Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Berapakah jumlah tiupan sangkakala mengikut pendapat yang sahih?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, kejadian tiupan sangkakala ini berlaku sebanyak dua peringkat mengikut pendapat kebanyakan ulama’. Namun, terdapat juga pendapat yang menyebut bahawa tiupan tersebut sebanyak tiga kali. Kami nukilkan pendapat ulama’ berkenaan jumlah tiupan seperti berikut:
Pertama: Tiupan sangkakala sebanyak dua kali
Tiupan sangkakala akan menggegarkan hingga mematikan seluruh makhluk melainkan yang termaktub dalam kalangan mereka yang terkecuali. Kemudian, sesuai dengan kehendak Yang Maha Esa, ditiupkan sekali lagi oleh Malaikat Israfil dengan tiupan yang membangkitkan manusia. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT di dalam kitabnya:
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ
Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
Surah al-Zumar (68)
Kedua: Tiupan sangkakala sebanyak tiga kali. Antara yang berpendapat seperti ini ialah Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-‘Arabi, Ibn Taimiyyah dan Ibn Kathir. Mereka berhujah dengan nas:
وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikekhendaki Allah.”
Surah al-Naml (87)
Ibn Kathir berkata: Tiupan sangkakala berjumlah tiga kali.
Pertama, tiupan yang menyebabkan keterkejutan (nafkhat al-faza’) sebagaimana disebut dalam ayat ini. Sesiapa sahaja yang mendengarnya pasti terus merasa kaget dan merasa takut.
Kedua, tiupan yang menyebabkan meninggal (nafkhat al-sa’iq). Iaitu tiupan yang ketika setiap manusia mendengarnya, dia akan meninggal seketika itu juga.
Ketiga, tiupan kebangkitan (nafkhat al-ba’ath), iaitu yang menjadikan semua orang di dalam kubur bangkit, lalu digiring menuju kepada Allah SWT untuk menjalani hisab. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/158)
Begitu juga ayat:
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ
Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
(Surah al-Zumar: 68)
Dua ayat di atas menunjukkan tiga tiupan, iaitu:
- Tiupan al-faza’ (keterkejutan)
- Tiupan al-sa’iq (kematian)
- Tiupan al-ba’th (kebangkitan)
Akan tetapi, hadis-hadis menunjukkan secara nyata bahawa ia dikira dengan dua tiupan sahaja iaitu tiupan al-Sa’iq (tiupan mematikan) dan keduanya tiupan al-Ba’th (tiupan membangkitkan manusia) daripada kubur. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 80)
Pendapat tentang dua tiupan adalah paling kuat dan mereka yang menyatakan tiga tiupan sebenarnya antara pertama dan kedua, dikira sekali tiupan. Inilah pendapat al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”