Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah orang dalam keadaan berhadas masuk ke dalam masjid dan duduk di dalamnya sementara menunggu masuknya waktu solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
Maksudnya: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”
Surah al-Nur: 36
Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/62).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa jika hadas yang dimaksudkan itu adalah merujuk kepada hadas besar, maka tidak dibolehkan bagi orang yang sedang dalam keadaan berjunub untuk berada di dalam masjid. Adapun kalau sekadar melewatinya sahaja, maka tidak mengapa. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”
(Surah al-Nisa’: 43)
Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Syafi‘i menyatakan bahawa seseorang yang dalam keadaan berjunub, dia tidak boleh untuk duduk di dalam masjid dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/168).
Begitu juga dengan hadith Nabi SAW yang lain:
إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya masjid tidak halal untuk dimasuki oleh orang yang berjunub dan wanita yang sedang dalam keadaan haid.”
Riwayat Abu Daud (232) dan Ibn Majah (645)[1]
Syeikh Muhammad al-Amin bin Abdullah al-’Alawi menyebut: Sabda Baginda, ‘إِنَّ الْمَسْجِدَ’ iaitu jenis yang diwakafkan tidak halal serta tidak harus bagi orang yang berjunub memasukinya sama ada dengan sebab bersetubuh atau mimpi sebagai contoh, dan tidak halal juga bagi orang yang haid memasukinya serta orang yang nifas. (Lihat Syarh Sunan Ibn Majah, 4/528).
Adapun jika yang dimaksudkan itu adalah merujuk kepada orang yang berhadas kecil, maka tidak ada masalah baginya untuk memasuki masjid dan duduk di dalamnya. Akan tetapi tidak sah solat bagi orang yang berhadas, sama ada hadasnya besar atau kecil kerana solat dalam keadaan tanpa bersuci adalah tidak sah.
Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa diharuskan/dibolehkan bagi orang yang berhadas untuk duduk di dalam masjid berdasarkan ijma‘ kaum Muslimin, sama ada dia duduk itu untuk tujuan syar‘i seperti menunggu solat, beriktikaf atau mendengar bacaan al-Quran, ilmu lain, atau nasihat, atau duduk tanpa sebarang tujuan tertentu, dan tidak makruh dalam hal tersebut. Walau bagaimanapun, al-Mutawalli berpendapat bahawa jika seseorang itu duduk tanpa tujuan, ia adalah dimakruhkan. Akan tetapi menurut Imam al-Nawawi, beliau menyatakan bahawasanya beliau tidak mengetahui ada sesiapa yang bersetuju dengannya mengenai kemakruhan ini, dan tidak ada yang menukilkan/melaporkan riwayat bahawa Nabi Muhammad SAW dan para sahabat R.Anhum tidak menyukai/membenci atau melarang hal tersebut. Jadi, hukum asalnya adalah tidak makruh sehingga terdapatnya larangan yang sabit — berkenaan hal itu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/173).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan tidak menjadi masalah bagi orang yang sedang dalam hadas kecil untuk memasuki masjid dan duduk di dalamnya, sama ada duduknya itu untuk tujuan syar‘i seperti menunggu solat, beriktikaf atau mendengar bacaan al-Quran, ilmu lain, atau nasihat, atau duduk tanpa sebarang tujuan tertentu, dan tidak makruh dalam hal tersebut .Manakala bagi orang yang sedang berhadas besar pula, tidak dibolehkan bagi mereka untuk memasuki masjid sehinggalah mereka suci daripada hadas tersebut.
Namun, kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan, jika tiada sebarang masalah, sebaiknya berwuduklah terlebih dahulu sebelum memasuki masjid kerana terdapat banyak fadhilat bagi mereka yang sentiasa berada dalam keadaan suci. Apatah lagi dengan berada dalam keadaan suci ketika memasuki masjid, dia dapat menunaikan tahiyyatul masjid terlebih dahulu sebelum dia duduk. Dalam erti kata lain, jika dia berada dalam keadaan berwuduk, dia hendaklah solat dua rakaat terlebih dahulu, kemudian barulah dia duduk dan melakukan aktiviti yang diinginkan atau tujuan dia memasuki masjid.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
Nota Hujung:
[1] Meskipun hadith ini tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama, namun Imam al-Syaukani telah membahaskan secara panjang lebar dan menegaskan bahawa hadith ini menjadi kuat kerana disokong oleh banyak faktor penguat (syawahid). (Lihat Nail al-Autar, 1/288).