Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, selepas saya melaksanakan ibadat, tiba-tiba datang perasaan riya’ sesaat. Selepas itu, saya istighfar. Adakah saya mendapat semula pahala ibadat saya sebelum riya’ tadi selepas istighfar?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Ketahuilah wahai pembaca yang budiman, bahawa sifat Riya’ itu lawannya adalah al-Ikhlas. Kami bawakan firman Allah SWT di dalam Muhkam al-Tanzil menggesa kewajiban Ikhlas:
وَمَاۤ أُمِرُوۤا۟ إِلَّا لِیَعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخۡلِصِینَ لَهُ ٱلدِّینَ حُنَفَاۤءَ وَیُقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَ ٰلِكَ دِینُ ٱلۡقَیِّمَةِ
Maksudnya: “Dan tidaklah mereka itu diarahkan melainkan agar menyembah Allah, dalam keadaan mengikhlaskan diri melaksanakan segala ibadah hanya untuk Allah; dalam keadaan menuju kepada-Nya dan berpaling daripada selain-Nya; serta mendirikan solat dan menunaikan zakat. Demikian itulah agama yang teguh.”
(Surah al-Bayyinah: 5)
Ikhlas adalah beramal semata-mata kerana Allah SWT, tiada kerana selain-Nya. Imam Ibn ‘Atiyyah al-Andalusi al-Maharibi ketika menafsirkan ayat di atas ini, menukilkan kata-kata hikmah Nabi ‘Isa al-Masih berkenaan konsep Ikhlas. Pernah ditanya kepada Nabi ‘Isa AS: “Siapakah orang yang benar-benar ikhlas kerana Allah SWT?” Baginda bersabda: “Iaitu orang yang beramal dengan sesebuah amalan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak suka untuk dipuji oleh manusia kerana amalnya tersebut.” (Lihat al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz, 5/508)
Sifat al-Riya’ merupakan sikap yang wajib dihindari oleh setiap umat Islam. Sikap ini dianggap sebagai al-syirk al-asghar (الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ) atau syirik kecil oleh baginda Nabi Muhammad SAW menerusi hadith baginda yang diriwayatkan oleh Mahmud bin Labid RA, sabda Nabi SAW:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّوَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً
Maksudnya: “Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik kecil.” Para Sahabat bertanya: “Apakah gerangan syirik yang kecil itu, wahai Rasulullah.” Nabi SAW bersabda: “Itulah al-Riya’. Allah SWT akan berfirman pada hari kiamat kelak: “Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ada ganjaran (untuk amalan kamu).”
Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (23636); dinilai sahih oleh al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (10/225) dan dinilai hasan oleh Syeikh al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad
Diriwayatkan di dalam Hadith Qudsi pula bahawa Allah SWT berfirman:
أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ مَنْ عَمِلَ عَمَلاً أَشْرَكَ فِيهِ مَعِى غَيْرِى تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ
Maksudnya: “Aku tidak memerlukan segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana seseorang itu mensyirikan-Ku bersama yang lain. Maka Aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu.”
Riwayat Muslim (7666)
Imam ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi mensyarahkan hadith di atas mengatakan: “Dalam hadith ini terdapat gesaan buat sekalian hamba supaya memupuk sifat ikhlas dalam beramal, supaya amalan tersebut diterima dan diganjari dengan pahala serta bakal menjadi bekalan yang berguna di akhirat kelak, hari yang mana dia begitu amat memerlukannya nanti. Di dalam hadith ini juga menerangkan tentang betapa Allah tidak memerlukan sesiapa, semua makhluk-Nya yang memerlukan Diri-Nya. Dia memiliki kekayaan yang mutlak, tidak bergantung kepada sesiapa. Maka, hamba tidak boleh meminta atau beramal kepada selain Allah, hanya untuk Allah SWT sahaja.” (Lihat al-Ithafat al-Saniyyah bi Ahadith al-Qudsiyyah, hlm. 85)
Berhubung dengan soalan yang dikemukakan di atas, kami tegaskan bahawa seseorang yang beribadah kemudian mengalami perasaan Riya’, namun sejurus selepas itu dia beristighfar memohon keampunan kepada Allah atas dosa Riya’nya tadi; pahala ibadah tersebut akan dikembalikan di dalam buku catatan amalnya insya-Allah, sekali gus dikurniakan keampunan dan pahala atas amalan Istighfar tersebut.
Hal ini berdalilkan firman Allah SWT:
إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلࣰا صَـٰلِحࣰا فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ یُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَیِّـَٔاتِهِمۡ حَسَنَـٰتࣲۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰا ٧٠
Maksudnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta beramal dengan amalan soleh, maka mereka itulah orang-orang yang Allah akan tukarkan keburukan mereka menjadi kebaikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Furqan: 71)
Imam Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini, meriwayatkan menerusi sanadnya daripada Sa‘id bin al-Musayyib, bahawa beliau (Sa‘id) berkata: “Dosa-dosa mereka akan berubah menjadi pahala kebaikan kelak pada hari kiamat.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 17/519)
Abu Zar al-Ghifari RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنِّي لَأَعْرِفُ آخِرَ أَهْلِ النَّارِ خُرُوجًا مِنَ النَّارِ وَآخِرَ أَهْلِ الجَنَّةِ دُخُولًا الجَنَّةَ، يُؤْتَى بِرَجُلٍ فَيَقُولُ: سَلُوا عَنْ صِغَارِ ذُنُوبِهِ وَاخْبَئُوا كِبَارَهَا، فَيُقَالُ لَهُ: عَمِلْتَ كَذَا وَكَذَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا، عَمِلْتَ كَذَا وَكَذَا فِي يَوْمِ كَذَا وَكَذَا “، قَالَ: ” فَيُقَالُ لَهُ: فَإِنَّ لَكَ مَكَانَ كُلِّ سَيِّئَةٍ حَسَنَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya aku amat tahu ahli neraka yang terakhir sekali keluar dari neraka dan ahli syurga yang paling lambat sekali masuk ke dalam syurga. Dibawakan (di hadrat Allah kelak) seorang lelaki. Lalu Allah menitahkan agar ditunjukkan dosa-dosa kecilnya, dan disembunyikan dosa-dosa besarnya, kemudian dikatakan kepadanya: ‘Engkau buat begitu dan begini pada hari sekian dan sekian.’ Kemudian dikatakan kepadanya juga: ‘Untukmu setiap dosa itu akan diubah menjadi kebaikan.’”
Riwayat Muslim (190); al-Tirmizi (2596)
Akal kita menegaskan bahawa proses penukaran (al-tahawwul) adalah lebih besar berbanding proses pemulangan (al-Radd); maka menurut konsep qiyas aula, apabila penukaran dosa kepada pahala boleh berlaku, maka sudah tentu pemulangan pahala yang lebih ringan juga lebih boleh untuk berlaku. Hal ini kerana, limpah kurnia Allah adalah begitu luas dan Maha Agung Kurnia-Nya. Tidak ada suatu pun yang mustahil bagi-Nya, dan tiada suatu apa pun yang tidak mampu untuk Dia laksanakan. Dan Allah sama sekali tidak akan menzalimi walau sedikit pun.
Kami juga turut mengqiyaskan dengan orang bukan Muslim yang membuat amal kebaikan sebelum masuk Islam (masih kafir), kemudian setelah dia masuk Islam, adakah kebaikannya itu dikira sebagai pahala di dalam buku catatan amalnya?
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa pandangan tuan terhadap perbuatan-perbuatan baik yang saya lakukan sewaktu masa Jahiliyyah seperti sedekah, membebaskan hamba atau menyambung silaturrahim. Adakah padanya terdapat ganjaran pahala?” Maka Nabi SAW menjawab:
أَسْلَمْتَ عَلَى مَا سَلَفَ مِنْ خَيْرٍ
Maksudnya: “Engkau telah masuk Islam berserta semua kebaikanmu yang dahulu.”
Riwayat al-Bukhari (1436) dan Muslim (123)
Dalam menjelaskan hadith di atas, Imam Ibn Battal al-Maliki menyebut: Dalam hadith ini, Allah SWT memberikan keutamaan kepada orang yang masuk Islam dari golongan Ahli Kitab dengan memberikannya pahala atas kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukannya ketika masa Jahiliyyah. Hal ini juga sesuai dengan hadith Nabi yang lainnya, iaitu: “Apabila seorang yang kafir masuk Islam dan berislam dengan baik, maka Allah akan mencatat semua amal kebaikan yang pernah ia lakukan (sebelum masuk Islam).”
Di tempat yang lain, beliau turut menjelaskan: Sebahagian ulama’ berkata: Maksud hadith di atas ialah bahawa setiap orang musyrik yang masuk Islam, akan dicatat semua pahala dari amal kebaikan yang pernah dia lakukan sebelum masuk Islam. Dan tidak dicatat semua kejahatannya. Kerana Islam telah menghapus segala bentuk kesyirikan sebelumnya dan mencatat semua kebaikannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 9/209)
Imam Badr al-Din al-‘Aini menyatakan: Dan diriwayatkan bahawa kebaikan-kebaikan orang kafir yang akhirnya memeluk Islam akan diterima dan dihitung (menjadi pahala ibadah) baginya. Namun, sekiranya dia mati (tetap) dalam kekufuran, maka terhapuslah semua amal kebaikannya. (Lihat Umdah al-Qari, 8/303)
Dalam sebuah hadith lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَسْلَمَ الْعَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلَامُهُ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ كُلَّ حَسَنَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا وَمُحِيَتْ عَنْهُ كُلُّ سَيِّئَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا
Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu telah masuk Islam, lalu berIslam dengan baik, nescaya Allah akan menulis baginya (memberi pahala) semua kebajikan yang telah lalu, dan menghapuskan segala kejahatan yang telah lalu.”
Riwayat al-Nasa’i (4912)
Imam al-Sindi dalam menjelaskan hadith ini berkata: “Hadith ini menunjukkan bahawa kebaikan-kebaikan yang dilakukan orang kafir ditawaqqufkan terlebih dahulu. Sekiranya dia masuk Islam, maka barulah diterima (dicatat amal tersebut baginya).” (Lihat Sunan al-Nasa’i bi Hasyiyah al-Sindi, 4/480)
Ada juga pendapat yang menyebut bahawa amal kebaikan mereka adalah tidak dicatat. Ini seperti mana disebut oleh Imam al-Maziri daripada ulama mazhab Maliki: (Seorang yang kafir) tidak ada pahala bagi amalan soleh yang dilakukannya ketika dia masih syirik. Ini kerana antara syarat amalan mendekatkan diri kepada Allah, hendaklah dia mengetahui kepada siapa dia mendekatkan diri kepada, sedangkan orang kafir tidak demikian. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1/183)
Namun Imam al-Nawawi sebaliknya menegaskan: Yang benar dan merupakan pendapat ahli Tahqiq – bahkan telah dinukilkan oleh sebahagian mereka bahawa terdapat ijma‘ padanya – adalah seorang kafir apabila dia melakukan perkara-perkara yang baik seperti bersedekah, menyambung silaturrahim, kemudian dia masuk Islam dan kemudian mati dalam keadaan Islam, pahala tersebut dicatatkan baginya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/141)
Hal ini juga sepertimana kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar yang menyebut bahawa penerimaan amalan (semasa kafir) adalah bergantung kepada sama ada seseorang kafir itu masuk Islam atau tidak. Sekiranya dia masuk Islam, maka dicatat amalannya terdahulu. Sebaliknya jika tidak, maka tidak dikira amalan kebaikannya. Pendapat ini adalah kuat. Inilah yang dipegang oleh al-Nawawi, Ibrahim al-Harbi dan selain mereka seperti al-Qurtubi dan Ibn al-Munir daripada kalangan muta’akhirin. (Lihat Fath al-Bari, 1/123)
Jika Allah berkenan untuk mengembalikan pahala orang-orang Musyrik yang asalnya amalan baik mereka tidak diterima kerana kebaikan, maka sudah tentu Allah akan memulangkan amalan orang-orang Mukmin yang terjebak di dalam dosa Riya’ jika mereka segera bertaubat.
Ini merupakan tanda rahmat dan kasih-sayang Allah SWT yang bersifat al-Rahman dan al-Rahim, al-Ra’uf dan al-Halim.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Wallahu a‘lam.