Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar orang berkata: Jarak antara dua sangkakala adalah 40 tahun. Benarkah? Apakah itu sangkakala?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa, sangkakala (الصور) berasal daripada perkataan ‘صار-يصور-الصور’ yang bermaksud suara yang kuat. Boleh juga dimaksudkan sebagai tanduk yang dibuat untuk ditiup, atau terompet, serta (sesuatu) yang memiliki suara yang kuat. (Lihat al-Munjid fi al-Lughah¸hlm. 442)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, katanya:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا الصُّوْرُ؟ قاَلَ: قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيْهِ

Maksudnya: “Seorang Arab Badwi datang menemui Nabi SAW, lalu bertanya: “Apa (yang dimaksudkan dengan) al-Sur?” Baginda SAW menjawab: “Sangkakala yang ditiup.”

Riwayat Abu Daud (4742), al-Tirmizi (3244), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11312) dan Ahmad (6507). Isnad hadis ini sahih sepertimana dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad 6508)

Syeikh al-‘Azim Abadi berkata: Dalam al-Nihayah, Sur atau terompet berbentuk tanduk yang ditiupkan oleh Israfil AS ketika bangkitnya orang-orang mati untuk menuju ke Padang Mahsyar. Sebahagian ulama’ berpendapat, sesungguhnya Sur itu adalah perkataan jama’ (plural) daripada Surah (satu gambar). Yang dikehendaki dengan gambar-gambar atau bentuk orang mati yang akhirnya ditiupkan padanya ruh. Tetapi, pendapat yang sahih adalah yang pertama. Ini kerana banyak hadis yang menyokong kepada yang pertama kerana penggunaan lafaz sekali dengan Sur dan sekali lagi dengan Qarn (tanduk). (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/68)

Terompet itu biasanya dibuat daripada tanduk haiwan seperti kambing. Dikatakan juga, sangkakala adalah terompet atau tanduk yang digunakan sebagai terompet. Apabila alat tersebut ditiup, maka ia akan menghasilkan bunyi yang kuat, yang memekakkan telinga pendengarnya. (Lihat Dahsyatnya Tiupan Pertama Israfil, hlm. 2)

Nama-Nama Sangkakala

Antara nama lain bagi sangkakala (al-Sur) adalah al-Naqur. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam firman-Nya:

فَإِذَا نُقِرَ فِي النَّاقُورِ

Maksudnya: “Kerana apabila telah ditiup sangkakala.”

(Surah al-Muddathir: 8)

Ibn Kathir berkata: Ibn Abbas, Mujahid, al-Sya’bi, Qatadah, al-Dahhak, al-Hasan, al-Rabi’ bin Anas dan al-Suddi berkata bahawa makna al-naqur adalah sangkakala. Bentuknya seperti tanduk. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/502)

Selain itu, menurut Dr Ali Muhammad al-Salabi, Allah SWT turut menamakan suara atau bunyi yang keluar daripada sangkakala malaikat Israfil dengan beberapa sebutan. Antaranya:

  1. Al-Nafkhah (tiupan). Allah SWT berfirman:

فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ نَفْخَةٌ وَاحِدَةٌ

Maksudnya: “Kemudian apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup.”

(Surah al-Haqqah: 13)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: “فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ نَفْخَةٌ وَاحِدَةٌ” adalah tiupan pertama yang ketika itu berlakunya kehancuran alam semesta. Ertinya, ketika Israfil meniupkan sangkakala pertama kali, ketika itu terjadi kehancuran alam semesta. Ini adalah perkhabaran berkenaan betapa genting dan dahsyatnya hari Kiamat. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/98)

  1. Al-Sa’ihah (tempikan). Allah SWT berfirman:

مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ

Maksudnya: “Mereka tidak menunggu melainkan satu tempikan yang – (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).”

(Surah Yasin: 49)

Al-Syaukani berkata: Firman-Nya ‘مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً’ (mereka tidak menunggu melainkan satu tempikan sahaja), yakni mereka tidak menantikan kecuali satu tempikan sahaja, iaitu tiupan Israfil pada sangkakala. Firman-Nya ‘تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ’ (yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar), yakni bertengkar antara mereka dalam jual beli dan urusan-urusan dunia yang lain. Ini adalah tiupan yang pertama, iaitu tiupan yang mematikan. (Lihat Fath al-Qadir, 9/427)

  1. Al-Rajifah (tiupan yang menggoncangkan). Allah SWT berfirman:

يَوْمَ تَرْجُفُ الرَّاجِفَةُ ‎﴿٦﴾‏ تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ

Maksudnya: “Pada masa berlakunya “tiupan sangkakala yang pertama” yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan). Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing).”

