Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Jika seseorang itu sering ke kedai gunting rambut yang pemiliknya orang bukan Islam, lalu setelah beberapa kali pergi, dia baru mendapati pekerja di situ menggunakan sikat bulu babi. Adakah dia perlu menyertu keseluruhan kepalanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami cuba untuk rungkaikan kemusykilan di atas dengan membawakan firman Allah SWT dalam al-Quran al-Karim:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَیۡكُمُ ٱلۡمَیۡتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحۡمَ ٱلۡخِنزِیرِ وَمَاۤ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَیۡرِ ٱللَّهِۖ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَیۡرَ بَاغࣲ وَلَا عَادࣲ فَلَاۤ إِثۡمَ عَلَیۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang diharamkan kepada kalian hanyalah bangkai, darah yang banyak, daging babi dan segala sembelihan yang disembelih kerana selain Allah; namun sesiapa yang berada dalam keadaan darurat, dan tidak melampau  dan tidak berniat jahat maka tidak ada dosa ke atasnya (makan benda-benda tersebut); sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Menurut al-Hafiz Ibn Kathir al-Dimasyqi al-Syafi‘i ketika beliau menjelaskan ayat al-Quran yang mirip konteksnya seperti di atas, yang dimaksudkan dengan daging babi tersebut adalah secara umum (aghlabiyyah), bahkan ia juga termasuk kesemua anggota babi termasuklah lemaknya sekalipun. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/36)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Selain itu, dalam sebuah hadith Nabi SAW, daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ الله وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ الله، أَرَأَيْتَ شُحُومَ الْمَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ، فَقَالَ: لَا هُوَ حَرَامٌ، ثُمَّ قَالَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ الله الْيَهُودَ إِنَّ الله لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا، جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT dan rasul-Nya telah mengharamkan jual-beli arak, bangkai, khinzir dan patung berhala. Lalu ditanya kepada Rasulullah SAW, “Adakah kamu tahu bahawa lemak daripada bangkai haiwan tersebut, sedangkan ia digunakan untuk mengecat kapal-kapal dan kulit binatang serta digunakan oleh manusia. Maka Rasulullah SAW menjawab, “Bahkan, ia tetap haram.” Kemudian, Rasulullah SAW bersabda pada ketika tersebut, “Semoga Allah SWT menghancurkan golongan Yahudi. Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan lemak haiwan tersebut, namun mereka memperelokkannya dan menjualnya serta mengambil keuntungan daripadanya!”

Riwayat al-Bukhari (2082) dan Muslim (2960)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata mensyarahkan hadith di atas: “Jumhur (majoriti) ulama menyatakan, sebab (‘illah) timbulnya larangan menjual bangkai, khamar dan babi adalah kerana keberadaannya yang najis. Akan tetapi, pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki menyatakan bahawa babi adalah suci.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 12/425)

Apabila babi itu najis, maka demikian juga bulunya. Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, dinyatakan:

ذَهَبَ الْجُمْهُورُ إِلَى نَجَاسَةِ شَعْرِ الْخِنْزِيرِ فَلاَ يَجُوزُ اسْتِعْمَالُهُ لأَنَّهُ اسْتِعْمَالٌ لِلْعَيْنِ النَّجِسَةِ

Maksudnya: “Jumhur ulama’ menyatakan najisnya bulu babi. Maka tidak boleh memakainya kerana najis ‘ainiyyah.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 20/35)

Ini juga merupakan pendirian muktamad mazhab al-Syafi‘i. Imam ‘Abd al-Hamid al-Syirwani al-Syafi‘i berkata: “Isu pengharaman penggunaan kulit anjing dan kulit babi serta bulu kedua-dua haiwan ini tanpa sebarang keperluan mendesak (darurat); melazimkan pengharaman yang yang kebiasaan masyarakat kita guna sebagai al-syitah kerana ia diperbuat daripada bulu babi.” (Lihat Hasyiah al-Syirwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/31)

Muktamad mazhab Hanafi juga menegaskan sedemikian berdasarkan riwayat paling kuat di dalam mazhab mereka. Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi berkata: “Menurut Imam Abu Yusuf, yang merupakan riwayat yang kuat dalam mazhab Hanafi, bulu babi dianggap kotor dan tidak suci. Inilah yang dipilih oleh al-Kasani dalam kitab al-Bada’i‘ dan al-Mausili dalam kitab al-Ikhtiyar. Justeru, jika seseorang solat dengan bulu babi lebih daripada satu dirham, maka solatnya dianggap tidak sah.” (Lihat Radd al-Muhtar Syarh al-Durr al-Mukhtar, 1/206).

Mazhab Maliki: Bulu Babi Tidak Najis

Seperti yang dinyatakan di atas, bahawa terdapat pendapat yang menyatakan bahawa bulu babi tidak najis sama ada ketika masih hidup atau pun setelah ia mati, kerana bulu tidak mempunyai sebarang unsur kehidupan. Ini merupakan pendapat muktamad mazhab Maliki.

Termaktub di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah:

وَذَهَبَ الْمَالِكِيَّةُ إِلَى طَهَارَةِ شَعْرِ الْخِنْزِيرِ

Maksudnya: “Mazhab Malik menyatakan bahawa bulu babi itu adalah suci.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 20/35)

Begitu juga Imam ‘Ali bin Ahmad al-‘Adawi al-Maliki menegaskan bahawa: “Qaul muktamad mazhab Maliki menegaskan status kesucian segenap bulu, termasuklah bulu babi.” (Lihat Hasyiah al-‘Adawi  ‘ala Syarh al-Khurasyi, 1/154)

Imam Muhammad bin Yusuf al-Mawwaq al-Maliki menjelaskan: “Semua bulu yang dicabut adalah suci, termasuklah bulu babi di sisi pendapat (qaul) Imam Malik dan Imam Ibn al-Qasim al-Lakhmi.” (Lihat al-Taj wa al-Iklil li Mukhtasar Khalil, 1/126)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan pendapat para ulama dan perbezaan para fuqaha yang kami bentangkan di atas, kami berpendapat saudara yang bertanya tidak perlu menyertu kepala dengan tujuh kali basuhan sebagaimana menyucikan najis mughallazah. Akan tetapi cukuplah dengan hanya membasuhnya dengan air sahaja sebagaimana cara basuhan najis mutawassitah dengan dihilangkan ain, rasa, bau dan warna najis, dengan bertaqlid kepada pendapat qadim dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Nawawi serta ulama yang berpendapat sedemikian.

Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang rajih (kuat) dari sudut dalil ialah jilatan babi cukup dengan sekali basuhan tanpa tanah. Inilah pendapat majoriti ulama yang berpendapat dengan kenajisan babi. Inilah pendapat yang dipilih kerana hukum asalnya adalah tiada kewajipan — untuk membasuhnya sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah — sehinggalah datangnya dalil syar‘i yang menyebutkannya. Lebih-lebih lagi perkara ini dibina di atas dasar ta‘abbudi. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/586).

Perbahasan lanjut berkenaan hal cara menyucikan kenajisan babi bolehlah merujuk artikel kami yang bertaju: #852 Khilaf Ulama Berkenaan Cara Membersihkan Jilatan Babi.[1]

Ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya:Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”

Lebih-lebih lagi, ini bertepatan dengan konsep agama Islam itu sendiri yang meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Dalam masa yang sama, anda diwajibkan untuk mencari kedai gunting rambut yang lebih terjamin kesucian dan status halal bahan-bahan yang digunakan sepanjang perkhidmatan tersebut. Pergilah ke kedai-kedai gunting rambut yang diusahakan oleh tukang gunting beragama Islam atau yang diyakini tidak menggunakan sebarang bahan berunsur babi. Segala juzuk tubuh haiwan tersebut najis di di sisi majoriti ulama.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/852-khilaf-ulama-berkenaan-cara-membersihkan-jilatan-babi/ Diakses pada 19 Ogos 2024.

Leave a Reply