Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bolehkah seseorang itu solat dalam keadaan gelap gelita? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan ibadah terpenting dalam kehidupan seharian umat Islam. Kerana ini juga para ulama’ berselisih pendapat tentang status keislaman seseorang yang dengan sengaja meninggalkan ibadah solat dalam keadaan dia mengetahui bahawa Allah SWT telah mewajibkannya pada 5 waktu setiap hari.

Dalam menjelaskan kepentingan ibadah solat, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa solat ini adalah salah satu rukun utama yang terbina di atasnya Islam. Dalam satu riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:  “Islam dibina di atas lima iaitu kalimah bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadhan.”

Riwayat Muslim (16)

Apabila seseorang menunaikan solat dengan sempurna maka Allah SWT akan memberikannya ketenangan jiwa. Hal ini kerana, tujuan ibadat solat dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Selain itu, ia juga dapat memperkasakan ummah kita untuk terus mencapai kejayaan dan kegemilangan di dunia mahupun akhirat.

Allah SWT telah menjelaskan bahawa solat itu dapat mencegah pelakunya daripada perkara yang jelek dan mungkar. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ

Maksudnya: “Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar.”

(Surah al-‘Ankabut: 45)

Imam al-Qurtubi berkata: Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW: “Tidakkah kamu melihat sekiranya sebuah sungai yang berada berhampiran kamu, lalu kamu mandi di dalamnya sebanyak lima kali pada setiap hari, adakah tersisa kekotoran pada diri kamu, mereka berkata: tidak akan tersisa, lalu Nabi SAW menjawab: “Begitulah perumpamaan solat lima waktu yang menghapuskan segala dosa manusia dengannya”. Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A dan dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan beliau menyatakan hadith ini hasan sahih. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/347)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang mengerjakan solat dalam keadaan gelap gelita selagi mana dia mengetahui arah kiblat. Solat dikira sah apabila dilaksanakan dengan syarat-syarat, rukun-rukun, dan kewajipan-kewajipannya. Cahaya bukanlah syarat, rukun, atau kewajipan. Namun, jika kegelapan menjadi sumber ketakutan yang mengganggu konsentrasi dan kekhusyukan solat, maka solat dalam keadaan tersebut adalah makruh.

Syeikh ibn Baz dalam isu ini menyatakan: Tidak mengapa untuk solat dalam kegelapan jika seseorang tahu arah kiblat dan telah menghadap ke arah kiblat. Tidak ada keperluan untuk adanya cahaya, dan ia tidak diwajibkan. Oleh itu, solat boleh dilakukan sama ada dalam cahaya atau dalam kegelapan, selagi kiblat diketahui. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 7/370)

Begitu juga dinyatakan dalam al-Masalik fi Syarh Muwatta’ Malik (2/485) bahawa: solat dalam kegelapan (malam) adalah suatu yang diperintahkan, agar ia menjadi cahaya baginya pada hari kiamat kelak. Ia disandarkan berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

أَطْفِئُوا المَصَابِيحَ

Maksudnya: “Padamkan segala pelita (lampu)”

Riwayat al-Bukhari (5624)

Justeru, kami katakan solat dalam keadaan gelap gelita adalah dibolehkan selagimana diketahui arah kiblat dan rukun-rukun solat dilakukan dengan sempurna. Yang demikian kerana cahaya bukanlah termasuk dalam perkara yang disyaratkan ketika solat.   Bahkan menurut sebahagian orang, solat dalam keadaan gelap lebih mendatangkan khusyuk berbanding solat dalam keadaan terang benderang.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ رَبَّنَا تَـقَـبَّلْ مِنَّا صَلاَتَنَا وَصِيَامَنَا وَرُكُوْعَنَا وَسُجُوْدَنَا وَقُعُوْدَنَا وَتَضَرُّعَنَا وَتَخَشُّعَنَا وَتَعَبُّدَنَا وَتَمِّمْ تَقْصِيْرَنَا يَا اَلله يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, terimalah solat kami, puasa kami, rukuk kami, sujud kami, duduk kami, kerendahan diri kami, kekhusyukan kami, pengabdian kami, dan sempurnakanlah apa yang kami lakukan selama kami menunaikan solat Ya Allah, Tuhan sekalian alam.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply