Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ketika melihat mereka yang terkena musibah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

(Surah al-Taubah: 51)

Ibn Kathir berkata: kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)

Begitu juga firman Allah SWT:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ

Maksudnya: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).”

(Surah al-Taghabun: 11)

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan kalam Abu al-Darda’ berkenaan ayat di atas, katanya: “Sesungguhnya Allah SWT apabila mentakdirkan suatu ketentuan, dia suka apabila ketentuan-Nya itu diredhai (oleh hamba-hambanya).” (Lihat Rawai‘ al-Tafsir, 2/477)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa  sebagai seorang muslim hendaklah bersimpati terhadap musibah yang menimpa seseorang. Islam mengajar umatnya apabila melihat mereka yang ditimpa musibah hendaklah dia mengucapkan:

الحَمْدُ لله الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلاَكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلَى كثير مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلاً؛ عُوفِيَ مِنْ ذَلِكَ البَلاَءِ كَائِنًا مَا كَانَ مَا عَاشَ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku daripada apa yang telah menimpamu dan yang telah mengutamakan aku berbanding ramai daripada makhluk-Nya dengan keutamaan yang sempurna. Maka  dia akan diselamatkan daripada bala tersebut, tidak kira apa pun, sepanjang hidupnya.”

Riwayat Ibn Majah (3154) dan Riwayat al-Bazzar (5838) al-Albani menliai hadith ini sebagai dhaif dalam Dhaif al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatihi (hlm.305)

Dinyatakan dalam Fath al-Qarib al-Mujib  ‘Ala al-Targhib wa al-Tarhib (13/334) bahawa: Disunatkan bagi sesiapa yang melihat orang yang ditimpa bala, sama ada bala tersebut mengenai tubuh badan atau agama, untuk memuji Allah atas kesejahteraannya dan mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku daripada apa yang telah menimpamu,…”. Dianjurkan juga untuk sujud sebagai tanda syukur kepada Allah atas keselamatan tubuh badannya. Begitu juga, jika dia melihat seseorang yang diuji dalam agamanya, disunatkan untuk mengucapkan demikian dan sujud sebagai tanda syukur kepada Allah atas keselamatan agamanya.

Justeru, hadith ini mengajar kita untuk sentiasa bersyukur kepada Allah SWT atas kesihatan dan keselamatan yang dikurniakan kepada kita. Dengan bersyukur, kita mengakui bahawa segala nikmat yang kita miliki adalah anugerah daripada Allah dan bukannya hasil usaha kita semata-mata. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa pentingnya memohon perlindungan daripada Allah SWT agar kita terhindar daripada sebarang musibah yang buruk.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Wallahu‘Alam

Leave a Reply