Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh definisikan kepada kami, Fiqh Ma’alat dan adakah wujud untuk dilaksanakannya berdasarkan nas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebuah kaedah yang masyhur menyebut:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالْأَسْبَابِ، مُرْتَبِطَةٌ بِالْمَصَالِحِ.

Maksudnya: “Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.” (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 624)

Ertinya, tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ianya sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu. (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 32)

Fiqh Ma’alat memberi maksud pertimbangan yang dibuat oleh mujtahid atau mufti dalam penentuan hukum berdasarkan akibat dan implikasi yang mungkin dan akan berlaku secara yakin atau ghalabatu al-zhan (berat sangkaan). Hal ini perlu dikaji dengan sebaik mungkin agar hukum tersebut benar-benar diperolehi dalam mendapatkan maslahat serta menolak mudarat atau mafsadah.

Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi berkata:

Perbuatan-perbuatan hamba Allah antaranya, jihad tidak terkecuali daripada fiqh ma’alat (implikasi), sad al-zarai’ (سَدُّ الذَّرَائِعِ) mahupun fath al-zarai’ (فَتْحُ الذَّرَائِعِ). Al-Syatibi dalam al-Muwafaqat, (5/177)  berkata: “Meneliti kepada implikasi-implikasi perbuatan adalah diambil kira dan objektif di sisi syarak, sama ada perbuatan itu menepati atau menyalahinya. Justeru, seorang mujtahid tidak akan menghukum suatu perbuatan mukallaf itu diterima atau ditolak melainkan setelah meneliti implikasinya,” iaitu daripada sudut maslahat dan mafsadahnya. Hal ini disebutkan di dalam firman-Nya:

 وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas kerana tiada pengetahuan (mengenai Allah)…”

(Surah al-An’am: 108)

Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maknanya adalah: janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Beliau menukilkan sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka. (Lihat Safwah al-Tafasir, hlm. 380)

la juga turut disebutkan dalam hadis daripada Aisyah R.Anha, dia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 لَوْلاَ أَنَّ قَوْمَكِ حَدِيثُو عَهْدٍ بِشِرْكٍ لَهَدَمْتُ الْكَعْبَةَ فَأَلْزَقْتُهَا بِالأَرْضِ

Maksudnya: “Kalau bukan kerana kaummu baru sahaja memeluk Islam, nescaya sudah pasti akan ku robohkan Kaabah dan merebahkannya ke bumi.”

Riwayat al-Bukhari (1586) dan Muslim (1333)

Katanya lagi, Rasulullah bersabda SAW:

 لَوْلاَ أَنَّ قَوْمَكِ حَدِيثُو عَهْدٍ بِجَاهِلِيَّةٍ – أَوْ قَالَ بِكُفْرٍ – لأَنْفَقْتُ كَنْزَ الْكَعْبَةِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَجَعَلْتُ بَابَهَا بِالأَرْضِ وَلأَدْخَلْتُ فِيهَا مِنَ الْحِجْرِ ‏

Maksudnya: “Jikalau bukan kerana kaummu baru sahaja meninggalkan jahiliyah, nescaya akan ku infakkan khazanah Kaabah pada jalan Allah, menumbangkan pintunya ke bumi dan memasukkan hijir ke dalamnya.”

Riwayat Muslim (1333) dan Malik (104)

Pada sudut yang lain pula, Rasulullah SAW tidak pernah membunuh sebilangan besar figura-figura munafik yang terlibat dalam penyebaran fitnah dan kerosakan kerana bimbang akan berlakunya kempen sosial (information campaign) seperti yang disebutkan oleh Ibn al-Qayyim, “Dahulu Nabi SAW menahan daripada membunuh golongan munafik supaya tindakan tersebut tidak akan menjadi satu wasilah yang menyebabkan masyarakat menjauhkan diri daripada Baginda dan untuk mengelakkan orang ramai berkata, “Sesungguhnya Muhammad telah membunuh para sahabatnya.” Mesej ini akan menyebabkan orang ramai menjauhkan diri daripada Islam, sama ada penganutnya mahupun tidak. Mafsadah natijah ini lebih besar berbanding membiarkan golongan munafik ini. Maslahat kesatuan umat itu lebih utama berbanding maslahat membunuh para munafik. ” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 3/138)

Betapa indahnya kalam ini dalam menjelaskan betapa kritikalnya penjauhan menjadikan seluruh umat Islam, terutama sekali golongan pemuda, untuk melihat kepada impak perbuatan mereka serta kesan-kesan sampingan berpunca daripadanya seperti kempen-kempen fitnah, menakut-nakutkan dan penyelewengan. (Lihat Kerahmatan dalam Islam dan Fenomenan Terrorisme, hlm. 329-330)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Leave a Reply