(Surah al-Nazi’at: 6-7)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Ada yang menyebut bahawa ‘الرَّاجِفَةُ’ adalah tiupan pertama, manakala ‘الرَّادِفَةُ’ adalah tiupan kedua. Dikatakan bahawa ‘الرَّاجِفَةُ’ adalah tiupan pertama yang mematikan seluruh makhluk, kemudian diikuti dengan tiupan kedua yang membangkitkan makhluk daripada kematiannya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/344)

  1. Al-Zajrah (jeritan). Allah SWT berfirman:

 فَإِنَّمَا هِيَ زَجْرَةٌ وَاحِدَةٌ (13)

Maksudnya: (Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua), – Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata.

(Surah al-Nazi’at: 13)

Ibn Kathir berkata: Itu adalah perintah Allah. Perintahnya tidak perlu diulang dan tidak perlu penegasan. Tiba-tiba manusia berdiri seraya melihat. Hal itu ketika Allah memerintahkan Israfil, lalu dia meniup sangkakala untuk kebangkitan. Tiba-tiba, orang-orang terdahulu dan terakhir berdiri di hadapan Tuhan sekalian alam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/557)

Peristiwa Tiupan Sangkakala

Tiupan sangkakala ini telah dinyatakan di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۚ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ

Maksudnya: Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.

Surah al-Naml (87)

Al-Maraghi berkata: “Wahai Rasul, ingatkanlah kepada mereka keadaan yang amat mengerikan ketika sangkakala ditiup. Saat itu, semua makhluk yang ada di langit dan di bumi berada dalam ketakutan melihat hari kebangkitan dan hari dikumpulkan seluruh makhluk kecuali orang yang mempunyai hati yang teguh terhadap Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/5085)

Perkataan الصُّور yang disebutkan di dalam ayat ini telah dijelaskan maknanya melalui hadith Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr’ R.Anhuma:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ ‏ “‏ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ‏”‏

Maksudnya: “Telah datang seorang Badwi kepada Nabi SAW, lalu berkata: “Apakah al-Sur?” Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.”

Riwayat al-Tirmizi (2430)

Sebahagian ulama’ menafsirkan tanduk dengan terompet. Para ulama’ berpendapat, alat tiupan tersebut ditaklifkan kepada malaikat Israfil untuk meniupkannya tanpa diketahui kadar besarnya alatan tersebut. (Lihat Mausu’ah al-Akhirahhlm. 78)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan tiupan sangkakala ini akan ditiupkan oleh malaikat yang bernama Israfil dan hampir keseluruhan ulama’ tidak menolak bahawa malaikat Israfil yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk meniupkan sangkakala. (Lihat Fath al-Bari, 11/368)

Malaikat Israfil sentiasa bersedia menanti arahan daripada Allah SWT sejak detik penciptaan lagi. Hal ini telah dinukilkan oleh Syeikh al-Hulaimi[1] secara ijma’. Begitu juga berdasarkan hadith Wahab bin Munabbih[2] yang menyebut secara nyata. (Lihat Mausu’ah al-Akhirahhlm. 79)

Jarak Masa Antara Dua Tiupan

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Qurtubi berkata: Ibn Abbas R.Anhuma menyebut bahawa dimaksudkan dengan tiupan sangkakala pertama ialah ketika mana matinya semua makhluk. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/27)

Kemudian, perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ ‏”‏‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ ‏”‏ ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً‏.‏ فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 tahun? “Aku enggan menjawab” Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah SWT menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955)

Imam al-Nawawi mengatakan sebab Abu Hurairah RA mengulangi pendirian enggan menjawab soalan yang ditanyakan itu, kerana 40 itu hanyalah sebagai ringkasan kepada pengkhabaran. (Lihat al-Minhaj, 18/91)

Justeru, dalam perkara ghaibiyyat, kita serahkan kepada Yang Maha Mengetahui. Semoga Allah menjumlahkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Nota Hujung:

[1] Beliau ialah Abu Abdillah al-Husain bin al-Hasan al-Hulaimi. Lahir pada 338 H dan meninggal pada 403 H. Beliau merupakan seorang Qadhi, pemimpin ulama’ hadith. Beliau mempelajari Feqah kepada Abu Bakar al-Audani dan al-Qaffal al-Kabir, sehingga menjadi imam besar yang sering dirujuk oleh para penduduk yang tinggal di sekitar Sungai Tigris.

[2] Wahb bin Munabbih ialah salah seorang tokoh besar Tabi’in dan ahli dalam bidang sejarah. Dilahirkan pada 34 Hijrah. Beliau dikatakan berasal dari Arab Selatan dan berketurunan Parsi dengan memiliki pengetahuan yang mendalam tentang kitab suci dan tradisi dari Yahudi dan Nasrani, sehingga memiliki banyak riwayat kisah Israiliyat. Beliau ialah saudara kandung dari Abdullah dan Hamam bin Munabbih. Puteranya bernama Abdullah bin Wahb dan Ibnu Wahb bin Munabbih. Meninggal pada 114 Hijrah.

Leave a Reply