Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum berbual-bual atau bersembang ketika berwuduk? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, pengarang al-Fiqh al-Manhaji telah menyenaraikan sebanyak 18 perkara sunat-sunat wuduk, yang mana salah satunya adalah tidak bercakap-cakap ketika sedang berwuduk sebagai mengikuti perbuatan Nabi SAW. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/60).

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan dalam kitabnya bahawa di antara perkara sunat dan amalan yang disukai semasa berwuduk adalah termasuklah tidak bercakap-cakap semasa sedang berwuduk tanpa sebarang keperluan. Beliau kemudiannya membawakan pula kenyataan al-Qadhi ‘Iyadh yang menukilkan dalam Syarh Sahih Muslim bahawa para ulama memakruhkan perbuatan bercakap-cakap semasa berwuduk dan mandi. Pandangan makruh yang dinukilkan oleh beliau ini adalah merujuk atau dapat difahami sebagai meninggalkan perkara yang lebih utama, kerana tiada larangan yang jelas lagi sabit mengenainya. Oleh itu, ia tidak dianggap sebagai makruh (dalam erti kata syarak), tetapi lebih kepada meninggalkan perkara yang lebih utama (تَرْكُ الْأَوْلَى). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/465-466).

Selain daripada itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga pernah ditanya berkenaan perbuatan bercakap-cakap ketika sedang berwuduk, adakah ia makruh? Beliau menjawab, bercakap-cakap semasa berwuduk tidaklah makruh, tetapi pada hakikatnya ia boleh mengganggu fokus seseorang yang sedang berwuduk. Semasa membasuh muka, seseorang sepatutnya ingat bahawa dia sedang menjalankan perintah Allah, begitu juga ketika membasuh tangan, menyapu kepala, dan membasuh kaki. Jika ada seseorang yang bercakap dengannya lalu dia pun turut bercakap bersamanya (membalas percakapan itu semula), ia boleh memutuskan fokusnya dan mungkin juga mengganggunya atau mendatangkan perasaan waswas kepadanya dengan sebab itu. Oleh itu, adalah lebih baik untuk tidak bercakap-cakap sehingga selesai wuduk, tetapi jika dia tetap bercakap juga, maka tidak ada apa-apa ke atasnya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 7/2).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa dibenarkan bagi seseorang untuk bercakap-cakap semasa berwuduk kerana tidak ada apa-apa larangan dari segi syarak mengenainya, dan pada asalnya segala perbuatan adalah dibolehkan. Adapun sebahagian ulama menghukumkan perbuatan bercakap-cakap semasa berwuduk itu sebagai makruh adalah merujuk kepada meninggalkan perkara yang lebih utama, dan bukannya ia bermaksud makruh dari segi syarak. Dalam erti kata lain, adalah lebih baik bagi seseorang yang sedang berwuduk untuk tidak bercakap-cakap tanpa sebarang keperluan. Lebih-lebih lagi, perbuatan tidak bercakap-cakap ketika sedang berwuduk termasuk dalam perkara-perkara sunat wuduk.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

Leave a Reply