Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah apabila pasangan suami isteri ingin melakukan hubungan intim (berjimak), mereka perlu atau mesti/wajib mengeluarkan anak mereka yang masih bayi dari bilik? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (4/84). Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.”
(Surah al-Baqarah: 223)
Ayat di atas bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah tempat kamu bercucuk tanam, melahirkan anak-anak untuk kamu; seperti tanah yang mengeluarkan buah-buahan. Maka datangilah tempat bercucuk tanam itu — iaitu faraj — dari mana-mana arah yang kamu suka dan bagaimana cara pun yang kamu suka asalkan di faraj. Dan sediakanlah untuk diri kamu dengan melakukan kebaikan, termasuklah seorang lelaki menggauli isterinya dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan berharap mendapatkan zuriat yang soleh. Bertakwalah kepada Allah dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, termasuklah apa yang telah disyariatkan kepada kamu mengenai wanita. Ketahuilah bahawa kamu akan menemui-Nya pada hari kiamat, berdiri di hadapan-Nya, dan Dia akan membalas kamu berdasarkan amalan-amalan kamu. Dan berilah berita gembira — wahai Nabi — kepada orang-orang beriman dengan apa yang menggembirakan mereka ketika bertemu Tuhan mereka, iaitu nikmat yang kekal dan melihat wajah-Nya yang mulia. (Lihat al-Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 35).
Seterusnya dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa malu adalah akhlak seorang Muslim yang menjauhkan diri daripada segala perbuatan dan perkataan yang hina, serta menjaga adab dan sifat yang mulia. Ia merupakan sebahagian daripada keimanan, tanda keutamaan dan kebaikan, serta fitrah yang Allah SWT telah ciptakan dalam diri manusia. Hanya mereka yang fitrahnya telah rosak dan imannya telah lemah sahaja yang akan meninggalkannya.
Malu juga mempunyai banyak manifestasi, antaranya ialah menjaga diri ketika berjimak daripada dilihat atau didengar oleh orang lain, terutamanya oleh mereka yang sedar dan memahami apa yang mereka lihat dan dengar. Ini kerana dalam jimak, aurat yang sepatutnya ditutup terdedah. Selain itu, terdapat kebimbangan bahawa ia mungkin membangkitkan nafsu orang yang melihat atau mendengarnya lalu membawa kesan buruk dalam hati mereka, atau menyebabkan mereka menyebarkan apa yang dilihat kepada orang lain, yang akhirnya boleh mendedahkan rahsia rumah tangga yang dibina atas dasar kesopanan, kesucian, dan perasaan malu.
Ibn Hazm menyebutkan dalam al-Muhalla (9/231), menutup diri ketika berjimak adalah wajib, berdasarkan firman Allah ‘Azza wa Jalla:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِيَسْتَأْذِنكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنكُمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ۚ مِّن قَبْلِ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ الظَّهِيرَةِ وَمِن بَعْدِ صَلَاةِ الْعِشَاءِ ۚ ثَلَاثُ عَوْرَاتٍ لَّكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).”
(Surah al-Nur: 58)
Begitu juga Ibn Qudamah turut menyatakan, seseorang tidak boleh berjimak sehingga dilihat oleh orang lain atau sehingga orang lain mendengar bunyi mereka. Dia juga tidak boleh mencium atau mendekati isterinya di hadapan orang lain. Imam Ahmad berkata: “Aku tidak suka kecuali perkara ini disembunyikan sepenuhnya.” (Lihat al-Mughni, 9/228).
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (3/178) disebutkan, kehadiran seseorang yang sudah mumayyiz dan sedang terjaga dalam rumah bersama mereka telah menggugurkan kebolehan untuk mereka tidak menutup aurat ketika berjimak, sama ada orang itu adalah isteri, hamba perempuan, atau sesiapa sahaja, yang dapat melihat atau mendengar bunyi. Inilah pendapat jumhur ulama. Al-Hasan al-Basri pernah ditanya tentang seorang lelaki yang memiliki dua isteri dalam satu rumah. Beliau menjawab: “Mereka tidak menyukai — maksudnya: mengharamkan, sebagaimana istilah para salaf — seorang lelaki menyetubuhi salah seorang isterinya sementara isterinya yang lain melihat atau mendengar?”
Begitu juga adanya/hadirnya seseorang yang sedang tidur juga menggugurkan kebolehan untuk tidak menutup aurat, sebagaimana yang dinaskan berkenaan hal itu oleh ulama Malikiyyah, seperti yang disebutkan oleh al-Rahuni dalam Hasyiah ‘ala Syarh al-Zarqani li Matn Khalil bahawa tidak dibenarkan seorang lelaki menyetubuhi isterinya atau hambanya sementara ada seseorang bersama mereka di dalam rumah (yakni di dalam bilik yang sama) yang terjaga atau tidur, kerana orang yang sedang tidur mungkin terjaga dan melihat mereka dalam keadaan tersebut.
Menurut majoriti ulama Maliki, adanya/hadirnya anak kecil yang belum mumayyiz menggugurkan kebolehan untuk tidak menutup aurat, sebagai mengikuti amalan/perbuatan Abdullah bin Umar R.Anhuma yang mengeluarkan anak kecil dalam buaian ketika ingin berjimak — dengan isterinya. Namun, majoriti ulama — termasuk sebahagian ulama mazhab Maliki — berpendapat bahawa kehadiran anak kecil yang belum mumayyiz tidak menggugurkan kebolehan untuk tidak menutup aurat, kerana ia menimbulkan kepayahan dan kesusahan.
Apabila al-Hajjawi, pengarang Zad al-Mustaqni‘ berkata: “(Makruh) melakukan hubungan intim di hadapan orang lain.” Kemudian, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengulas kenyataan ini dengan menyatakan, ini adalah perkara yang paling aneh /ganjil apabila hanya dikatakan makruh (dibenci). Perkara ini melibatkan dua keadaan:
Pertama, jika keadaan tersebut di mana aurat kedua-duanya dilihat: Maka tiada keraguan bahawa mengatakannya sebagai makruh adalah salah/tersilap kerana wajib untuk menutup aurat. Jika aurat mereka dilihat oleh orang lain, maka tidak syak lagi hukumnya adalah haram, dan kenyataan pengarang (al-Hajjawi) adalah tidak benar sama sekali.
Kedua, jika keadaan di mana aurat mereka tidak dilihat. Maka mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh juga perlu dipertimbangkan. Sebagai contoh, jika mereka berdua berselimut dan melakukan hubungan intim tetapi gerakan mereka terlihat, maka sebenarnya tidak syak lagi bahawa ia lebih mendekati kepada pengharaman; kerana ia tidak sesuai untuk seorang Muslim merendahkan dirinya ke keadaan seperti ini. Selain itu, ia mungkin akan membangkitkan syahwat orang yang melihatnya, lalu menyebabkan terhasilnya mafsadah atau kemudharatan dengan perkara tersebut.
Pandangan yang tepat dalam hal ini adalah haram untuk menggauli isteri di hadapan orang lain, kecuali jika yang melihat adalah anak kecil yang tidak memahami apa yang sedang berlaku, maka tidak menjadi masalah. Namun, jika anak kecil tersebut dapat memahami apa yang berlaku, maka tidak boleh juga menggauli isteri di hadapannya, walaupun dia seorang kanak-kanak; kerana kanak-kanak mungkin menceritakan apa yang dilihatnya tanpa niat.
Walau bagaimanapun, seorang bayi yang masih dalam buaian, contohnya, yang berusia beberapa bulan, tidak mengapa; kerana dia tidak menyedari perkara itu dan tidak dapat membayangkannya. Namun, jika kanak-kanak itu berusia tiga atau empat tahun, maka tidak sepatutnya seseorang melakukan hubungan intim suami isteri di hadapannya; kerana kanak-kanak itu mungkin akan menceritakan apa yang dilihat pada waktu pagi — atau keesokan harinya. Oleh itu, adalah tidak disukai/dibenci untuk melakukan hubungan intim suami isteri di hadapan seorang kanak-kanak, meskipun kanak-kanak itu belum lagi mumayyiz, tetapi dia sudah mampu memahami dan mengingati apa yang dilihat. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 12/417-418)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa jika pasangan suami isteri itu melakukan hubungan intim dalam bilik yang sama adanya bayi mereka yang masih menyusu yang belum dapat memahami atau menyedari perkara itu. Ini kerana kehadirannya dalam bilik itu adalah seperti ketiadaannya. Lebih-lebih lagi dalam situasi di mana terdapat kesukaran atau masyaqqah bagi melakukan hal tersebut kerana mungkin akan membahayakannya jika dibiarkan bersendirian di luar bilik atau di bilik lain tanpa sebarang pengawasan. Sekalipun begitu, jika tiada sebarang masalah kami berpandangan mengeluarkan bayi itu dari bilik yang sama ketika ingin melakukan hubungan intim suami isteri adalah lebih baik sebagai usaha untuk menjaga kesopanan dan perasaan malu.
Akan tetapi jika kanak-kanak itu sudah berusia tiga atau empat tahun atau lebih, maka kami berpendapat tidak dibolehkan dan sebaiknya dihindari daripada melakukan hubungan intim suami isteri dalam bilik yang sama dengan mereka. Inilah yang sebaik-baiknya. Ini kerana kanak-kanak itu mungkin akan menceritakan apa yang dilihat atau apa yang didengar, meskipun kanak-kanak itu belum lagi mumayyiz, tetapi dia sudah mampu memahami dan mengingati apa yang dilihat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”