Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah jahil atau tidak tahu itu secara umumnya menjadi satu keuzuran bagi seseorang apabila dia melakukan kesalahan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Keuzuran atas dasar kejahilan ini sememangnya terdapat dalil dalam nas-nas syara‘, antaranya umum firman Allah SWT:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًۭا
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”
(Surah al-Isra’: 15)
Ibn Kathir berkata: “Yang demikian itu merupakan pemberitahuan tentang keadilan Allah SWT di mana Dia tidak akan mengazab seorang pun melainkan setelah disampaikan hujjah kepadanya, yakni dengan pengutusan Rasul kepadanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/445)
Begitu juga sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya:
رُّسُلًۭا مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةٌۢ بَعْدَ ٱلرُّسُلِ ۚ
Maksudnya: “Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu.”
(Surah al-Nisa’: 165)
Akan tetapi, fuqaha’ tidak meletakkan keuzuran ini pada umum kejahilan itu, bahkan jahil yang dianggap sebagai keuzuran ini hanya pada situasi-situasi tertentu sahaja. Meskipun Imam Fakhr al-Islam Abu al-Mahasin al-Ruyani memegang pendapat bahawa jahil itu adalah satu keuzuran secara mutlak, namun pandangan muktamad dalam mazhab bertentangan dengan pegangan beliau, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli.
Keuzuran yang diberikan keuzuran ini hanya pada dua situasi sahaja:
- Baru memeluk Islam.
- Tinggal berjauhan dari ulama atau komuniti Islam. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/164; Mughni al-Muhtaj, 2/154)
Situasi pertama ini masih kuat kebarangkalian untuk berlaku kerana kefahaman terhadap suatu hukum itu memerlukan kepada tempoh masa. Oleh yang demikian, pihak kerajaan di bawah kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan satu garis panduan bertajuk: “Garis Panduan Pengurusan Saudara Baru (Muallaf)” agar ia dapat dijadikan sebagai asas untuk sokongan serta bimbingan kepada saudara baharu kita yang mungkin merasa tersisih dari ahli keluarga setelah keislaman.[1]
Adapun situasi kedua, meskipun seseorang itu tinggal berjauhan dari para ulama atau komuniti Islam, ini tidak menghalang mereka untuk terus belajar dan menuntut ilmu ekorang kemajuan dunia teknologi yang sangat memberangsangkan. Ia mungkin boleh berlaku pada sesetengah komuniti tertentu sahaja yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mendapat capaian teknologi, seperti kaum-kaum orang asli dan sebagainya. Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebutkan, sesiapa yang tidak mengetahui pengharaman sesuatu perkara sedangkan kebanyakan orang mengetahuinya, tidak diterima alasan kejahilannya, melainkan jika dia baru memeluk Islam atau dibesarkan di kawasan pedalaman yang jauh di mana perkara hukum-hakam tersebut tidak sampai di sana. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 200)
Imam Badruddin al-Zarkasyi pula berkata, keuzuran yang diberikan kepada orang jahil itu atas dasar memberikan keringanan sahaja, bukan memang atas dasar kejahilannya itu. Sebab itu Imam al-Syafi‘i pernah menyebutkan: “Kalaulah diberikan keuzuran kepada orang yang jahil atas dasar kejahilannya itu, nescaya jahil lebih baik dari berilmu; kerana ia akan menghapuskan bebanan taklif dan menyenangkan hatinya dari pelbagai teguran. Maka, tiada alasan bagi hamba atas kejahilannya tentang hukum selepas disampaikan padanya hukum, supaya manusia tidak mempunyai alasan di hadapan Allah selepas diutuskan Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).” (Lihat al-Manthur fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, 2/17)
Kaedah syara‘ juga menunjukkan bahawa setiap kejahilan yang boleh dihilangkan ini, ia tidak boleh dijadikan hujah bagi orang jahil untuk sentiasa diberikan keuzuran. Sesungguhnya Allah SWT telah mengutuskan para Rasul-Nya kepada hamba-hamba dengan membawa risalah-Nya, dan Dia mewajibkan ke atas mereka untuk mempelajari risalah tersebut serta mengamalkannya. Maka, ilmu dan amal ini adalah dua kewajipan. Sesiapa yang meninggalkan kedua-duanya untuk kekal dalam keadaan jahil, ketika itu dia telah melakukan dua maksiat dengan meninggalkan dua kewajipan. (Lihat Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 4/264)
Keuzuran kerana Jahil tentang Hukum
Kemudian para ulama bahaskan pula bahawa kejahilan yang diberikan keuzuran itu apabila dia jahil tentang hukum sahaja, dan bukannya jahil tentang balasannya.
Sebagai contoh, seorang suami terlanjur mendatangi isterinya pada siang hari bulan Ramadhan. Sekiranya dia tidak tahu perbuatan itu hukumnya salah, maka dia akan diberikan keuzuran. Berbeza pula jika dia tahu hukum mendatangi isteri pada siang hari bulan Ramadhan itu haram kerana boleh membatalkan puasa, tetapi dia tidak tahu balasannya, maka kejahilannya itu tidak diberikan keuzuran.
