Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah tafsiran bagi ayat 9 Surah al-Fath pada ayat “وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ ”? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لِّتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan agamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Fath: 9)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan bahawa antara hak Rasulullah SAW yang diwajibkan ke atas umatnya adalah memuliakan dan menghormatinya serta menegakkan agamanya. Yang demikian sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas dan tafsirannya kami perincikan sebagaimana berikut:
- Al-Tabari berkata: Makna ta’zir di sini adalah “menguatkan dengan pertolongan dan bantuan.” Maksudnya adalah dengan taat, membesarkan dan mengagungkannya. Manakala makna tauqir adalah pengagungan, pemuliaan dan penghormatan. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/250)
- Ibn Kathir menukilkan bahawa Ibn ‘Abbas menyebut: “تُعَزِّرُوهُ” membawa maksud mengagungkan Rasul. Manakala “تُوَقِّرُوهُ” pula membawa maksud penghormatan, keagungan, dan kemuliaan. (Lihat Tafsir al-Quran al- ‘Azim, 7/329)
- Al-Baghawi pula dalam tafsirnya menyatakan: “تُعَزِّرُوهُ” ialah: memberi bantuan kepadanya dan menyokongnya. Manaka “تُوَقِّرُوهُ” ialah mengagung dan muliakanlah beliau. Kiasan-kiasan ini merujuk kepada Nabi SAW. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 7/299)
- Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa: Supaya kalian menguatkan Rasulullah serta mengagungkan dan memuliakannya dengan menunaikan hak-haknya, sebagaimana Allah telah memberikan kurniaan yang besar kepada kalian dengan menjaga kalian. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.792)
Justeru, jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT telah menggariskan hak Rasulullah SAW yang wajib dipenuhi oleh umatnya, iaitu memuliakan dan menghormatinya. Ini termasuk mengikuti ajaran dan sunnah Rasulullah SAW, serta menunjukkan rasa hormat dan cinta terhadapnya. Begitu juga menjadi kewajipan kepada umat islam untuk menegakkan agama yang dibawa oleh Baginda SAW.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahu a‘lam.