Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kenapa Aminah, Ibu Nabi SAW membawa Nabi SAW ke Yathrib ketika baginda berumur 6 tahun?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ
Maksudnya: (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
(Surah al-Dhuha: 3)
Al-Syaukani berkata: ‘ مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ’ Yakni tidak memutus hubungan denganmu, dan wahyu juga belum terputus darimu. ‘وَمَا قَلَىٰ’, yakni tidak murka terhadapmu. (Lihat Fath al-Qadir, 7/332)
Menjawab persoalan di atas, Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyatakan: Ibn Ishaq berkata: “Telah menceritakan kepadaku Abdullah bin Abi Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazm bahawa ibu Rasulullah SAW, Aminah, wafat ketika baginda berusia enam tahun, di al-Abwa’ antara Mekah dan Madinah. Beliau telah membawanya ke kampung halaman saudara sebelah ibunya dari Bani Adi bin Najjar untuk menziarahi mereka, kemudian beliau wafat ketika dalam perjalanan pulang bersamanya ke Mekah. Al-Waqidi dengan sanad-sanadnya menyebutkan bahawa Nabi SAW telah dibawa oleh ibunya ke Madinah, bersama-sama dengan Ummu Aiman, ketika baginda berusia enam tahun untuk menziarahi saudara sebelah ibunya. Ummu Aiman berkata: ‘Pada suatu hari, dua orang lelaki Yahudi dari Madinah datang kepada saya dan berkata: “Keluarkan Ahmad kepada kami, biar kami lihat dia.” Mereka melihatnya dan memeriksa jantungnya, lalu salah seorang dari mereka berkata kepada yang lain: “Ini adalah nabi bagi umat ini, dan inilah tempat hijrahnya. Akan berlaku di sini peristiwa pembunuhan dan penawanan yang dahsyat.” Setelah mendengar perkara ini, ibunya merasa takut dan pulang bersamanya, dan beliau wafat di Al-Abwa’ ketika dalam perjalanan pulang.'” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/423)
Dalam al-Kamil fi al-Tarikh, Ibn al-Athir menyatakan: Ibn Ishaq berkata: “Ibunya, Aminah, wafat ketika Rasulullah SAW berusia enam tahun, di al-Abwa’, antara Mekah dan Madinah. Beliau telah membawa baginda ke Madinah untuk memperkenalkan kepada saudara sebelah ibunya dari Bani Najjar dan menziarahi mereka, kemudian beliau wafat dalam perjalanan pulang.”
Ada juga pendapat yang menyatakan mengatakan bahawa beliau pergi ke Madinah untuk menziarahi kubur suaminya, Abdullah, bersama Rasulullah SAW dan Ummu Aiman, pengasuh Rasulullah SAW. Ketika pulang, beliau wafat di Al-Abwa’. Dan ada yang mengatakan bahawa Abdul Muttalib (datuk Rasulullah) melawat saudara sebelah ibunya dari Bani Najjar, dan beliau membawa bersama Aminah dan Rasulullah SAW. Ketika pulang, beliau wafat di Mekah dan dikebumikan di Syi’b Abi Zar. Namun, pandangan yang pertama adalah lebih tepat, iaitu Aminah telah membawa baginda SAW ke Madinah untuk memperkenalkan kepada saudara sebelah ibunya dari Bani Najjar dan menziarahi mereka, kemudian beliau wafat dalam perjalanan pulang. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/416)
Semoga jawapan ini dapat memberikan pencerahan kepada kita dalam menghayati sirah baginda SAW. Wallahua’lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”