Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seorang isteri bila bergaduh dengan suami, menyumpah seranah suami dengan bahasa kesat dan dalam text message pun sama, contoh; “pergi mampuslahmu babi. Aku benci tengok muka mu babi”, tetapi selepas redha semula, isteri sudah lupa apa yang dia cakap. Sedangkan si suami hanya berlinangan air mata sedih dengan sikap isterinya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan gaulilah mereka (isteri-isteri kalian) dengan makruf (kebaikan).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam Ibn al-Rif‘ah menukilkan bahawa Imam al-Syafi‘i menafsirkan ayat ini dengan mengatakan: “Bergaul dengan makruf (baik) antara pasangan suami isteri adalah saling menahan diri daripada melakukan perkara yang dibenci oleh kedua-dua pihak, memenuhi tuntutan asasi dan fitrah serta keperluan masing-masing, tanpa menzahirkan sebarang rasa benci atau enggan dalam melaksanakannya. Hal ini kerana sikap demikian itu merupakan suatu penundaan terhadap hak, dan penundaan perlaksanaan hak adalah suatu kezaliman.” (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 13/330)

Sepertimana suami wajib menggauli isteri dengan baik, maka isteri juga wajib melayan suami dengan penuh baik, penghormatan dan kesantunan.

Petanda Nusyuz

Hukum isteri suka bercakap kasar dengan suami dan suka bermasam muka dengan suami ketika suami menegurnya adalah haram dan berdosa. Perbuatan buruk ini bakal mendedahkan si isteri berhampiran ke dalam kesalahan nusyuz. Meskipun ia bukanlah nusyuz namun ia merupakan petanda-petanda nusyuz.

Nusyuz berasal daripada kalimat nasyaza (نَشَزَ) yang bermaksud terangkat, kata seertinya juga adalah nasyasa (نَشَصَ) yang bermaksud: setiap sesuatu yang tinggi dan terangkat daripada tanah; dalam konteks rumahtangga, nusyuz ialah keadaan si isteri mengangkat tanggungjawab mentaati suami daripada dirinya atau menghalang dirinya daripada memenuhi hak suami.

Syeikh Muhammad Nawawi Jawi berkata: “Nusyuz itu bermakna seorang isteri menghalang dirinya daripada melaksanakan kewajiban dirinya terhadap suaminya, iaitu tidak memenuhi hak-hak suami; seperti mentaatinya, bergaul bersama suami dengan baik, menyerahkan dirinya kepada suami, melazimi rumah suaminya dan lain-lain perkara yang semisal dengannya.” (Lihat Qut al-Habib al-Gharib Tausyih ‘ala Fath al-Qarib, hal. 328)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan memaki hamun suami adalah haram dan berdosa. Hal ini termasuk dalam perkara nusyuz bagi seorang isteri terhadap suaminya.

Oleh itu, sebaiknya perkara ini perlu adanya perbincangan secara hati ke hati antara suami isteri kerana perkahwinan itu hakikatnya tidaklah setiap waktu indah dan ada waktunya akan bergelora. Akan tetapi, solusinya itu bergantung dengan cara kita menguruskannya sama ada berbaik dan saling melengkapi atau berakhir dengan penceraian.

Dalam pada itu, sebagai suami, kita perlu fahami bahawa perempuan itu hakikatnya mempunyai emosi yang lebih berbanding lelaki. Oleh sebab itu, sebagai seorang suami, kita perlu pandai dalam menasihatinya, tidaklah terlalu lembut dan tidaklah terlalu keras kerana hidup berpasangan ini memerlukan tolak ansur dan saling melengkapi.

Nasihat kami sebaiknya perkara ini perlu dibawa dibincang secara baik sesama suami isteri seperti berbincang/meluahkan perasaan hati masing-masing agar tidak ada perkara yang dipendam dan dapat berubah kearah yang lebih baik. Mudah-mudahan ia dapat memperbaiki hubungan suami isteri hingga ke syurga.

Semoga Allah mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply