُحَمَّدٍ هَذَا الْفَضْل الَّذِي يُذْكَرُ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحْدَهُ أَوْ فِي الْحَرَمِ؟ قَال: بَل فِي الْحَرَمِ، فَإِنَّ الْحَرَمَ كُلَّهُ مَسْجِدٌ

Maksudnya: “Wahai Abu Muhammad, keutamaan ini adakah terhad di Masjidil Haram sahaja atau di seluruh kawasan di Tanah Haram?” Beliau (Ibn al-Zubair) menjawab: ‘Bahkan di seluruh Tanah Haram, kerana keseluruhannya adalah masjid.’” (Lihat Musnad Abu Daud al-Tayalisi, hlm. 195).

Berdasarkan athar di atas, kita mengetahui bahawa ganjaran solat sebanyak 100,000 kali ganda pahala di Masjidil Haram tidak terhad di Kaabah dan masjid sekelilingnya sahaja, bahkan ia merangkumi semua kawasan di Tanah Haram Makkah al-Mukarramah. Begitu juga dengan hukum bersolat pada setiap waktu dan tiada waktu larangan. Ia merangkumi semua Tanah Suci Makkah, sepertimana yang difatwakan oleh Imam al-Ruyani, Imam al-Mawardi dalam kalangan al-Syafi‘iyyah. Imam al-Zarkasyi turut menukilkan bahawa Imam al-Muhib al-Tabari dalam kalangan fuqaha’ al-Syafi‘iyyah yang mengatakan bahawa ganjaran tersebut hanya khusus pada Masjidil Haram sahaja, bukan semua Tanah Haram Makkah. (Lihat I‘lam al-Sajid fi Ahkam al-Masajid, hlm. 121)

Pendapat Berkenaan Kebolehan Solat Setiap Waktu di Makkah al-Mukarramah Imam Mazhab al-Syafi‘iyyah
Boleh bersolat pada setiap waktu, tiada waktu larangan di semua kawasan dalam kota Makkah (Tanah Haram) Imam al-Ruyani, Imam al-Mawardi berdasarkan qaul ‘Ata’ bin Abu Rabah
Fadhilat gandaan pahala hanya khusus di Masjidil Haram. Tidak boleh bersolat pada waktu-waktu larangan solat, sama seperti kota-kota yang lain; walaupun di Makkah. Imam al-Muhib al-Tabari, qaul yang dinukilkan oleh Imam al-Rafi‘i

Selepas membawa khilaf tersebut, Imam Abu al-Qasim al-Rafi‘i mentarjihkan khilaf dalam kalangan fuqaha’ al-Syafi‘iyyah di atas seraya berkata: “Ada pendapat lain yang mengatakan pengecualian larangan beberapa waktu untuk bersolat adalah di dalam kawasan (binaan) Masjidil Haram sahaja; adapun tempat lain (di dalam Tanah Haram Makkah) adalah sama sahaja seperti tempat-tempat yang lain (dari sudut larangan beberapa waktu untuk bersolat). Namun, pendapat yang masyhur lagi sahih (dalam mazhab) adalah pendapat pertama (semua tempat di makkah boleh solat pada setiap waktu).” (Lihat al-‘Aziz Syarh al-Wajiz, 1/401).

Imam al-Badr al-Zarkasyi juga ada menjelaskan tentang hakikat al-Masjid al-Haram. Tafsiran tentang makna al-Masjid al-Haram mencecah kepada tujuh pendapat:

  • Tempat yang dilarang bagi setiap orang yang junub (berhadas besar) untuk berada di dalamnya.
  • Kota Makkah keseluruhannya.
  • Tanah Haram sehingga sempadan antara Tanah Haram dengan Tanah Halal.
  • Binaan Kaabah sahaja.
  • Kaabah dan binaan masjid sekitarnya.
  • Seluruh Tanah Haram termasuk ‘Arafah.
  • Kaabah dan kawasan dalam Hijir Ismail.

(Lihat I‘lam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, hlm. 120)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk bersolat pada bila-bila masa tanpa sebarang waktu larangan bersolat di hotel-hotel di dalam Tanah Suci Makkah kerana semua kawasan tersebut adalah al-Masjid al-Haram sepertimana yang difatwakan oleh Imam al-Ruyani dan Imam al-Mawardi berdasarkan pendapat ‘Ata’ bin Abu Rabah dalam kalangan Salaf.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply