Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah batal puasa jika lintah masuk ke dalam rongga seperti lubang dubur. Sama seperti hukum memasukkan sesuatu ke dalam lubang sengaja ataupun tidak.  Adakah batal puasa?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Puasa merupakan ibadah agung yang diarahkan oleh Allah SWT kepada sekalian hamba-Nya. Puasa Ramadhan diwajibkan ke atas sekalian umat Islam, manakala puasa sunat dianjurkan dan digalakkan bagi sekalian kaum Muslimin untuk meninggikan darjat mereka di sisi-Nya. Allah berfirman di dalam Kitab-Nya:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kalian untuk berpuasa (pada bulan Ramadhan) sepertimana diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kalian; supaya kalian bertakwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Imam Ibn Kathir al-Dimasyqi al-Syafi‘i menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Allah SWT berfirman mengarahkan sekalian kaum Mukminin dalam kalangan umat ini dan mengarahkan mereka supaya melaksanakan ibadah puasa, iaitu: menahan diri daripada makan, minum dan persetubuhan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah ‘Azza wa Jalla, kerana ibadah tersebut boleh menyucikan jiwa, membersihkan dan menyucikannya daripada kotoran yang hina dina di dalam jiwa serta akhlak yang buruk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/497).

Laqit bin Sabrah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْبِغْ الْوُضُوءَ وَخَلِّلْ بَيْنَ الْأَصَابِعِ وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ إلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Maksudnya: “Lebihkanlah basuhan anggota wuduk, dan selalah jari-jemarimu, dan lebihkanlah kuantiti air yang masuk ke dalam hidungmu, namun jangan lakukan seperti itu apabila engkau sedang berpuasa.”

Riwayat Abu Daud (142); al-Tirmizi (788); dinilai sahih oleh Imam Ibn al-Mulaqqin dalam Tuhfat al-Muhtaj (1/184)

Hadith di atas mengisyaratkan kepada kita bahawa salah satu perkara yang boleh membatalkan puasa adalah dengan masuknya sesuatu jirim (‘ain) ke dalam rongga yang terbuka atau manfaz maftuh (مَنْفذٌ مَفْتُوحٌ). Rongga yang terbuka ini adalah mulut, telinga, qubul (kemaluan hadapan), dubur bagi lelaki atau perempuan.

Berdasarkan hadith di atas, al-Khatib al-Syirbini menegaskan memasukkan apa-apa sahaja sesuatu ke dalam rongga terbuka walaupun hanya sebesar biji bijan secara sengaja sehingga masuk ke dalam had batin maka batal puasanya.

Beliau menyebutkan: “[Imam Abu Syuja‘ berkata: Yang membatalkan puasa ada sepuluh perkara] Yang pertama: [Segala sesuatu yang sampai] berupa apa-apa sahaja benda, sekalipun ia sedikit seperti bijian [secara sengaja] dan dalam keadaan mempunyai pilihan (bukan dipaksa), dan tahu berkenaan keharamannya [sehingga] kawasan mutlak [rongga] dan juga berupa manfaz maftuh sama ada berupa makanan atau ubatan, ataupun bukan; dan bukannya bahagian batin tekak dan perut.” (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/237).

Berhubung dengan soalan di atas, memasukkan sesuatu ke dalam rongga dubur, tahu dan rela adalah membatalkan puasa di sisi persepakatan ulama mazhab, kecuali satu pendapat daripada Imam Husain bin Muhammad al-Hannati al-Syafi‘i. Namun pendapat (wajah) ini dinilai sebagai syaz (ganjil) oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu‘.

Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya seseorang lelaki memasukkan jarinya atau apa-apa benda ke dalam duburnya; atau seorang wanita memasukkan jari-jemarinya atau apa-apa sahaja benda ke dalam dubur atau qubulnya, manakala baki bahagian perkara tersebut masih di luar, maka batallah puasa tersebut di sisi persepakatan para ashab kita kecuali satu pendapat ganjil yang disebutkan sebelum ini iaitu daripada Imam al-Hannati.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/314).

Berdasarkan nas di atas, apabila ada sebarang sesuatu memasuki had batin bagi dubur dengan sengaja dan memenuhi syarat yang disebutkan; maka batallah puasa seseorang itu.

Had batin bagi dubur adalah ruang selepas Sfingter anal internal atau dipanggil sebagai masrabah (مَسْرَبَةٌ) di sisi fuqaha’. Jika ada sebarang sesuatu melepasi titik ini dan mencapai bahagian Pectinate Line atau al-mahall al-mujawwaf min al-dubur (الْمَحَلُّ الْمُجَوَّفُ مِنَ الدُّبُرِ); maka batallah puasanya.

Maka, puasa seseorang hanya akan terbatal apabila dia memasukkan lintah ke dalam duburnya dalam keadaan:

  • Sengaja memasukkannya,
  • Tidak terpaksa ketika melakukannya,
  • Mengetahui bahawa itu haram dan bakal membatalkan puasa.

Adapun jika tiba-tiba lintah memasuki dubur dalam keadaan tidak sengaja dan kita tidak menyedarinya, maka tidak batal puasanya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply