Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah orang munafiq amat sukar solat dan apakah solat yang menjadi paling berat bagi orang munafiq?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”
(Surah al-Nisa’: 142)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Bahkan mereka bermalasan dalam solat, lebih-lebih lagi solat Isya’ dan solat Fajar. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ صَلاَةٌ أَثْقَلَ عَلَى المُنَافِقِينَ مِنَ الفَجْرِ وَالعِشَاءِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا، لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ المُؤَذِّنَ، فَيُقِيمَ، ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا يَؤُمُّ النَّاسَ، ثُمَّ آخُذَ شُعَلًا مِنْ نَارٍ، فَأُحَرِّقَ عَلَى مَنْ لاَ يَخْرُجُ إِلَى الصَّلاَةِ بَعْدُ.
Maksudnya: “Tiada solat yang lebih berat bagi orang munafiq berbanding solat Subuh dan Isyak. Jika mereka tahu kelebihan kedua-duanya, nescaya mereka akan datang mengerjakannya, meskipun dalam keadaan merangkak. Sungguh, aku ingin sekali untuk menyuruh muazzin melaungkan iqamat, kemudian aku menyuruh seseorang mengimamkan solat bersama orang ramai, kemudian aku mengambil bara api dan membakar rumah orang yang tidak keluar untuk solat (berjemaah di masjid).”
Riwayat al-Bukhari (657) dan Muslim (651)
Ibn Battal berkata: Sesungguhnya ancaman dengan disuruh bakar rumah bagi sesiapa yang meninggalkan solat berjemaah dikehendaki di sini adalah golongan munafiqin. Walaupun begitu, hal ini tidaklah nyata kerana boleh jadi maksud Nabi SAW mengkhabarkan kepada orang beriman berkenaan dengan orang munafiqin dari segi beratnya untuk solat Fajar dan Isyak secara berjemaah. Justeru, diberi peringatan kepada orang beriman supaya jangan menyerupai mereka dan mengikut cara mereka. Ini kerana kedua-dua waktu tersebut sukar bagi mereka kerana bersambung dengan tidur. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 2/283)
Justeru, tidak peliklah Nabi SAW menggalakkan supaya mereka pergi ke masjid walaupun pada waktu malam yang kelam dengan janji yang besar. Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
بشِّرِ المَشّائين في الظُّلَمِ إلى المساجدِ بالنُّورِ التّامِّ يومَ القيامةِ.
Maksudnya: “Sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid di malam yang gelap, bahawa mereka mendapat nur cahaya yang terang pada hari Kiamat.”
Riwayat al-Tirmizi (223), Ibn Majah (781), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5956) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (769)
Justeru, marilah sama-sama kita beriltizam untuk solat berjemaah di masjid atau surau terutamanya solat Isyak dan juga Subuh. Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”