Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah seburuk-buruk pencuri, orang yang curi dalam solatnya? Dan apakah maksud curi dalam solatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ (4) الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5) الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ

Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang – (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).”

(Surah al-Ma’un: 4-6)

Ibn Kathir mengatakan, orang yang lalai ini ada banyak sifat, sama ada dia sentiasa atau kebiasaannya melewatkan solat sehingga ke penghujung waktu, atau dia tidak memenuhi setiap rukun serta syarat yang diperintahkan dalam solat, atau dia tidak khusyuk serta mendalami intipati solat tersebut. Kalimah ‘lalai’ merangkumi kesemua ini, akan tetapi sesiapa yang mempunyai salah satu dari sifat ini, maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang dicela dalam ayat ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/468)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW: Daripada Abdullah bin Mughaffal, sabda Nabi SAW:

أَسْوَأُ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِي يَسْرِقُ مِنْ صَلَاتِهِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَسْرِقُ مِنْ صَلَاتِهِ؟ قَالَ: «لَا يُتِمُّ رُكُوعَهَا وَلَا سُجُودَهَا

Maksudnya: “Seburuk-buruk curian oleh manusia apabila ia mencuri dalam solatnya. Lantas dikatakan: Ya Rasulullah, bagaimana seseorang itu mencuri dalam solatnya? Sabda Baginda SAW: Seorang yang tidak sempurna rukuknya dan sujudnya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3392). Hadith ini dinyatakan sebagai Sahih li Ghairihi dalam Sahih al-Targhib (525).

Dinyatakan bahawa Salman al-Farisi berkata:

الصَّلَاةُ مِكْيَالٌ، فَمَنْ أَوْفَى أُوفِيَ لَهُ، وَمَنْ طَفَّفَ فَقَدْ عَلِمْتُمْ مَا قَالَ اللَّهُ فِي الْمُطَفِّفِينَ

Maksudnya: Solat itu bagaikan timbangan. Sesiapa yang menepati timbangannya, maka dicukupkan baginya. Dan sesiapa yang mencuri timbangan, maka kamu semua telah mengetahui apa yang Allah SWT telah firmankan mengenai al-Mutaffifin (pencuri timbangan).” (Lihat al-Zuhd wa al-Raqa’iq oleh Abdullah Ibn al-Mubarak, hlm. 420)

Benarlah firman Allah SWT:

 وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang.”

(Surah al-Baqarah: 3)

Ibn Kathir menukilkan dalam tafsirnya:

  • Ibn Abbas berkata, “mendirikan solat” bermaksud mereka mendirikan solat, iaitu semua solat fardhu.
  • Qatadah berkata bahawa “mendirikan solat” adalah menjaga waktu-waktu solat, wuduk, rukuk, dan sujudnya.
  • Muqatil bin Hayyan berkata bahawa “mendirikan solat” adalah menjaga waktu-waktu solat, menyucikan diri sebelumnya, menyempurnakan rukuk dan sujudnya, membaca al-Quran di dalamnya, serta membaca tasyahhud dan berselawat kepada Nabi SAW. Inilah yang dimaksudkan dengan “mendirikan solat”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/65)

Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri berkata: “Mendirikan solat bermaksud mereka yang sentiasa melaksanakan solat lima waktu pada waktunya dengan memperhatikan syarat, rukun, dan sunat-sunatnya, serta mengerjakan solat sunat rawatib dan solat-solat sunat yang lain. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/33)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Leave a Reply