Diriwayatkan dalam sebuah hadith yang masyhur, daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: هَلَكْتُ. قَالَ: «وَمَا شَأْنُكَ؟» قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ، قَالَ: أَتَسْتَطِيعُ تُعْتِقُ رَقَبَةً. قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ. قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تُطْعِمَ سِتِّينَ مِسْكِينًا. قَالَ: لاَ. قَالَ: اجْلِسْ. فَجَلَسَ، فَأُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهِ تَمْرٌ – وَالعَرَقُ الْمِكْتَلُ الضَّخْمُ – قَالَ: خُذْ هَذَا فَتَصَدَّقْ بِهِ. قَالَ: أَعَلَى أَفْقَرَ مِنَّا؟ فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ، قَالَ: أَطْعِمْهُ عِيَالَكَ
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: ‘Aku telah binasa.’ Baginda bersabda: ‘Apa yang berlaku kepadamu (sehingga engkau berkata sedemikian)?’ Dia berkata: ‘Aku telah menggauli isteriku (bersetubuh dengannya) di (siang hari) bulan Ramadhan.’ Baginda bersabda: ‘Adakah engkau mampu untuk memerdekakan seorang hamba (sebagai kaffarah)?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda lagi: ‘Adakah engkau mampu untuk berpuasa selama dua bulan berturut-turut?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda lagi: ‘Adakah engkau mampu untuk memberi makan kepada enam puluh orang miskin?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Duduklah.’ Lalu dia pun duduk. Setelah itu, dibawa kepada Nabi SAW sebakul yang berisi kurma di dalamnya. – العَرَقُ ialah الْمِكْتَلُ الضَّخْمُ iaitu bakul yang besar – Baginda bersabda: ‘Ambillah ini, lalu bersedekahlah dengan (tamar di dalam) nya.’ Dia berkata: ‘Adakah (diberikan sedekah ini) kepada orang yang lebih fakir daripada kami?’ Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan gigi gerahamnya, lalu bersabda: ‘Berilah makan (kurma itu) kepada ahli keluarga engkau’.”
Riwayat al-Bukhari (6709) dan Muslim (1111)
Apabila kita teliti, lelaki tersebut datang kepada Rasulullah SAW dalam keadaan dia tahu bahawa perbuatannya mendatangi isteri itu salah, akan tetapi dia tidak tahu akan balasan dari perbuatannya itu. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW tetap memerintahkannya untuk membayar kaffarah tanpa diberikan keuzuran atas kejahilannya itu.
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata,
apabila dikatakan bahawa kejahilan adalah uzur, bukan bermaksud kejahilan tentang balasan terhadap perbuatan haram tersebut, tetapi maksudnya adalah kejahilan mengenai hukum perbuatan itu haram atau tidak. Oleh itu, jika seseorang melakukan zina dalam keadaan tidak tahu ia haram, dan dia hidup di luar negara Islam, atau baru memeluk Islam, atau hidup di kawasan pedalaman yang jauh dan tidak tahu bahawa zina itu haram, maka dia tidak dikenakan hukuman had. Namun, jika dia tahu bahawa zina itu haram, tetapi tidak tahu bahawa hukumannya adalah rejam, atau hukuman sebat dan buang negeri, maka dia tetap dikenakan hukuman kerana melanggar larangan. Maka, kejahilan balasan dari perbuatan haram bukanlah uzur, tetapi jahil tentang apakah perbuatan itu haram atau tidak, itu adalah uzur. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 6/417)
Kesimpulan
Natijahnya, bukan semua keadaan jahil itu boleh dianggap keuzuran di sisi syara‘, sebaliknya dalam beberapa keadaan tertentu sahaja seperti:
- Baru memeluk Islam.
- Tidak sampai padanya ilmu Islam, kerana:
- Tinggal berjauhan dari ulama.
- Tinggal berjauhan dari komuniti Islam, seperti di kawasan pedalaman.
Keuzuran pula hanya akan diberikan sekiranya seseorang itu jahil tentang hukum sesuatu perkara, sama ada ia boleh dilakukan atau tidak, wajib ditinggalkan atau tidak. Manakala jahil tentang akibat yang akan diterima atas satu-satu perbuatan tertentu, maka ia tidak termasuk dalam kategori jahil yang diberikan keuzuran.
Orang yang jahil ini pula perlu berusaha untuk terus mempelajari ilmu. Andai kejahilan dirinya itu disebabkan dia sengaja untuk tidak pergi belajar, maka tindakannya untuk kekal dalam kejahilan itu sendiri adalah satu perbuatan dosa.
Moga Allah SWT mengurniakan kita ilmu dan kefahaman yang baik tentang Islam, seterusnya dapat beramal seiring dengan ketetapan hukum syara‘. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/Garis-Panduan-Pengurusan-Saudara-Baru.pdf. Diakses pada 20 Ogos 2024.