Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum melakukan hibah dengan meletakkan syarat bahawa selepas mati baru dimiliki hibah tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisa’: 4)

Syeikh Muhammad Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/176)

Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Hibah ialah memberi milik sesuatu barang kepada seseorang yang mana barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang, oleh ahli tabarru’ dengan tidak adanya sebarang tukaran atau balasan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 11/396; Fath al-Mu’in, hlm. 84 dan I’anat al-Talibin, 3/142) Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Hibah merupakan satu kontrak perjanjian (akad) bertujuan kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian (‘iwad) ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/115)

Di samping itu, hibah adalah merupakan pemberian sesuatu tanpa gantian, dan ini merupakan maksud umum pemberian. Hadiah pula ialah pemberian sesuatu barang kepada seseorang sebagai satu penghormatan atau kemuliaan. Manakala sedekah ialah pemberian kepada yang memerlukan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ganjaran pahala di akhirat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/120) Oleh iu, dapat dilihat ketiga-tiga perkara tersebut berbeza mengikut niat pemberi.

Hibah merupakan satu pemberian kepada seseorang untuk digunakan manfaatnya kepada penerima. Ia merupakan pemberian sesuatu ain (benda) miliknya kepada orang lain sewaktu hidupnya tanpa mengharap apa-apa pembalasan. Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “Hibah menurut istilah fiqh bermaksud pemberian hak milik kepada seseorang tanpa balasan (iwad) sewaktu hidupnya. Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai makna yang hampir sama.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/175)

Dalam erti kata lain, hibah merupakan pemberian sesuatu kepada orang lain sama ada ia berbentuk harta ataupun bukan tanpa sebarang pertukaran. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik. Pada asasnya hadiah, sedekah dan juga hibah adalah satu jenis yang sama iaitu pemilikan sesuatu benda tanpa sebarang pertukaran. Beza hadiah dengan hibah ialah pada berlakunya perpindahan harta kepada orang yang dihadiahkan. Hibah juga lebih umum daripada hadiah dan juga sedekah. Setiap hadiah dan sedekah adalah hibah dan tidak semestinya setiap hibah itu sedekah ataupun hadiah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/120-121, 253)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Sesiapa yang memberikan (menghibahkan) sesuatu kepada orang lain dengan syarat ia hanya boleh dimanfaatkan selepas kematian pemberi, maka ini adalah pemberian yang bergantung kepada syarat. Tidak sah menggantungkan hibah (pemberian) dengan syarat menurut kebanyakan ulama.

Ibn Qudamah berkata:

 وَلَا يَصِحُّ تَعْلِيقُ الْهِبَةِ بِشَرْطٍ؛ لِأَنَّهَا تَمْلِيكٌ لِمُعَيَّنٍ فِي الْحَيَاةِ، فَلَمْ يَجُزْ تَعْلِيقُهَا عَلَى شَرْطٍ، كَالْبَيْعِ

Maksudnya: “Hibah (pemberian) tidak sah jika digantungkan dengan syarat kerana ia melibatkan pemilikan sesuatu yang tertentu semasa hidup. Oleh itu, menggantung hibah (pemberian) dengan syarat adalah tidak dibenarkan, sepertimana dalam jual beli.” (Lihat al-Mughni, 6/47).

Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa sah untuk menggantung hibah (pemberian) dengan syarat. Namun, jika penerima hibah tidak mengambil hibah tersebut, dan tidak memiliki hak untuk mengurusnya, sehinggalah pemberi hibah itu meninggal dunia, maka hibah itu terbatal dan menjadi sebahagian daripada harta pusaka.

Ibn Qudamah berkata:

وَإِذَا مَاتَ الْوَاهِبُ أَوْ الْمَوْهُوبُ لَهُ قَبْلَ الْقَبْضِ، بَطَلَتْ الْهِبَةُ، سَوَاءٌ كَانَ قَبْلَ الْإِذْنِ فِي الْقَبْضِ أَوْ بَعْدَهُ.

Maksudnya: “Sekiranya pemberi atau penerima hibah meninggal dunia sebelum hibah diterima, maka hibah tersebut akan terbatal, sama ada sebelum atau selepas keizinan diberikan.” (Lihat al-Mughni,6/43; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 39/306; al-Syarh al-Mumti’, 11/72)

Maka hibah itu tidak akan menjadi sah kecuali setelah diterima. Jika seseorang ingin agar hibah (pemberian) itu menjadi sah, dia perlu mengosongkan pemilikan, menyerahkannya kepada penerima, dan membolehkan penerima untuk mengurusnya.”[1]

Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah

Mereka pernah ditanya dengan soalan: “Apakah hukum hibah (pemberian) bahagian masing-masing oleh kedua-dua pasangan suami isteri kepada yang lain selepas kematian? Suami saya, semoga Allah merahmatinya, telah menulis setengah daripada apartmen yang dimilikinya kepada saya, dengan syarat tiada seorang pun daripada kami boleh membuat sebarang urusan terhadap bahagian yang dimiliki tanpa merujuk kepada yang lain. Sekiranya salah seorang daripada kami meninggal dunia, apartmen tersebut akan menjadi milik sepenuhnya kepada yang masih hidup. Apakah hukum ini?”

Lalu mereka menjawab:

 فَإِنَّ هِبَةَ كِلَا الزَّوْجَيْنِ نَصِيبُهُ لِلْآخَرِ وَإِرْجَاءُ تَمَلُّكِهِ إِلَى مَا بَعْدَ الْمَوْتِ تَصَرُّفٌ صَحِيْحٌ شَرْعًا، لَكِنَّهُ يَخْرُجُ مِنْ كَوْنِهِ هِبَةً بَعْدَ مَوْتِ أَحَدِهِمَا وَيَصِيْرُ وَصِيَّةً نَافِذَةً فِي حُدُوْدِ ثُلُثِ التَّرِكَةِ لِلوَارِثِ وَغَيْرِهِ، وَلَا يُشْتَرَطُ فِي ذَلِكَ إِجَازَةُ الْوَرَثَةِ، فَإِنْ زَادَتْ عَلَى الثُّلُثِ لَا تُنَفَّذُ فِي الزِّيَادَةِ إِلَّا إِذَا أَجَازَهَا الْوَرَثَةُ بَعْدَ وَفَاةِ الْمُوْصِي.

Maksudnya: “Sesungguhnya hibah (pemberian) antara pasangan suami isteri dan penangguhan pemilikan sehingga selepas kematian adalah sah dari segi syarak. Namun, ia tidak lagi dianggap sebagai hibah (pemberian) selepas kematian salah seorang daripada mereka dan berubah menjadi wasiat yang sah dalam had satu pertiga daripada harta pusaka kepada waris dan selainnya. Persetujuan waris tidak diperlukan untuk itu. Jika ia melebihi satu pertiga, lebihan tersebut tidak akan dilaksanakan kecuali jika waris bersetuju selepas kematian pemberi wasiat.” (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’, no. 4609)[2]

Berdasarkan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa hibah atau pemberian yang dilakukan dengan meletakkan syarat bahawa selepas meninggal dunia baru hak milik berpindah adalah sah dari sudut syarak. Namun, ia tidak dianggap sebagai hibah, sebaliknya disebut sebagai wasiat yang dilakukan dalam had satu pertiga daripada harta si mati.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota Hujung:

[1] islamqa.info/ar/answers/281972/يريدانيهبلاحدالورثةعقارالكنلاينتفعبهالابعدموتالواهب#:~:text=فلا%20تكون%20الهبة%20لازمة%20إلا,السؤال%20رقم%20%3A%20(114659)%20. Diakses pada 19 Ogos 2024.

[2] Lihat /www.daralifta.org/ar/fatawa/14830/هبةكلاالزوجيننصيبهللاخربعدالوفاة#:~:text=هبة%20كلا%20الزوجين%20نصيبه%20للآخر%20وإرجاء%20تملكه%20إلى%20ما%20بعد,أجازها%20الورثة%20بعد%20وفاة%20المو
ص
ِي. Diakses pada 19 Ogos 2024.

Leave a Reply