Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah orang sakit solat yang mana beg kencing masih bersambung di badan pesakit (masih berhadas kecil).
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Tiub Kencing
Tiub/ Kateter kencing atau bahasa perubatan moden disebut sebagai “CBD” (Continuous Bladder Drainage) merupakan tiub khas yang telah disuci hama untuk dimasukkan ke dalam pundi kencing bagi mengeluarkan air kencing dari pundi. Ini mungkin dilakukan kerana beberapa sebab seperti pesakit mempunyai kudis tekanan, masalah kesukaran kencing atau pengawalan kencing, jangkitan sistem perkumuhan, koma dan sebagainya.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Maidah: 6)
Ibnu Munzir Rahimahullah berkata, “Telah ijmak para ulama bahawa keluar najis dari dubur, keluar air kencing dari zakar dan begitu juga wanita, keluar mani, keluar angin dari dubur (kentut), hilangnya akal dengan apa cara sekali pun termasuk dalam hadas semuanya itu memerlukan taharah dan mewajibkan wudhuk.” (Lihat al-Ijma’, hlm. 29)
Syariat Islam itu juga bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pada asalnya apabila seseorang itu hendak mengerjakan solat, dia perlu dalam keadaan suci. Namun, dalam isu ini, ia diberi kelonggaran (rukhsah) disebabkan faktor darurat yakni penyakit yang dialami. Menukar tiub kencing setiap kali hendak solat akan menyukarkannya untuk solat dan orang yang menguruskannya. Ini disebabkan pemasangan tiub kencing tidak semudah yang disangka, kerana ada prosedur yang perlu diikut bagi memastikan ia tidak ada jangkitan kepada kemaluan pesakit. Namun, kami syorkan sekiranya beg kencing itu mempunyai air kencing yang banyak, maka sebaiknya ia dibuang terlebih dahulu sebelum mengerjakan solat.
Sekali lagi kami katakan, dalam isu seperti ini, rujuklah kepada para ulama untuk mendapatkan pandangan dan hukum yang sentiasa dibimbing dan ditunjuk ajar. Benarlah firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan Musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Nahl: 43)
Umum ayat ini mengandungi puji-pujian buat para ilmuan, dan bidang ilmu yang paling tinggi kedudukannya adalah ilmu berkenaan Kitabullah. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan mereka yang tidak tahu agar merujuk kepada ilmuan pada apa jua isu yang dihadapi, dan dengan bertanya itu dapat melepaskan seorang jahil dari memikul tanggungjawab. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 441)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadah, disembuhkan dari penyakit dan kami akhiri dengan doa :
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam.