Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara kita menjawab hujah Nabi Ibrahim AS sebagai seorang Muslim sama ada dengan nas mahupun dengan akal dan sejarah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.”
(Surah Ali ‘Imran: 67)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT menegur orang-orang Yahudi dan Nasrani berkenaan hujah mereka tentang Nabi Ibrahim, serta dakwaan setiap kumpulan bahawa Nabi Ibrahim adalah sebahagian daripada mereka. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Abbas, “Kumpulan Nasrani dari Najran dan para pendeta Yahudi berkumpul di hadapan Rasulullah SAW dan saling berdebat di sisinya. Para pendeta Yahudi berkata, “Ibrahim itu tidak lain melainkan seorang Yahudi,” manakala kumpulan Nasrani berkata, “Ibrahim itu tidak lain melainkan seorang Nasrani.” Lalu Allah SWT menurunkan firman-Nya: (Hai Ahli Kitab, mengapa kamu berbantah-bantah tentang hal Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan sesudah Ibrahim. Apakah kamu tidak berfikir? Iaitu bagaimana kamu boleh menganggap, wahai orang Nasrani, bahawa dia adalah seorang Nasrani, sedangkan agama Nasrani baru wujud jauh selepas zamannya? (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/332)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani, kerana beliau wujud lebih awal daripada kedua-dua agama ini. Semua agama yang ada mengesakan Allah dan menjunjung kebenaran. Beliau taat kepada Allah dan sekali-kali tidak termasuk dalam golongan orang musyrik yang menyembah tuhan selain Allah. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 332)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Akbar Dr. Ahmad al-Tayyib, antara lain katanya:
Ayat ini turun untuk menunjukkan sesatnya kepercayaan sesetengah pengikut agama dan fahaman lain yang mendakwa bahawa Ibrahim adalah seorang yang beragama Yahudi, Kristian, atau penyembah berhala. Dan ayat in juga untuk mengesahkan bahawa Ibrahim adalah seorang Muslim.
Dan pastinya kita akan menyimpulkan dari teks al-Quran ini bahawa menyifatkan Ibrahim sebagai seorang Muslim tidak semestinya bermaksud dia adalah pengikut Islam, yang merupakan risalah Muhammad, ini adalah perkara yang tidak masuk akal; kerana risalah Islam yang diturunkan kepada Muhammad adalah sesuatu yang jauh lebih baru daripada zaman Ibrahim. Bagaimana dia boleh dianggap sebagai seorang Muslim?! Hal ini membuktikan bahawa Islam yang disebutkan dalam al-Quran itu hanyalah simbol umum buat semua risalah para nabi yang terdahulu dari Muhammad, dan ia juga digunakan dengan makna yang sama pada risalah yang diturunkan kepada Muhammad; dan ia merupakan penutup segala risalah, atau juga disebutkan sebagai Islam dengan makna yang telah diketahui dan tersebar kini.
Al-Quran telah membantah orang yang mendakwa bahawa Ibrahim atau nabi-nabi terdahulu lainnya dinisbahkan kepada Taurat atau Injil – dengan menunjukkan bahawa pandangan ini bertentangan dengan dasar akal, ilmu, dan sejarah; kerana dari sudut akal, adalah mustahil untuk seseorang menisbahkan dirinya kepada mazhab atau kitab suci yang muncul berabad-abad selepasnya. Ini ditegaskan secara jelas dalam al-Quran..
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ وَمَا أُنزِلَتِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Maksudnya: “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?”
(Surah Ali ‘Imran: 65)[1]
Dan demikian itu; apabila al-Quran telah memperakui bahawa Ibrahim itu seorang muslim, dan dia merupakan seorang muslim sepanjang beberapa abad sebelum Taurat, Injil dan al-Quran diturunkan, tidak ada di hadapan kita melainkan satu fahaman, atau hanya satu saja konklusinya; iaitu: Islam yang disebutkan dalam al-Quran itu bukan hanya terhad pada satu agama yang khusus sahaja, bahkan umpama satu nama atau simbolik terhadap agama-agama yang dibawakan oleh semua nabi, dan agama-agama ini muncul, berkembang, dan lengkap dalam bentuk rangkaian, setiap satu mengikuti yang lain, dan yang terkemudian melengkapkan yang terdahulu, dan rangkaian terakhir dalam agama Islam adalah risalah yang diturunkan kepada Muhammad, penutup para nabi dan rasul.
Inilah apa yang kami – orang Islam – fahami ketika membaca al-Quran.
Kami mengetahui darinya bahawa Ibrahim itu seorang muslim.
Beliau dan anaknya Isma‘il berdoa kepada Allah agar menjadikan mereka sebagai orang Islam, dan menjadikan zuriat keturunan mereka dalam kalangan umat Islam..
رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu.”
(Surah al-Baqarah: 128)
Setiap dari Ibrahim dan Ya‘qub juga mewasiatkan buat anak-anak mereka agar menjadi dari kalangan orang-orang Islam..
وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Maksudnya: “Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Ya‘qub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam’.”
(Surah al-Baqarah: 132)
Dan anak-anak Ya‘qub berkata kepada bapa mereka:
نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
Maksudnya: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).”
(Surah al-Baqarah: 33)
(Lihat al-Qaul al-Tayyib, 2/230-232)
Kami akhiri dengan doa:
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”
Nota Hujung:
[1] Lihat juga topik yang sama disebutkan dalam ayat 140 dari Surah al-Baqarah.