Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah kita mendoakan kebaikan untuk jenazah yang mati bunuh diri? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Berhubung persoalan di atas, kami mulakan dengan mengajak kita bersama-sama memerhatikan firman Allah SWT berkenaan kisah Nabi Musa AS di dalam al-Quran al-Karim ini:
وَٱخۡتَارَ مُوسَىٰ قَوۡمَهُۥ سَبۡعِینَ رَجُلࣰا لِّمِیقَـٰتِنَاۖ فَلَمَّاۤ أَخَذَتۡهُمُ ٱلرَّجۡفَةُ قَالَ رَبِّ لَوۡ شِئۡتَ أَهۡلَكۡتَهُم مِّن قَبۡلُ وَإِیَّـٰیَۖ أَتُهۡلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلسُّفَهَاۤءُ مِنَّاۤۖ إِنۡ هِیَ إِلَّا فِتۡنَتُكَ تُضِلُّ بِهَا مَن تَشَاۤءُ وَتَهۡدِی مَن تَشَاۤءُۖ أَنتَ وَلِیُّنَا فَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۖ وَأَنتَ خَیۡرُ ٱلۡغَـٰفِرِینَ
Maksudnya: “Nabi Musa AS pun memilih daripada kalangan kaumnya (Bani Israel) seramai tujuh puluh orang untuk bertemu Kami. Apabila mereka semua mati akibat pekikan yang menimpa, Musa pun memohon: ‘Wahai Tuhan! Jika Engkau mahu, pasti Engkau telah membinasakan mereka semua sebelum ini, termasuklah diriku sekali. Adakah Engkau mahu menghancurkan kami semata-mata perbuatan orang yang bodoh dalam kalangan kami? Tidaklah ia melainkan ujian yang Engkau timpakan kepada kami supaya Engkau menyesatkan sebahagian pihak dan memberi petunjuk kepada sebahagian yang lain. Engkaulah pelindung kami maka ampunkanlah kami dan rahmatilah kami. Dan Engkau sebaik-baik Pengampun.’”
(Surah al-A‘raf: 155)
Berdasarkan ayat di atas, Nabi Musa AS meminta ampun kepada Allah SWT bagi pihak orang-orang yang melakukan dosa dalam kalangan kaumnya, Bani Israel. Imam Ibn Juzai al-Kalbi al-Gharnati menafsirkan potongan ayat di atas seraya mengatakan, ayat “تُضِلُّ بِهَا مَن تَشَآءُ” maknanya adalah: (Nabi Musa) meminta maaf bagi pihak orang-orang bodoh (yang melakukan dosa dalam kalangan kaumnya); kerana semua itu terjadi di bawah ketetapan Allah dan kehendak-Nya. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/304)
Membunuh diri merupakan dosa besar. Orang yang membunuh diri akan dihukum dengan dahsyat kelak. Dia akan diazab di alam akhirat dengan cara yang sama bagaimana dia pernah membunuh dirinya sewaktu di dunia. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَهْوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ، يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسَمُّهُ فِي يَدِهِ، يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ، يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا
Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja terjun daripada bukit dan membunuh dirinya, akan jatuh di neraka ke dalam api dan kekal dalam keadaan tersebut; sesiapa yang meminum racun dan membunuh dirinya, dia akan membawa racun tersebut dengan tangannya dan meminumnya di neraka selama-lamanya; dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan senjata besi, akan membawa senjata itu dan menusuk-nusuk perutnya di neraka selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (5778); Muslim (109)
Orang yang mati akibat bunuh diri tetap wajib untuk disolatkan ke atasnya oleh sebahagian kaum Muslimin, hal ini kerana orang yang bunuh diri telah melakukan dosa besar, namun mereka masih seorang Muslim dan belum terkeluar daripada daerah agama Islam. Imam Ibn Battal al-Maliki telah berkata: “Ijma’ (sepakat) fuqaha dan Ahli al-Sunnah bahawa sesiapa yang membunuh dirinya, perbuatan itu tidak mengeluarkannya daripada agama Islam, tetap disolatkan ke atas jenazahnya dan dia berdosa (atas perbuatan membunuh diri) seperti mana yang dikatakan oleh Imam Malik; dan dia tetap dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Tidak ada ulama yang memakruhkan solat ke atas jenazah orang mati bunuh diri melainkan Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan Imam al-Auza‘i atas kapasiti peribadi mereka sahaja. Yang tepat adalah pendapat majoriti ulama, kerana Rasulullah SAW mengarahkan solat jenazah ke atas setiap jenazah umat Islam, dan tidak mengecualikan sesiapa pun, maka haruslah disolatkan ke atas semua mereka tanpa mengira baik atau buruk, melainkan jenazah orang yang mati syahid yang dimuliakan Allah dengan pangkat mati syahid dunia akhirat.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 3/349)
Berdasarkan kenyataan ini, bagi menjawab soalan yang dikemukakan di atas, kami nyatakan bahawa dibolehkan untuk mendoakan keampunan dan rahmat ke atas jenazah orang yang mati bunuh diri kerana ia masih Muslim namun berstatus pelaku dosa besar. Semoga doa keampunan dan rahmat tersebut sudi diperkenankan oleh Allah SWT.
Sudut pendalilan kami dijelaskan berdasarkan kewajiban untuk tetap mensolatkan jenazah orang yang mati bunuh diri, kerana di dalam solat terdapat doa-doa keampunan dan rahmat buat si mati. Kita pula tetap diwajibkan untuk mensolatkan jenazah orang yang mati bunuh diri, maka jelaslah bahawa doa rahmat dan keampunan buat mereka adalah dibolehkan.
Imam al-Syams al-Ramli memfatwakan berkenaan status wajib mensolatkan dan menguruskan jenazah orang mati bunuh diri, menerusi kenyataan beliau bahawa tetap diwajibkan untuk memandikan mayat dan mengkafankannya, serta melaksanakan solat ke atasnya, kemudian mengangkat dan membawanya (ke tanah perkuburan) dan mengebumikannya, semua ini adalah fardhu kifayah menurut ijma‘; kerana telah sabit arahan untuk melaksanakannya di dalam hadith-hadith yang sahih sama ada ke atas mayat yang mati akibat bunuh diri mahupun selainnya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/441)
Adapun berkenaan keengganan Rasulullah SAW melaksanakan solat jenazah ke atas mereka yang membunuh diri, ia telah diriwayatkan oleh Jabir bin Samurah R.A bahawa:
أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ بِمَشَاقِصَ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Pernah dibawa kepada Nabi SAW jenazah seorang lelaki Muslim yang membunuh dirinya dengan anak panah, maka Baginda SAW tidak melaksanakan solat jenazah ke atasnya.”
Riwayat Muslim (978); al-Nasa’i (1963)
Imam al-Nawawi menjelaskan menurut al-Hasan al-Basri, al-Nakha’i, Qatadah, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi‘i dan jumhur ulama; jenazah orang yang membunuh diri perlu disolatkan, dan mereka memahami keengganan Nabi SAW untuk solat ke atasnya adalah supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak terjebak dengan perbuatan membunuh diri ini, sedang para sahabat tetap solat ke atasnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/47)
Kesimpulannya, dibolehkan untuk mendoakan kebaikan berupa rahmat dan keampunan kepada orang yang mati bunuh diri kerana mereka masih lagi berstatus Muslim yang melakukan dosa besar. Larangan mendoakan rahmat dan keampunan adalah kepada orang yang mati dalam keadaan kafir.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا
Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”
Wallahu a‘lam.